Thursday, February 25, 2010

Biar Bulan Tersenyum 9

(Gambar Hiasan)


“CIK RAHMAH ni biar betul. Saya akan bertugas di sana?” Berita yang sampai ke telinganya ini benar-benar memeranjatkan Uzma.

“Uzma, ini untuk kebaikan awak. Secara tidak langsung akan memajukan syarikat ini juga. Lagi pun bukannya awak akan berada di sana selama-lamanya. Kita ada kontrak dengan mereka. Habis kontrak, awak akan berkhidmat semula di sini. Pemilihan awak pun atas dasar prestasi awak yang bagus.” Rahmah menjelaskan bahawa Datin Damia inginkan seorang pembantu yang bagus untuk membantu pembantu rumah yang sedia ada menguruskan rumahnya. Setelah beberapa tahun dia mengambil khidmat Syarikat Maju Bersih ini, dia percaya dengan kecekapan syarikat ini mengendalikan pekerja mereka. Dia membuat perjanjian secara kontrak dengan Rahmah selama enam bulan untuk menggajikan salah seorang dari pekerja Rahmah di rumahnya.

“Tapi… aduh… matilah kalau macam ni.” Uzma tidak perasan yang Rahmah mendengar kata-katanya yang berbisik itu.

“Kenapa pula? Garang sangatkah Datin Damia tu? Segala makan minum ditanggung. Dalam perjanjian hanya lima hari bekerja. Hari sabtu dan ahad boleh balik ke rumah awak. Jika ada kerja hari minggu, awak akan dibayar bayaran lebih masa.”

“Errr… tak Cik Rahmah. Bu… bukan macam tu. Datin Damia tu baik sangat. Cuma saya tak yakin boleh buat dengan baik.”

“Tiga bulan awak kat sini, sepatutnya segala kerja-kerja yang kita buat ni awak dah pandai. Awak tak perlu takut lagi. Saya yakin dengan kemampuan awak, Uzma.” Rahmah memberi keyakinan terhadap Uzma.

“Baiklah Cik Rahmah. Demi syarikat, saya akan ke sana.” Uzma terpaksa memberi jawapan yang menggembirakan majikannya. Dia bukannya apa. Cuma takut terserempak lagi dengan pemuda yang sama di rumah Datin Damia. Dia takut jika dia melakukan kesilapan dia akan diberhentikan lagi. Bagai mengalami trauma jika mengingatkan lelaki itu. Sudahnya nanti tentu syarikat Maju Bersih yang akan mendapat malu. Itulah yang sangat ditakutinya.

“Bagus. Besok awak boleh bertugas di sana.” Rahmah tersenyum dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Uzma sebagai tanda perjanjian dimaterai. Uzma mengukirkan senyuman tawar bagai membalas senyuman yang diberikan Rahmah.

Uzma keluar dari bilik Rahmah dengan langkah longlai. Tidak bersemangat. Kalaulah masa boleh ditahan, dia tidak ingin menempuh hari esok. Terasa gentar dengan tugasan baru kali ini.

“Hai, lain macam lepas keluar dari bilik bos. Ni kena belasahkah?” Syasya menegur Uzma selepas dilihatnya Uzma seperti tidak bersemangat.

“Tak adalah Kak Sya. Besok Uzma dapat tugasan baru.”

“Wah, baguslah tu. Selalunya kalau dapat tugasan baru ada
harapan naik pangkat.”

“Entahlah. Rasa tak seronoklah. Lepas ni Uzma dah tak boleh usik Kak Sya lagilah. He… he…” Sempat lagi Uzma mengenakan Syasya. Sememangnya Uzma selalu mengusik Syasya diwaktu mereka bekerja. Tetapi dia tidak kisah kerana itu semua dapat menghilangkan rasa penat.

“O… sempat lagi nak mengusik ya. Jomlah kita pergi kantin. Akak dah lapar ni.”

Mereka beriringan menuju kea rah kantin. Sememangnya Syasya tidak sabar lagi hendak mendengar cerita terkini dari mulut Uzma. Sudah tentu syaratnya Syasya kena belanja Uzma.

Wednesday, February 24, 2010

Biar Bulan Tersenyum 8

(Gambar Hiasan)

15 Feb 2015 (Ahad)

KIPAS siling yang berpusing dengan kelajuan tahap 3 ditatap kosong. Angin yang terhasil dari pusingan kipas bertambah dingin dengan pemasangan suis penyaman udara yang menyemburkan kesejukannya pada tahap 18ยบ C. Sambil berbaring di atas katil pemikiran Hanaffee melayang menembusi bilah-bilah besi pada kipas, kemudian membolosi zarah-zarah siling lalu terbang ke luar melalui atap-atap yang tersusun. Roh yang melepasi ruang fikir itu akhirnya menerawang mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang mengusutkan jiwa.

Hairan bila memikirkan kenapa selepas peristiwa dia mengamuk di Restoran Bunga Raya tempoh hari dia selalu pula terserempak dengan gadis itu. Bermula dengan terserempak di Petaling Street tempoh hari. Entah kenapa sewaktu itu dia seperti terpukau lalu mengekori sahaja gadis yang sedang melihat-lihat barangan di situ. Apa yang menarik perhatiannya pun dia tidak pasti. Tetapi hatinya mengakui yang gadis itu ada sesuatu yang membuatkan dia tertarik dengannya. Sehinggalah di satu kedai bilamana gadis itu digertak oleh penjualnya membuatkan dia serta merta menyelamatkan gadis tersebut.

Hajat dihati memanglah hendak menemani si gadis sehingga betul-betul selamat seperti bila kaki si gadis memijak anak tangga bas baru hatinya lega. Lebih terasa lega jika dia dapat mengiringi si gadis hingga ke hadapan pintu rumahnya. Mungkin sewaktu itu dia masih terasa bersalah dengan gadis itu, sebaik sahaja keluar dari kawasan Petaling Street dia terus pergi dari situ. Meninggalkan gadis itu yang masih terpinga-pinga atau mungkin masih dalam keadaan trauma lagi. Memang tidak patut dia berbuat demikian. Tetapi apa yang sudah berlaku tidak boleh diulangkan kembali.

Peristiwa yang berlaku di rumah ibunya lebih memeranjatkannya. Entah mengapa bila dia pulang ke situ gadis itu berada di rumahnya. Yang bengangnya perempuan itu boleh buat-buat tidak kenal sahaja dengannya. Tapi kenapa pula nak dimarahkan. Gadis itu bukannya ada apa-apa pertalian pun dengannya. Entahlah. Makin difikir makin pusing dibuatnya.

Peristiwa tengah hari tadi lebih membelenggu jiwa. Apa taknya jelingan tajam gadis itu telah menusuk matanya dan mengalir suatu rasa yang tidak dapat di terjemahkan dalam kata-kata lalu menuruni hingga ke hatinya. Apakah ini petanda yang dia sukakan gadis itu. Monolog diri pun bermula.

‘Oh tidak. Aku masih waras lagi. Bagaimana aku bisa suka dengan orang yang tidak aku kenali itu.’ Jeritan batinnya bergema.

‘Emmm… Bagaimana dengan Mardiana pula?’ Bisikan ke hati kecilnya membuat dia keliru.

‘Mardiana, cuma aku anggap sebagai adik sahaja. Tidak lebih daripada itu.’ Cuba membetulkan keadaan terhadap ketegangan yang melanda.

‘Habis, setiap hari berkepit dengan perempuan yang bernama Mardiana tu apa hal pula. Mungkinkah sifat lelaki tu tidak cukup dengan satu. Atau mudah jemu bila selalu bersama biarpun yang baru itu statusnya belum tentu berhasil bila dipikat.’

Hanaffee semakin pening. Apa sebenarnya berlaku dalam jiwanya tidak dapat ditafsirkan lagi. Semakin difikir, semakin tertekan. Hanaffee bangun dari baring dan berjalan ke dapur mengambil segelas air kosong. Selepas meneguk beberapa teguk dia berlalu ke balkoni. Tempat biasa dia bertandang diwaktu resah terutamanya pada malam hari. Di sini dia akan mendapat ketenangan dengan merenung bulan dan pemandangan yang bergemerlapan dengan cahaya-cahaya yang memancar dari seluruh kawasan.

Matanya akan mencari sesuatu yang selalu dilihatnya pada malam-malam sebelum. Dia akan memerhatikan seorang gadis dari apartment sebelah yang selalu merenung bulan dan juga melihat pandangan alam sekitar di situ. Disebabkan kedudukan yang agak jauh maka objek yang kelihatan adalah kecil dan berbalam-balam. Mungkin satu hari nanti dia akan membeli teropong untuk melihat gadis yang selalu bersantai di balkoni sebelah sana.


***


MALAM yang syahdu ini akan menjadi lebih indah jika tidak ada apa-apa masalah yang ingin difikirkan. Tetapi sebagai seorang manusia yang mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan mungkin juga keluarga, mana mungkin tidak akan ada masalah membelenggu diri.

Uzma seperti biasa menikmati keindahan malam dari balkoni rumah sewanya. Sambil itu fikirannya terbayang kejadian siang tadi. Mengapa pula lain macam pandangan lelaki itu terhadapnya. Ah, mungkin perasaannya sahaja. Jangan bermain dengan api nanti membakar diri, begitulah bisikan hatinya. Bukankah lelaki itu sudah berpunya. Lagipun lelaki itulah yang beria-ia memarahi dia tempoh hari. Sudahlah kena marah, kerja pun hilang.

Apa-apa pun dia bersyukur kepada tuhan kerana masih ada kerja yang boleh dilakukan. Maria telah membantu dia untuk mendapat tempat dengan syarikat Maju Bersih. Rupanya Maria dan Cik Rahmah sudah lama mengenali. Mereka selalu berurusan dalam soal pekerjaan. Biarpun sebagai pencuci, Uzma tetap berbangga dengan kerja yang dilakukannya. Selagi dia membuat pekerjaan yang halal selagi itu dia tidak kisah dengan apa yang dilakukannya. Lagi pun dia sudah tidak ada sesiapa lagi yang boleh digelar keluarga. Cuma dia seorang diri, terkontang kanting di tengah kota. Seperti biasa malam ini dia sendiri lagi. Seri bertugas shift malam dan Maria pula terbang ke Taiwan.

Wednesday, February 17, 2010

Biar Bulan Tersenyum 7

(Gambar Hiasan)


15 Feb 2015 (Ahad)

SETELAH bersiap ala kadar dengan jeans hitam dan baju t berwarna putih Uzma keluar dari apartment untuk temujanjinya dengan Munifah. Semalam Munifah menelefon mengajak dia makan tengahari bersama-sama. Kebetulan hari ini Uzma juga bercuti. Dia berjalan menuju ke stesen bas di hadapan apartment Nusa untuk ke KL Central. Dalam masa lima minit kelihatan bas Rapid KL menuju ke situ dan Uzma mengambil tempat duduk di bahagian hadapan. Sampai sahaja ke stesen KL Central dia menyusuri kesibukan orang ramai menuju kaunter Putra LRT dan mengambil tiket ke KLCC. Di situlah pertemuan yang dijanjikan.

Uzma puas memerhatikan keindahan pemandangan di sepanjang perjalanan. Pembangunan yang pesat tidak pernah berhenti malah ada sahaja idea untuk mengurangkan kawasan hijau sebelum ini. Bangunan bercambah bak cendawan selepas hujan. Mungkin ini juga antara faktor yang menyebabkan bumi ini panas sekali. Kadang-kadang dia terhibur dengan bermacam-macam perangai manusia yang ditemui. Terasa seperti dirinya sebutir pasir yang berada dipesisiran pantai, ditengah berjuta lagi pasir dan sesekali dia terasa begitu sepi. Uzma Jarang keluar dari rumah sewanya tanpa sebab. Boleh dikatakan dunianya hanya di apartment yang disewanya itu. Paling jauh pun dia hanya pergi ke pasaraya di bahagian bawah apartmentnya untuk membeli keperluan harian sahaja. Selepas itu dia akan mengurungkan dirinya kembali. Apa pun itulah kepuasan yang dinikmatinya. Dia lebih senang sendiri. Tidak mengganggu orang lain. Banyak masanya dihabiskan dengan menonton Astro di rumah.

Sesekali dia sempat menyaksikan gelagat manusia yang pelbagai. Ada yang menyenangkan. Ada yang menakutkan dan ada juga yang mencurigakan. Tetapi itu cuma analisis secara spontan yang dibuat oleh Uzma. Tidak semestinya apa yang difikirkan itu menerangkan keadaan sebenar seseorang itu. Kadang-kadang yang nampak macam jahat itulah yang baik hati. Begitu juga sebaliknya. Teringat semasa dalam bas tadi, sempat dia memerhati seorang lelaki membawa buku dan CD untuk dijual. Dia bertemu dengan orang disekelilingnya, seorang demi seorang tanpa rasa malu bagi mempromosikan barangannya. Kemudian di suatu sudut yang lain pula kelihatan seorang perempuan yang berusia mengusung dua bungkusan plastik besar yang berisi pelbagai jenis keropok. Dia juga bertemu seorang demi seorang untuk dijual barangannya. Dia terharu melihat kegigihan mereka. Demi sesuap nasi mereka sanggup menebalkan muka mereka, menadah telinga untuk mendengar segala kata-kata yang baik mahupun yang tidak. Kesabaranlah yang memainkan peranan terbesar dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebegini. Semoga mereka mendapat keberkatan dengan apa yang mereka buat, bisik hati kecil uzma.

“Opocot!” Uzma terkejut bila ada tangan nakal mencuit bahunya. Ketika dia sedang leka bermain dengan perasaan. Dia bangun dari kerusi panjang yang didudukinya sejak dari tadi lalu bersalaman dengan Munifah.

“Panjang termenung. Orang lalu depan dia pun tak sedar. Ni, tengah bermimpi putera yang mana satu.”

”Kak Muni ni. Nasib baik Uzma tak ada sakit jantung. Kalau tak.” Uzma mencebikkan mukanya.

“Tengok tu. Ada orang dah merajuk. Alahai.”

“ Emmm… nak menyakat oranglah tu. Jomlah Kak Muni. Perut dah berbunyi ni. Semalam bukan main nak belanja Uzma.”

Mereka yang berada betul-betul di hadapan Parkson berjalan menuju escalator turun ke bawah iaitu level Concourse. Dalam kesesakan mereka membolosi ruang dan menyusuri Ramlee Mall. Berjalan terus hingga ke hujung lorong, mereka beratur untuk mendapatkan tempat duduk di hadapan Pizza Hut. Lima minit berdiri mereka dibawa ke meja yang kosong. Setelah meneliti semua menu yang terdapat di dalam buku menu Uzma memesan Seafood Marinara Spaghetti dan Ice Passion Tea. Manakala Munifah memesan Pilaf Rice dengan Kebab dan Chocolate Mint Frappe. Mereka juga memilih Super Supreme Cheese Lava Pizza.

Sementara menunggu pesanan sampai ke meja, mereka sempat berbual dan bercerita mengenai kisah hidup mereka sepanjang Uzma diberhentikan kerja di Restoran itu. Kadang-kadang mereka ketawa dan kadang-kadang serius dalam bercerita.

Sedang mereka leka bercerita telinga Uzma sempat menangkap satu suara yang dikenalinya. Mereka betul-betul berada dibelakangnya dan sedang berjalan menuju ke pintu untuk keluar. Uzma sempat menjeling, lelaki itu sememangnya memerhatikannya dan mata mereka bertemu tanpa disedari kekasihnya itu.

Uzma jadi tidak keruan dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkakan itu. Kenapa harus lelaki ini lagi yang dijumpainya. Tanpa dirancang. Perasaannya tiba-tiba geram bila mana mengenangkan peristiwa di Restoran Bunga Raya tempoh hari.

“ La, mengelamun lagi rupanya. Soalan Kak Muni dari tadi tak berjawab.”

“Eh, mana ada.” Uzma cuba berselindung dengan apa yang dilihatnya tadi dari pengetahuan Munifah. “Emmm… apa soalan kak Muni tadi.” Uzma tersengih.

“Tengok tu. Kata tak mengelamun. Ish ish ish.”

Mereka sama-sama ketawa. Selesai menjamu selera mereka berjalan-jalan di KLCC dan pulang lewat petang.


Tuesday, February 2, 2010

Biar Bulan Tersenyum 6

(Gambar Hiasan)


“SAYA perkenalkan pekerja baru kita, Cik Uzma. Tolong beri kerjasama yang sewajarnya pada beliau.” Rahmah, pengurus Syarikat Maju Bersih memperkenalkan Uzma kepada para pekerjanya. Uzma menghadiahkan senyuman perkenalan buat bakal rakan sekerja. Kemudian Cik Rahmah meminta dia mengenalkan dirinya di hadapan lima belas orang pekerja di jabatannya.


Uzma berharap semoga dia akan lebih Berjaya di tempat baru ini. Syarikat Maju Bersih merupakan syarikat yang membuat kontrak pembersihan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Di jabatan ini mereka lebih tertumpu kepada syarikat-syarikat kecil dan perumahan awam. Mereka akan bergerak mengikut tempahan.


Hari ini merupakan hari pertama Uzma di sini. Dia berasa begitu bersemangat sekali untuk menabur bakti buat syarikat ini. Memang dia begitu. Setiap kerja yang dilakukan mesti dengan semangat. Apa yang penting adalah dasar bersih, cekap dan amanah yang dipegang oleh kakitangan syarikat ini. Begitulah apa yang diperkatakan oleh Cik Rahmah semasa sesi penerangan mengenai skop kerja pagi tadi. Dengan itu syarikat boleh jadi cemerlang, gemilang dan terbilang dibawah bumbung satu Malaysia.

***

AKHIRNYA Hanaffee melepasi tol Bangi dan meneruskan perjalanan ke Bangi Mutiara, rumah ibunya. Dia berjanji untuk makan tengahari di situ. Sudah sebulan lebih dia tidak singgah ke rumah ibunya. Atas dasar kerja yang terlalu banyak diketika ini. Itu yang membuatkan Datin Damia rindu sangat dengan anaknya. Sejak bekerja di Kuala Lumpur Hanaffee telah berpindah dari sini. Dia ingin hidup berdikari dengan tidak mengharapkan bantuan kewangan dari ibu dan bapanya. Akhirnya dia sampai ke simpang Bangi Mutiara dimana di kanan terdapat stesen minyak Petronas dan ke kiri adalah kawasan kediaman Bangi Mutiara. Kawasan ini sedikit berbukit.

Sampai sahaja ke rumah dia meletakkan Perdananya di halaman rumah dan memberi ruang untuk laluan kepada sebuah van yang bertandang ke rumah itu. Setelah menekan punat pada remote untuk mengunci kereta dia melangkah menuju ke arah pintu utama banglow yang tersergam indah itu.

Selepas memberi salam dia terus membuka pintu. Sebaik sahaja memasuki ruang tamu dia hampir terlanggar seorang gadis yang membelakanginya dimana gadis itu berdiri betul-betul di belakang pintu dan sedang bersalaman dengan ibunya. Apabila terpandang wajah masing-masing, kedua-dua mereka terkejut yang amat sangat kerana tidak menyangka akan bertemu di sini pula.

“Kami minta diri dahulu Datin.” Gadis yang lebih berumur itu menyatakan hasrat mereka untuk menyambung tugas di tempat lain pula setelah tugas di rumah Datin Damia telah selesai. Setiap minggu mereka akan pergi ke rumah itu untuk membersih bahagian dalaman rumah. Ini akan meringankan kerja pembantu rumah yang sedia ada sekarang dan membolehkan dia menumpukan perhatian kepada memasak dan mengemas ala kadar sahaja. Datin Damia menghantar mereka sehingga ke muka pintu. Hanaffee tergamam dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkakan itu sambil matanya tekun memerhatikan gadis itu berlalu. Renungan Hanaffee terhadap gadis itu dapat dikesan oleh ibunya.

‘Ahhh… Gadis itu lagi. Apakah aku yang menjadi penyebab dia bekerja dengan Syarikat membersih rumah pula.’ Hanaffee seperti tidak percaya dengan apa yang telah dilihatnya tadi. Ada rasa kekesalan terhadap tindakan dia menyuruh gadis itu diberhentikan kerja di Restoran Bunga Raya tempoh hari. Mungkin gadis itu amat membenci dirinya. Dia dapat melihat keresahan dan seperti tidak selesa gadis itu terhadapnya.

“Jauh mengelamun nampaknya anak mama yang seorang ni. Ada apa-apa kah? Dah berkenan dengan budak tadi? Manis juga kan?” Sengaja Datin Damia mengusik anak terunanya ini. Sememangnya dia teringin sangat hendakkan menantu. Apatah lagi Hanaffeelah satu-satunya pengarang jantungnya. Anak tunggal yang sangat dimanja.

“Ala, mama ni. Mana ada. Affee tengok pun tak boleh kah?”

“Bukannya tak boleh. Tapi mama tengok renungan Affee lain macam saja. Rasanya macam mama akan mendapat menantu sahaja tak lama lagi.” Datin Damia tersenyum apabila melihat Hanaffee sudah tidak keruan bila diusik.

“Mama ni. Ada-ada saja.”

“Bukannya apa. Mama cuma nak ingatkan Affee sahaja. Si Mardiana tu Affee nak letak kat mana.”

“Dia kan Affee anggap macam adik sahaja. Affee belum terfikir nak berkahwin lagilah mama.” Mardiana dan Hanaffee sudah kenal antara satu dengan yang lain semenjak dari kecil lagi. Lima belas tahun dahulu mereka berjiran semasa di Kampung Malaysia Raya. Hanaffee menganggap persahabatan mereka seperti abang dan adik.

“Kalau macam ni lambat lagilah mama nak menimang cucu.” Datin Damia nampak muram atas kata-kata anaknya itu. Dia sebenarnya memberi kebebasan terhadap Hanaffee dalam pencarian jodoh. Tidak kisah siapa sahaja yang dipilih oleh Hanaffee dia akan terima. Yang menjadi masalahnya sekarang bila sudah diberi kebebasan dalam memilih lambat pula Hanaffee membuat keputusan. Datin Maria sedar yang dia bukannya bertambah muda.

“Mama janganlah bersedih. Affee janji dalam masa setahun mama akan dapat tahu siapa bakal menantu mama.” Entah mengapa lancar sahaja mulut Hanaffee melafazkan kata-kata itu. Mungkin dia tidak mahu ibunya sedih atau mungkin dia sudah hampir dengan jawapan yang hanya menunggu masa untuk diwar-warkan.

“Okay. Kalau macam tu mama pegang janji Affee. Kalau tidak ada dalam setahun ni biar mama yang carikan untuk Affee.”

“Setuju.” Hanaffee tersenyum dan menghulur ibu jari tangan kanannya dan dilagakan dengan ibu jari kanan Datin Damia menandakan perjanjian dimaterai.

***

MENGAPA pula dia ada di situ. Geramnya bila mengenangkan lelaki itulah yang menyebabkan dia diberhentikan kerja dari Restoran Bunga Raya tempoh hari. Ada dendam di hati kecil ini. Tetapi lelaki itu juga yang menyelamatkan diri ini dari diganggu oleh peniaga di Petaling Street tempoh hari. Sungguh pelik dunia ini. Semuanya secara tiba-tiba dan tanpa dirancang. Hari ini bertemu di rumah Datin Damia pula. Kecil sungguh dunia ini.

Yang membuatkan Uzma marah adalah tenungan lelaki itu yang tiba-tiba mendebarkan hatinya. Rasa menyampah pun ada. Apa yang dibuatnya di situ? Apa lagi yang Datin Damia pesan hari ini. Takkan lelaki itu mengambil upah memotong rumput. Ahh… melalut sungguh.

“Uzma! Apa lagi yang dimenungkan tu. Kita dah sampai ni.” Syasya mematikan enjin van yang mereka naiki. Mereka perlu mengemaskan peralatan sebelum pulang ke rumah. Uzma tersenyum sambil Syasya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat perangai rakan kerjanya yang baru ini.

Monday, February 1, 2010

Biar Bulan Tersenyum 5

(Gambar Hiasan)


“Apa hal dengan budak Uzma tu. Macam ada masalah sahaja.” Seri menyatakan kebimbangannya terhadap Maria.

“Yalah. Ayam percik ni kegemaran dia. Hairan bin ajaib bila dia tidak ada selera terhadap makanan kesukaan dia ini.” Maria yang bersetuju dengan Seri merasa ada sesuatu masalah yang menghantui Uzma. Biasanya bila mereka membawa balik ayam percik Rasamas Uzma akan menyerbu mereka. Tapi lain pula hari ini. Biarpun aromanya yang lazat dapat dihidu dari jauh, Uzma seperti tidak berasa apa-apa. Bersendirian dia di Balkoni. Dengan renungan yang kosong terarah ke luar apartment Nusa.

“Sudahlah tadi kita ajak pergi pasar malam tidak mahu ikut. Makan pun dia macam tak berselera.

“Putus cinta kot.” Maria cuba membuat serkap jarang terhadap gadis yang ralit dengan dunianya yang sendiri itu. Dia tersenyum.

“Jangan-jangan dia ada masalah keluarga. Atau dia tengah sakit. Aku rasa biar aku pergi tengok apa masalah sebenarnya. Nanti kalau dah meletup semua orang susah.” Seri bangun dari sofa dan berjalan menuju balkoni.

“Eloklah tu wahai cik kaunselor yang tak bertauliah. He… he…”

“Banyak cantik muka engkau. Aku ni cuma nak tolong kawan. Kesian kalau dia ada masalah tau.” Seri mencebik Maria yang sedang meratah ayam percik di hadapan mata. Sememangnya Seri merupakan seorang sahabat yang senang dibawa berunding dan dia akan membantu rakan-rakan serumah yang mempunyai masalah peribadi. Mungkin pembacaannya yang banyak dalam bidang psikologi dan masalah-masalah manusia menjadikan dia matang untuk memberikan nasihat terhadap kes-kes yang sewaktu dengannya.

Seri menarik kerusi dan duduk disebelah Uzma.

“Eh. Dah balik rupanya kau orang.”

“Aikkk… tidak sedar engkau rupanya kami dah balik. Patut pun buat tak tahu sahaja dengan aroma ayam percik ini. Emmm… sedang bermeditasi agaknya kawan aku yang sorang ni.”

“Wah. Favourite aku tu.” Uzma tersenyum dan cuba menampakkan keceriaan diwajah biarpun sebenarnya dia gelisah.

“Takkan engkau diet kot. Tak percayalah aku. Badan engkau pun dah slim. Buat apa nak diet.”

“Entah kenapa… aku kurang seleralah malam ni Seri.”

“Uzma. Engkau ni aku kenal bukannya baru. Aku tahu bila kau senang. Bila kau susah hatipun aku dah masak. Sekarang ni, cuba engkau cerita apa masalah yang membelengu diri. Pak We lari kah? Ada masalah keluarga kah? Aku kat sini sedia membantu.”

Uzma cuma diam. Tetapi sedikit demi sedikit kelihatan air matanya mulai berlinang. ‘Kenapa diwaktu aku tengah sedih ini semua orang ada kat sini. Aku lebih senang melayan diri tanpa diganggu diwaktu-waktu sebegini.‘

Seri kaget dengan tingkah Uzma yang tidak semena-mena menahan esakannya. Kadang-kadang Seri kagum dengan kekuatan diri Uzma. Mungkin hari ini dia sudah tidak berdaya membendung segala yang sarat dihati. Dia menarik kerusi dan merapatkan dirinya kepada Uzma. Seri memeluk Uzma yang sudah mulai menangis.

“Uzma. Engkau aku anggap seperti adik aku sendiri. Kalau ada masalah cakap kat aku. Apa yang boleh dibantu aku akan bantu. Lagipun tidak adil jika aku membiarkan saudara seagama aku menderita.”

“Aku sedih sangat dengan keadaan aku sekarang ini Seri. Sudahlah ibu dan bapa telah tiada, kini aku diderakan lagi dengan perkara yang berlaku dua hari lepas.” Uzma memulakan ceritanya bagaimana dia dipecat dan sehingga kini belum ada rezeki untuk bekerja di mana-mana. Dia merasakan bahawa dirinya bernasib malang. Selalu sahaja didengki. Setelah ibu dan bapanya meninggal selepas kemalangan dia dijaga oleh bapa saudaranya. Segala harta peninggalan ibubapa telah dibolot oleh Tetapi dia dilayan seperti hamba abdi. Akhirnya setelah dia tidak sanggup lagi menahan penderitaan yang dialami dia melarikan diri dari kampong. Itulah bermulanya episod Uzma berdikari.

“Engkau jangan susah hati Uzma. Kami akan membantu engkau sedaya yang termampu oleh kami.” Tiba tiba Maria yang telah lama berdiri dibelakang mereka bersuara. Dia yang tidak berapa sedap hati sedari tadi memerhati dari jauh mendekati dan turut mendengar apa yang diceritakan oleh Uzma. Dia turut memeluk Uzma dari belakang agar Uzma akan mendapat kekuatan.

“Terima kasih sahabat-sahabat sejatiku.” Ada rasa kelegaan dihati Uzma setelah diluahkan segala apa yang telah terbuku di hati kecilnya.

“Eh, kawan-kawan. Engkau orang tak berasa lapar kah? Perut aku dah berdendang lagu keroncong. Sebelum melarat ke lagu metal baik kita pergi menunaikan nafsu perut ni.” Maria yang sudah lapar menarik kedua-dua rakannya untuk ke meja yang telah terhidang makanan yang dibeli di pasar malam tadi.

Thursday, January 28, 2010

Biar Bulan Tersenyum 4

(Gambar Hiasan)






LANGKAH demi langkah menyusuri jalan yang penuh dengan manusia yang bermacam ragam. Tiada siapa yang dikenali. Di tengah-tengah manusia yang berbagai rupa ini membuatkan Uzma kelemasan. Bukan sahaja tidak selesa dengan keadaan sekeliling, tapi keadaan dirinya yang hampir karam dengan gelombang dilema yang melambung-lambung di lautan keliru.



Sesekali menyinggah ke kedai-kedai yang berderet di situ. Melihat kalau-kalau ada notis yang memerlukan pekerja. Jika seven eleven sudah pasti dengan pantas dia akan melangkah masuk kerana di situ memang terdapat ruangan untuk iklan.



Kerana kesilapan semalam Uzma telah diberhentikan kerja. Inilah masalahnya jika kejadian yang tidak diingini itu berlaku terhadap orang yang ada kaitan dengan kepentingan mereka. Kalau tidak kerana adanya anak Datuk di situ mungkin dia masih bekerja di situ lagi. Walau bagaimana pun Restoran Bunga Raya kini hanya tinggal kenangan. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Uzma tetap reda dengan apa yang berlaku. Bukannya boleh ditarik balik lagi.



Pengurusnya, Radin terpaksa memecatnya untuk mengelakkan kejadian itu dipanjangkan. Masih segar dalam ingatannya bagaimana Kak Muni merangkulnya sambil menangis-nangis bersimpati atas apa yang berlaku terhadapnya. Biarpun Kak Muni begitu cerewet dalam menjalankan tugasnya tetapi Uzma tidak pernah berkecil hati. Kini dia akan merindui bebelan Kak Muni. Uzma merasakan yang dia ini seorang pendengar yang bagus. Kenapa? Dia tidak pernah melawan setiap kata-kata Kak Muni. Semuanya diangguk. Kadang-kadang dia ketawa di dalam hatinya kerana banyak kata-kata Kak Muni yang tidak masuk akal. Tetapi ada juga satu dua nasihat yang menusuk ke dalam jiwanya. Seperti sampah-sampah di dalam longgokan yang besar pasti ada juga barang berharga yang boleh kita jumpai di situ. Seperti bernasib baik atau dengan penerangan teknikalnya yang selalu digunapakai oleh kaki judi iaitu konsep kebarangkalian.



Pagi tadi dia bangun seperti hari-hari sebelum dan bersedia untuk ke tempat kerja. Tetapi bila ingatan kembali pulih dan sedar bahawa diri sudah dipecat terduduk Uzma di atas kerusi meja soleknya. Dia seperti tidak dapat menerima kenyataan itu. Akhirnya dia membawa diri ke kedai mamak dan melayan perasaannya seorang diri sehingga tengah hari.



Sudah tiga empat kedai yang disinggahinya tidak ada satupun yang menawarkan sebarang jawatan. Mereka lebih gemar mengambil pekerja yang terdiri dari lepasan SPM ataupun pekerja asing yang boleh dibayar dengan harga yang lebih murah. Nampaknya hari ini pun nasib masih tidak ada. Besok mesti cari kerja lagi. Nanti duit dalam simpanan habis macammana mahu membayar sewa rumah. Paling penting perut mahu dijaga.



Akhirnya dia menuju ke Petaling Street. Atas alasan mahu ’window Shopping’ dahulu sebelum pulang ke rumah. Semasa meneliti pelbagai jenis baju penjaga kedai dengan wajah paling manis cuba mengambil hati Uzma agar membeli baju tersebut. Boleh tahan juga design baju ini, bisik hati kecilnya. Tapi harganya hampir seratus ringgit. Sembilan puluh sembilan ringgit sembilan puluh sen sahaja. Kalau dalam status Uzma yang menganggur sekarang ini memang tidak mampu membayar sebanyak ini.



“Murah saja ni. Kalau itu supermarket baju ni tiga ratus ringgit woo.”



“Saya mahu tengok saja.”



“Ala. Cik angkatlah saya boleh kasi itu harga kurang lagi. Tengok ni. Cantik. Kuat jahitan dia woo.” Penjual itu menunjuk-nunjuk jahitan pada baju yang kelihatan kukuh.



“Memang cantik. Tapi saya tak mampu beli baju ni.”



“Haiya Cik. Saya kurang jadi tujuh puluhlah.”



“Nanti dulu. Saya mahu tengok yang lain.”



“Berapa you mau Cik. Kita boleh bincang.” Biarpun perkataan bincang tapi suara penjual itu dikeraskan. Uzma risau dengan situasi seperti ini. Bukannya dia tidak mahu beli. Tapi dia ada masalah kewangan sekarang ini. Si penjual ini pun satu. Macam memaksa dia membeli sahaja.



“Saya tak mahu. Kalau lima puluh bolehlah saya fikirkan lagi.” Uzma menegaskan sambil matanya menjeling ke arah baju yang lain. Kemudian dia mahu keluar dari kawasan kedai itu. Si penjual menahan dia dan masih mahu dia membeli barangan dia.



“Okay. Lima puluh saya jual.” Alamak. Uzma tersilap cakap. Bukannya dia bermaksud mahu membeli. Tidak disangka bahawasanya harga baju itu boleh dikurangkan lagi. Dia sememangnya tidak berniat untuk membeli lagi. Dia hanya ingin buat survey sahaja untuk hari ini.



“Errr… saya tak mahu lagi tokey. Nanti bulan depan saya datang beli.”



“Haiya. Mana boleh. Tadi you minta lima puluh. Sekarang tak mahu pulak. Mana boleh. Kena beli woo.” Si penjual tidak mahu melepaskan Uzma berlalu dari situ selagi dia tidak membeli barangannya. Wajahnya Nampak bengis. Tiada lagi senyum seperti mula-mula tadi. Aduh. Sakit jiwa. Taubat. Tak mahu datang lagi ke sini.



“Eh sayang, kenapa kat sini lagi. Puas abang mencari.” Tiba-tiba tanpa diduga seorang lelaki menarik tangan Uzma keluar dari kedai tersebut. Si penjual hanya terlopong melihat gadis itu rupanya ada teman.



‘Alamak. Makhluk mana pula tiba-tiba menarik tangan aku keluar dari sini.’ Bila diamati wajah lelaki itu baru dia perasan yang ianya adalah lelaki yang dia tumpahkan bubur ke atasnya tempoh hari. Bagai dipukau dia mengikut sahaja lelaki itu keluar dari kawasan itu.



“Lain kali, jangan masuk ke sini seorang diri. Bahaya.” Lelaki itu sempat lagi memberi nasihat sebelum dia menghilangkan diri dicelah-celah orang ramai. Kerana terlalu terkejut dengan peristiwa yang berlaku dia tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. Lagi pun sepanjang bersama lelaki itu dia merasakan kerongkongnya tersumbat sehingga tiada sepatah suara pun yang dapat keluar ke alam nyata.



‘Ah kebetulan pula. Lelaki itu yang membantu aku. Bukannya dia kenal aku pun. Apa hal dia tiba-tiba kat sini.’ Sekali diingat macam kisah super hero pula. Yang akan muncul bila ada manusia sedang dalam kesusahan. Apa-apa pun Uzma bersyukur kerana dia selamat.

Thursday, January 21, 2010

Biar Bulan Tersenyum 3

(Gambar hiasan) - 22 Jan 2015


“ALAHAI, marah lagi kah Darling I ni.”

“Mahunya tak. You tengoklah apa dah jadi dengan baju I.” Mardiana tersenyum cuma bila mengenangkan kisah yang berlaku sebentar tadi. Jika dia yang terkena tadi pun, pasti kemarahan yang sama akan ditaburkan. Namun dia faham dengan ketidaksengajaan pelayan perempuan tadi. Melihatkan wajah budak itu yang pucat membuatkan dia berasa gelihati pula.


“Darling, kan you dah dapat pampasan tadi. Boleh tahan juga tu. Emm… bolehlah belikan I barangan di Habib Jewel. 10 Voucher makan percuma di restoran tu pun dah kira beruntung.” Mardiana memujuk Hanaffee yang masih lagi panas hatinya itu. Masih lagi terbayang bagaimana Hanaffee memarahi si pelayan dan kemudiannya membuat aduan terhadap apa yang berlaku kepada pengurus Restoran tersebut. Mardiana merupakan pelanggan tetap restoran Bunga Raya. Siapa yang tidak kenal dengan bapanya Datuk Yusman. Orang yang berpengaruh di Kuala Lumpur. Atas sebab itulah pengurus restoran berkali-kali memohon maaf daripada mereka.


“Memanglah. Yang tebal muka ni juga. Tak tahu nak letak kat mana. Bagi yang nampak peristiwa tadi okaylah. Mereka faham. Bagi yang baru masuk atau yang tersenyum bila keluar tadi. Mesti dia orang ingat I ni baru lepas bergaduh.” Mardiana tergelak dengan kenyataan tersebut sambil mencapai sebelah tangan Hanaffee yang berada di atas gear dan menggosok-gosok perlahan-lahan agar kemarahan Hanaffee reda. Dia takut jika kemarahan melebihi kosentrasi memandu lain pula jadinya. Keselamatan di atas jalan raya mesti diutamakan. Tidak boleh memandu dengan mengikut nafsu. Bahaya. Mereka sekarang dalam perjalanan pulang ke rumah Mardiana.


Mardiana tahu bahawasanya Hanaffee terkilan sebab program tengahhari mereka tadi terbantut. Sepatutnya hari ini merupakan hari yang indah dan akan diingati sampai bila-bila. Tetapi bukan dengan cara ini. Hari ini merupakan hari ulang tahun Hanaffee yang ke dua puluh lima. Mardiana telah membuat tempahan sebulan yang lalu untuk mereka menikmati makan tengahhari bersama. Mungkin nasib tidak menyebelahi mereka. Terpaksa Mardiana masuk ke Pasaraya Parkson KLCC seorang diri dahulu untuk membeli baju baru untuk Hanaffee. Selepas itu baharulah mereka meneruskan pencarian makanan tengah hari mereka di KLCC. Seharian mereka berjalan dan bersiar siar di sekitar KLCC. Kemudian mereka ke Mid Valley. Tidak sedar perjalanan mereka mencecah malam.


“Darling.” Mardiana dengan manjanya memanggil nama yang selalu disebut-sebut itu. Hanaffee menoleh kearahnya setelah memberhentikan kereta betul-betul di hadapan rumah Datuk Yusman.


“Ada apa Dee.” Tangan Mardiana menyeluk tas tangannya lalu mengeluarkan sebuah kotak hadiah bersaiz 5X10X10cm dan memberikan kepada Hanaffee.


“Happy birthday my dear.” Sambil tangannya menghulurkan hadiah ke tangan Hanaffee.


“Terima kasih daun keladi. Buat susah-susah sahaja.” Hanaffee kelihatan gembira dengan pemberian yang diberi. Dia membuka pembalut hadiah dan kemudian membuka kotak berwarna biru tanda kasih sayang itu. Dia tahu jika Mardiana yang membelikan hadiah bukan seratus dua harganya. Mesti beribu-ribu.


“Apa nak disusahkan. Buat orang tersayang juga.” Mardiana tersenyum dan berasa sungguh gembira dengan penerimaan Hanaffee. Tidak sia-sia dia membeli hadiah itu di Paris bulan lepas. Datuk Yusman ada urusan di sana dan dia seperti biasa sebagai anak tunggal dan sememamngnya manja akan cuba sedaya upaya mengusul agar dia dapat menemani bapanya ke sana.

“Marilah masuk ke rumah dahulu.” Pelawa Mardiana sebelum keluar dari kereta.


“Besok kerja. Sekarang pun dah dekat sebelas setengah malam. Affee pulang dululah ya.”


“Ya lah. Orang tak sudi nak buat macam mana.” Sengaja dia memperli sinis Hanaffee.


“Ala. Janganlah macam tu.” Mardiana tersenyum dan membuka pintu kereta. Dia melangkahkan kakinya ke tanah. “Anyway. Thank you so much for the present. I like it very much.”

Mardiana tersenyum dan keluar dari kereta. Dia melambai-lambaikan tangannya ke arah Hanaffee dan menunggu sehingga kereta hilang dari pandangan baru dia melangkah masuk ke kawasan banglownya.





JAM berjenama Louis Vuitton jenis ‘Tombour two-tone’ dibeleknya tidak jemu-jemu. Begitu sayangnya perempuan yang bernama Mardiana itu kepadanya. Dia jadi keliru. Adakah dia melayan Mardiana kerana benar-benar kasih perempuan itu atau hanya kasihan perempuan itu. Persoalan itu terus menari-nari dalam ruang fikirannya. Membuat dia sesak dengan asakan persoalan-persoalan yang menerjah masuk ke dalam kotak fikir melalui litar-litar saraf yang menjadi perantara.


Hanaffee dengan Mardiana sudah kenal mengenali antara satu dengan lain sejak dari kecil lagi. Itu yang membuatkan mereka begitu rapat sekali. Mereka selalu bertemu dan pada setiap perjumpaan Hanaffee melayan kerenah Mardiana tanpa rasa jemu. Namun dia membataskan persahabatan mereka hanyalah atas dasar abang dan adik. Biarpun begitu tetap ada rasa sayangnya terhadap gadis itu.


Hadiah yang dibelek-belek sedari tadi membuatkan dia terlupa seketika terhadap peristiwa yang berlaku siang tadi. Mungkin kerana layanan Mardiana membuatkan dia lupa pada kejadian tengah hari tadi. Sesekali terasa juga kasihan terhadap budak pelayan tadi. Bukannya dia sengaja. Tapi dek kerana darah muda yang pantang dicabar, membuatkan dia lupa diri seketika. Menyesal pun ada kerana tidak bertimbang rasa. Tapi apa boleh buat. Nasi sudah jadi bubur. Bukannya boleh diundurkan lagi pusingan jam yang telah berlalu. Ianya sudah menjadi sejarah.


Dia keluar ke balkoninya. Seperti biasa dia akan melihat pemandangan alam semesta yang indah. Walaupun begitu ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Itulah juga antara agendanya jika keluar ke situ.