Thursday, February 25, 2010

Biar Bulan Tersenyum 9

(Gambar Hiasan)


“CIK RAHMAH ni biar betul. Saya akan bertugas di sana?” Berita yang sampai ke telinganya ini benar-benar memeranjatkan Uzma.

“Uzma, ini untuk kebaikan awak. Secara tidak langsung akan memajukan syarikat ini juga. Lagi pun bukannya awak akan berada di sana selama-lamanya. Kita ada kontrak dengan mereka. Habis kontrak, awak akan berkhidmat semula di sini. Pemilihan awak pun atas dasar prestasi awak yang bagus.” Rahmah menjelaskan bahawa Datin Damia inginkan seorang pembantu yang bagus untuk membantu pembantu rumah yang sedia ada menguruskan rumahnya. Setelah beberapa tahun dia mengambil khidmat Syarikat Maju Bersih ini, dia percaya dengan kecekapan syarikat ini mengendalikan pekerja mereka. Dia membuat perjanjian secara kontrak dengan Rahmah selama enam bulan untuk menggajikan salah seorang dari pekerja Rahmah di rumahnya.

“Tapi… aduh… matilah kalau macam ni.” Uzma tidak perasan yang Rahmah mendengar kata-katanya yang berbisik itu.

“Kenapa pula? Garang sangatkah Datin Damia tu? Segala makan minum ditanggung. Dalam perjanjian hanya lima hari bekerja. Hari sabtu dan ahad boleh balik ke rumah awak. Jika ada kerja hari minggu, awak akan dibayar bayaran lebih masa.”

“Errr… tak Cik Rahmah. Bu… bukan macam tu. Datin Damia tu baik sangat. Cuma saya tak yakin boleh buat dengan baik.”

“Tiga bulan awak kat sini, sepatutnya segala kerja-kerja yang kita buat ni awak dah pandai. Awak tak perlu takut lagi. Saya yakin dengan kemampuan awak, Uzma.” Rahmah memberi keyakinan terhadap Uzma.

“Baiklah Cik Rahmah. Demi syarikat, saya akan ke sana.” Uzma terpaksa memberi jawapan yang menggembirakan majikannya. Dia bukannya apa. Cuma takut terserempak lagi dengan pemuda yang sama di rumah Datin Damia. Dia takut jika dia melakukan kesilapan dia akan diberhentikan lagi. Bagai mengalami trauma jika mengingatkan lelaki itu. Sudahnya nanti tentu syarikat Maju Bersih yang akan mendapat malu. Itulah yang sangat ditakutinya.

“Bagus. Besok awak boleh bertugas di sana.” Rahmah tersenyum dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Uzma sebagai tanda perjanjian dimaterai. Uzma mengukirkan senyuman tawar bagai membalas senyuman yang diberikan Rahmah.

Uzma keluar dari bilik Rahmah dengan langkah longlai. Tidak bersemangat. Kalaulah masa boleh ditahan, dia tidak ingin menempuh hari esok. Terasa gentar dengan tugasan baru kali ini.

“Hai, lain macam lepas keluar dari bilik bos. Ni kena belasahkah?” Syasya menegur Uzma selepas dilihatnya Uzma seperti tidak bersemangat.

“Tak adalah Kak Sya. Besok Uzma dapat tugasan baru.”

“Wah, baguslah tu. Selalunya kalau dapat tugasan baru ada
harapan naik pangkat.”

“Entahlah. Rasa tak seronoklah. Lepas ni Uzma dah tak boleh usik Kak Sya lagilah. He… he…” Sempat lagi Uzma mengenakan Syasya. Sememangnya Uzma selalu mengusik Syasya diwaktu mereka bekerja. Tetapi dia tidak kisah kerana itu semua dapat menghilangkan rasa penat.

“O… sempat lagi nak mengusik ya. Jomlah kita pergi kantin. Akak dah lapar ni.”

Mereka beriringan menuju kea rah kantin. Sememangnya Syasya tidak sabar lagi hendak mendengar cerita terkini dari mulut Uzma. Sudah tentu syaratnya Syasya kena belanja Uzma.

3 comments: