Thursday, January 28, 2010

Biar Bulan Tersenyum 4

(Gambar Hiasan)






LANGKAH demi langkah menyusuri jalan yang penuh dengan manusia yang bermacam ragam. Tiada siapa yang dikenali. Di tengah-tengah manusia yang berbagai rupa ini membuatkan Uzma kelemasan. Bukan sahaja tidak selesa dengan keadaan sekeliling, tapi keadaan dirinya yang hampir karam dengan gelombang dilema yang melambung-lambung di lautan keliru.



Sesekali menyinggah ke kedai-kedai yang berderet di situ. Melihat kalau-kalau ada notis yang memerlukan pekerja. Jika seven eleven sudah pasti dengan pantas dia akan melangkah masuk kerana di situ memang terdapat ruangan untuk iklan.



Kerana kesilapan semalam Uzma telah diberhentikan kerja. Inilah masalahnya jika kejadian yang tidak diingini itu berlaku terhadap orang yang ada kaitan dengan kepentingan mereka. Kalau tidak kerana adanya anak Datuk di situ mungkin dia masih bekerja di situ lagi. Walau bagaimana pun Restoran Bunga Raya kini hanya tinggal kenangan. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Uzma tetap reda dengan apa yang berlaku. Bukannya boleh ditarik balik lagi.



Pengurusnya, Radin terpaksa memecatnya untuk mengelakkan kejadian itu dipanjangkan. Masih segar dalam ingatannya bagaimana Kak Muni merangkulnya sambil menangis-nangis bersimpati atas apa yang berlaku terhadapnya. Biarpun Kak Muni begitu cerewet dalam menjalankan tugasnya tetapi Uzma tidak pernah berkecil hati. Kini dia akan merindui bebelan Kak Muni. Uzma merasakan yang dia ini seorang pendengar yang bagus. Kenapa? Dia tidak pernah melawan setiap kata-kata Kak Muni. Semuanya diangguk. Kadang-kadang dia ketawa di dalam hatinya kerana banyak kata-kata Kak Muni yang tidak masuk akal. Tetapi ada juga satu dua nasihat yang menusuk ke dalam jiwanya. Seperti sampah-sampah di dalam longgokan yang besar pasti ada juga barang berharga yang boleh kita jumpai di situ. Seperti bernasib baik atau dengan penerangan teknikalnya yang selalu digunapakai oleh kaki judi iaitu konsep kebarangkalian.



Pagi tadi dia bangun seperti hari-hari sebelum dan bersedia untuk ke tempat kerja. Tetapi bila ingatan kembali pulih dan sedar bahawa diri sudah dipecat terduduk Uzma di atas kerusi meja soleknya. Dia seperti tidak dapat menerima kenyataan itu. Akhirnya dia membawa diri ke kedai mamak dan melayan perasaannya seorang diri sehingga tengah hari.



Sudah tiga empat kedai yang disinggahinya tidak ada satupun yang menawarkan sebarang jawatan. Mereka lebih gemar mengambil pekerja yang terdiri dari lepasan SPM ataupun pekerja asing yang boleh dibayar dengan harga yang lebih murah. Nampaknya hari ini pun nasib masih tidak ada. Besok mesti cari kerja lagi. Nanti duit dalam simpanan habis macammana mahu membayar sewa rumah. Paling penting perut mahu dijaga.



Akhirnya dia menuju ke Petaling Street. Atas alasan mahu ’window Shopping’ dahulu sebelum pulang ke rumah. Semasa meneliti pelbagai jenis baju penjaga kedai dengan wajah paling manis cuba mengambil hati Uzma agar membeli baju tersebut. Boleh tahan juga design baju ini, bisik hati kecilnya. Tapi harganya hampir seratus ringgit. Sembilan puluh sembilan ringgit sembilan puluh sen sahaja. Kalau dalam status Uzma yang menganggur sekarang ini memang tidak mampu membayar sebanyak ini.



“Murah saja ni. Kalau itu supermarket baju ni tiga ratus ringgit woo.”



“Saya mahu tengok saja.”



“Ala. Cik angkatlah saya boleh kasi itu harga kurang lagi. Tengok ni. Cantik. Kuat jahitan dia woo.” Penjual itu menunjuk-nunjuk jahitan pada baju yang kelihatan kukuh.



“Memang cantik. Tapi saya tak mampu beli baju ni.”



“Haiya Cik. Saya kurang jadi tujuh puluhlah.”



“Nanti dulu. Saya mahu tengok yang lain.”



“Berapa you mau Cik. Kita boleh bincang.” Biarpun perkataan bincang tapi suara penjual itu dikeraskan. Uzma risau dengan situasi seperti ini. Bukannya dia tidak mahu beli. Tapi dia ada masalah kewangan sekarang ini. Si penjual ini pun satu. Macam memaksa dia membeli sahaja.



“Saya tak mahu. Kalau lima puluh bolehlah saya fikirkan lagi.” Uzma menegaskan sambil matanya menjeling ke arah baju yang lain. Kemudian dia mahu keluar dari kawasan kedai itu. Si penjual menahan dia dan masih mahu dia membeli barangan dia.



“Okay. Lima puluh saya jual.” Alamak. Uzma tersilap cakap. Bukannya dia bermaksud mahu membeli. Tidak disangka bahawasanya harga baju itu boleh dikurangkan lagi. Dia sememangnya tidak berniat untuk membeli lagi. Dia hanya ingin buat survey sahaja untuk hari ini.



“Errr… saya tak mahu lagi tokey. Nanti bulan depan saya datang beli.”



“Haiya. Mana boleh. Tadi you minta lima puluh. Sekarang tak mahu pulak. Mana boleh. Kena beli woo.” Si penjual tidak mahu melepaskan Uzma berlalu dari situ selagi dia tidak membeli barangannya. Wajahnya Nampak bengis. Tiada lagi senyum seperti mula-mula tadi. Aduh. Sakit jiwa. Taubat. Tak mahu datang lagi ke sini.



“Eh sayang, kenapa kat sini lagi. Puas abang mencari.” Tiba-tiba tanpa diduga seorang lelaki menarik tangan Uzma keluar dari kedai tersebut. Si penjual hanya terlopong melihat gadis itu rupanya ada teman.



‘Alamak. Makhluk mana pula tiba-tiba menarik tangan aku keluar dari sini.’ Bila diamati wajah lelaki itu baru dia perasan yang ianya adalah lelaki yang dia tumpahkan bubur ke atasnya tempoh hari. Bagai dipukau dia mengikut sahaja lelaki itu keluar dari kawasan itu.



“Lain kali, jangan masuk ke sini seorang diri. Bahaya.” Lelaki itu sempat lagi memberi nasihat sebelum dia menghilangkan diri dicelah-celah orang ramai. Kerana terlalu terkejut dengan peristiwa yang berlaku dia tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. Lagi pun sepanjang bersama lelaki itu dia merasakan kerongkongnya tersumbat sehingga tiada sepatah suara pun yang dapat keluar ke alam nyata.



‘Ah kebetulan pula. Lelaki itu yang membantu aku. Bukannya dia kenal aku pun. Apa hal dia tiba-tiba kat sini.’ Sekali diingat macam kisah super hero pula. Yang akan muncul bila ada manusia sedang dalam kesusahan. Apa-apa pun Uzma bersyukur kerana dia selamat.

No comments:

Post a Comment