Wednesday, June 16, 2010

Biar Bulan Tersenyum 21


Suria yang memancar terang di kala ini membolehkan para peniaga membuat urusan mereka dengan lebih teratur. Begitu jugalah dengan para pembeli yang perlu memenuhkan kembali peti sejuk mereka dengan stok yang baru dan bagi yang tiada peti sejuk terpaksalah membeli dengan kadar yang cukup untuk sehari atau dua. Perjalanan hidup ini yang sentiasa berputar dan membuat perkara yang sama setiap hari menjadikannya rutin.

Jam menunjukkan tepat 12 tengahari dan sepatutnya matahari sudah terpacak di atas kepala. Tapi dalam kehidupan seharian, kita tidak pernah mengambil tahu itu semua. Tidak ada masa untuk memerhatikan sesuatu perkara yang biasa kita lalui hari-hari. Mungkin jika ada perkara yang luar biasa baru kita akan teringin untuk mengambil tahu.

Selepas mengerjakan solat zohor lebih kurang pukul dua petang Uzma melangkah keluar dari apartmentnya dan bersedia untuk ke rumah majikannya di Bangi. Dia singgah sebentar di pasaraya berdekatan untuk membeli sebotol air mineral buat bekalan semasa perjalanan.
Sebaik keluar dari pasaraya tersebut ada suara menyapa dia. Dia memandang ke arah suara yang memanggilnya. ‘Alamak, mamat ni lagi. Ingatkan dah tak berjumpa lagi. Aduh mati aku. Malasnya nak layan.’ Uzma menggomel seorang diri. Kelihatan resah dalam menempuh situasi yang tidak dia senangi ini.

“Uzma, apa khabar.”

“Er… baik.”

“Tak sangka ya, boleh berjumpa awak lagi.”

“O.” Uzma Cuma melopong dan tidak ada idea untuk berkata-kata di waktu yang kritikal seperti ini. Tahu pula dia, Uzma ada di sini.

“Kalau saya ajak awak minum, bolehkan?”

“Er… bukan tak boleh tapi…” Uzma memerah idea dari kepalanya. Namun dia masih buntu. Apakah alasan yang perlu diberikan. Masih terbayang dikepalanya kejadian tempoh hari. Walau pun dia tidak sudi tetapi dia terpaksa mengikuti ajakan lelaki yang bernama Yazid itu. Dia pun tidak faham kenapa dia senang sahaja mengikuti lelaki yang tidak dikenalinya itu. Nasib baik tidak ada apa-apa yang terjadi. Lagi pun dia langsung tidak mengenali siapakah Yazid itu. Baikkah dia atau jahatkah dia bersarang dalam kepala Uzma. Menjadikan kepala kecil itu sarat dengan keserabutan.

“Tapi apa Uzma?” Yazid yang tidak sabar menanti jawapan dari mulut Uzma terpaksa mengejutkan Uzma dari lamunannya.

“Saya sedang menunggu kawan.”

“Sekejap pun tidak bolehkah?”

“Lain kali sajalah Yazid. Saya kena cepat ni.”

“Uzma, boleh saya tanya satu soalan.” Yazid menarik tangan Uzma. Tetapi tidaklah sehingga menyakitkan. Dia cuma mahu Uzma mendengar kata-katanya dahulu sebelum Uzma pergi.

“Emmm… boleh. Apa dia?” Uzma terkejut bila di tarik tiba-tiba. Dia menarik kembali tangan nya yang digenggam oleh Yazid.

“Kenapa awak tidak pernah menjawab panggilan dan sms dari saya?”
Soalan cepumas yang keluar dari mulut Yazid memang sudah diduga. Itulah juga sebab kenapa dia hendak beredar dari situ secepat mungkin. Malangnya terjerat juga. ‘Aduh. Bisa mati kalau begini. Macammana ni?’ Hari yang panas bertambah panas dan resah dijiwa menjadi bertambah celaru.

“Telefon rosak.” Entah kenapa terkeluar sahaja perkataan yang bukan bukan dari mulutnya.

“Eh, tu yang tersangkut kat leher awak tu bukan awak punya.”

“Hari tu. Sekarang dah elok dah.” Sepatah Uzma menjawab. Lantaklah apa nak jadi. Mungkin ini dinamakan tipu sunat. Jarang dia melakukan penipuan sebegini. Selalunya jawapan yang terlontar dari mulutnya adalah jawapan jujur. Apakah kerana dia sudah tidak ada idea lagi hendak menjawab menjadikan dia seorang yang penipu. Ada juga terdetik kekesalan dalam hati Uzma, tapi apa boleh buat benda dah terkeluar dari mulut. Tak kan hendak ditarik balik.

Yazid tidak puas hati dengan jawapan yang diberi. Uzma semakin gelisah. Pada masa kritikal ini, tiba-tiba mata Uzma terpandang seseorang yang berjalan ke arah mereka. Adakah ini akan dapat membantunya. Cubalah dahulu.

“Abang kenapa lambat sangat sampai.” Tiba-tiba Uzma menarik tangan Hanaffee yang kebetulan lalu di kawasan itu menyebabkan Yazid termanggu keseorangan. Kelihatan ada rasa marah dan bengang diwajahnya. Yazid menggempalkan tangannya dan menumbuk tangan yang satu lagi. Ada dendam pada wajahnya.

Hanaffee yang terkejut dengan situasi tersebut hanya melayan Uzma malah bila dilihatnya Uzma yang menarik tangannya dia cuba melakonkan watak yang diingini oleh Uzma. Mungkin ini dinamakan pucuk dicita ulam mendatang.

“Cepatlah.” Uzma menggesa Hanaffee berjalan pantas kononnya dia boleh lari jauh dari Yazid. Sementara Yazid tidak mengejar barang selangkah pun. Hanaffee mengikut cuma.

“Awak ni. Kita nak ke mana sebenarnya? Budak lelaki tadi ganggu awak kah?” Hanaffee yang tidak tahu apa-apa itu bertanya terhadap apa yang telah terjadi ini. Dia pun tidak tahu ke mana sebenarnya Uzma ingin membawa dia lari. Atau dengan kata lain destinasi yang perlu ditemaninya.

“Entah. Saya pun tak tahu.” Uzma berhenti dan baru tersedar yang dia tidak tahu ke mana harus mereka pergi. Dia terkejut kerana Hanaffee melepaskan tangannya yang memegang tangan Hanaffee. Uzma tidak perasan langsung yang dia telah berpaut ke tangan Hanaffee. Malu tidak terkira sehingga tompok-tompok merah kelihatan di wajah putih Uzma. “Sorry.”

“Okaylah. Mari ikut saya.” Hanaffee mengajak Uzma mengikutinya pula. Dia membawa Uzma ke kawasan tempat letak kereta. Dia terus masuk ke dalam kereta. Sementara Uzma yang masih keliru hanya berdiri membatu diluar. Hanaffee menurunkan cermin di bahagian Uzma berdiri.

“Apa tunggu lagi. Masuklah.”
Akhirnya Uzma membuka pintu dan masuk ke dalam kereta.

“Sekarang beritahu saya, awak hendak ke mana sebenarnya? Biar saya hantarkan.”

“Hantarkan saya ke stesen Central sahaja.” Uzma tidak mahu menyusahkan Hanaffee sebenarnya. Dia boleh sahaja menaiki bas untuk ke stesen Central. Tapi dia takut juga jika tiba-tiba Yazid mengekorinya.

“Saya Affee. Awak?” Hanaffee mengambil peluang untuk mengenali lebih dekat gadis disebelahnya itu.

“Uzma.” Uzma menjawab sambil menunduk. Entah malu atau gelisah, dia pun tidak tahu.

“Awak tinggal di sini?” Uzma hanya menganggukkan kepalanya bagi menjawab soalan Hanaffee. Sementara Hanaffeee yang sudah tahu di mana Uzma tinggal cuma mahu memenuhi ruang kosong yang diam sepanjang perjalanan.

“Affee. Maafkan saya kerana menyusahkan awak.” Setelah lama berdiam diri akhirnya Uzma bersuara juga.

“Tidak menjadi masalah kepada saya. Kalau awak perlukan apa-apa bantuan jangan segan-segan untuk menghubungi saya.” Sambil tangannya mengambil kad perniagaan dalam pokek bajunya. Kemudian dihulurkan kad tersebut kepada Uzma.

Setelah meneliti seketika kad nama tersebut dia menyimpannya di dalam tas tangannya. Berlainan sungguh bicara Hanaffee jika dibandingkan semasa di Restoran tempoh hari. Sebelum ini, pemuda inilah yang paling dibencinya. Tetapi pemuda ini juga pernah menolongnya. Sudah dua kali dia menjadi super hero kepadanya. Bila berada dalam situasi seperti ini dia tidak faham mengapa sewaktu bersama pemuda ini dia berasa selamat. Sungguh kritikal pemikiran Uzma sekarang ini. Keliru lagi pening.

Setelah sampai ke destinasi, Hanaffee memberhentikan kereta di tepi jalan. Dia kemudian memandang Uzma yang seperti hendak berkata sesuatu.

“Emmm… terima kasih.” Rupanya itu sahaja yang ingin dia beritahu. Susahnya suara emas ini melepasi kerongkong.

Hanaffee hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Senang sekali melihat gadis yang gelabah di hadapannya ini.

“Opppsss… satu lagi.” Sempat Uzma menyambung. “Terima kasih juga untuk pertolongan di Petaling Street dahulu.”

“Harap berjumpa lagi dengan awak selepas ini.”

Uzma memberikan senyuman yang paling manis pada firasatnya dan cepat-cepat meninggalkan Perdana V6 itu. Sementara Hanaffee memandang Uzma sehingga tidak kelihatan lagi bayang Uzma. Ada keceriaan diwajahnya.

Friday, June 11, 2010

Biar Bulan Tersenyum 20


SETELAH penat berjalan seharian di KLCC sehingga ke malam maka sampailah ketiga-tiga dara pingitan itu ke apartment mereka. Hari ini tujuan utama mereka bukan untuk membeli belah jadi bagaimana mereka pergi, begitulah juga ketika mereka pulang. Tiada barangan dijinjing di tangan. Betul-betul keluar untuk ‘Window Shopping’. Mereka hanya ingin melepaskan ketegangan diwaktu kerja. Hari ini mereka menghabiskan masa di KLCC. Kebanyakkan kedai-kedai di situ menerima kunjungan tidak rasmi mereka bertiga.


“Penat betul hari ini.” Maria mengeluh sambil mengeliatkan badannya di atas sofa sambil matanya memerhatikan video klip dari siaran MTV yang terpapar di skrin TV LCD di rumah mereka.

Seri hanya mengiakan manakala Uzma berada di dapur membuat air untuk mereka bertiga. Mungkin disebabkan sudah terbiasa dengan kerja-kerja sebegitu dia menjadi biasa pula untuk menyediakan minuman tersebut.

“Wah. Memang berubah betullah kawan kita yang seorang ni. Dulu, kalau nak masuk dapur punyalah susah.” Maria memulakan kata seperti biasa mengusik Uzma sewaktu Uzma menuangkan teh ke dalam cawan masing-masing.


“Ya la. Dulu tak menyempat-nyempat suruh aku masakkan maggi untuk dia. Sekarang tak payah suruh. Memang kalau aku ada anak lelaki mesti aku bookkan untuk dia dah. Ha ha ha…” Seri menambahkan lagi usikan terhadap Uzma.


“Kalau aku malas engkau orang complaint. Rajin pun tak boleh juga. Ish ish ish…” Uzma sebenarnya tidak mengambil hati langsung dengan perkataan rakan-rakannya itu. Mereka sudah biasa bergurau sebegitu. Itu yang membuatkan mereka bertambah rapat antara satu dengan yang lain.


“Betulkah engkau tidak pernah berjumpa dengan anak Mak Datin tu? Macam tak percayalah. Kalau aku mesti aku cari juga gambar dia sampai jumpa. Barulah puas hati.” Seri bertanya dengan nada musykil.


“Betul. Tidak pernah sekali pun aku berjumpa dengan anak Datin. Gila ke apa nak selongkar bilik dia. Mak Leha saja yang boleh kemas bilik dia tau.” Itulah syarat yang dikenakan oleh Datin terhadapnya. Lagipun Mak Leha sudah menjadi seperti mak angkat kepada anak Datin. Datin Damia sudah tentu mempunyai alasan yang kukuh mengapa dia tidak membenarkan anak gadis yang seorang ini masuk ke bilik anaknya.


“Engkau suruhlah Mak Leha cilok dia punya gambar. Barulah best.” Maria memberi ideanya yang nakal.


“Ish engkau ni. Aku dapat kerja kat situ pun dah bersyukur. Buat apa nak kacau tepi kelambu orang. Tapi kan… Kau orang nak tahu tak, kata Mak Leha anak Datin tu hensem gila. Selalunya dia akan pulang rumah tu sewaktu hujung minggu macam nilah. Tapi kalau aku ada kat situ hujung minggu tak pernah pula bayang dia muncul. Boring betul. Kalau tidak, tentu aku boleh tangkap gambar dia bagi engkau orang tengok. He he he.” Uzma bercerita dengan penuh bersemangat.


“Aku rasa baik engkau balik sekarang. Tentu dia ada kat rumah tu.” Maria sekali lagi memberi cadangan yang nakal lagi tidak masuk akal. Sudah letih sebegini disuruhnya budak Uzma tu balik. Tengah-tengah malam lagi.


“Malaslah nak layan engkau orang. Masuk tidur dululah. Nanti jangan lupa basuh gelas tu sendiri.” Uzma menjuihkan mulutnya dan menjelir lidah lalu cepat-cepat dia menghilangkan diri ke dalam bilik. Sementara Maria dan Seri ketawa dengan telatah Uzma.


***


BERPELUH seluruh anggota badan. Letih sekali. Inilah gara-gara hendak menjadi private investigator. Lagipun peluang terbaik ini akan terlepas jika dia tidak mencekaunya. Apatah lagi setelah dua tiga kali bertemu tapi tidak sempat berkenal. Sekurang-kurangnya hari ini dia berjaya menjejak di mana tinggalnya gadis yang selalu menjadi tanda tanya itu. Lagi pun kadang-kadang ada juga rasa bersalah dengan kejadian di restoran suatu ketika dahulu. Dia pun tidak tahu kenapa hatinya senang menjadi sayu. Mungkin selepas kemalangan yang dialami oleh Mardiana membuatkan dia senang belas dengan sesiapa sahaja.


Hanaffee yang berdiri di luar balkoni apartmentnya memerhati apartment Nusa yang berhadapan dengan rumahnya. Rupa-rupanya gadis misteri itu berada di sebelah apartment sahaja. Mengapalah selama ini tidak pernah berjumpa dengan budak itu di kawasan ini. Keluh hatinya. Kalaulah gadis yang selalu berada di luar barkoni sebelah sana adalah gadis yang sama tentu lagi best. Ah. Mimpilah hendak ada kebetulan disepanjang masa. Ini bukan cerita dalam filem yang memestikan kebetulan dalam cerita. Malangnya malam ini gadis itu tidak ada di situ pula. Entah-entah dia sudah pindah. Bulan yang melekat di langit hanya tersenyum melihat luahan rasa hati seorang teruna yang keliru.


Sementara itu di Apartment Nusa, Uzma sudah melayang terbuai mimpi yang datang menjelma tanpa diundang. Mimpi yang datang juga bersama bulan yang tersenyum dan berbisik sesuatu kepadanya. Namun dia tidak memahami apa yang bulan itu berbicara. Aduh, dalam mimpi pun kena berfikir.

Wednesday, June 9, 2010

Biar Bulan Tersenyum 19

(Gambar Hiasan)

RUPA-RUPANYA kemalangan tempoh hari telah memberi kesan pada ingatan Mardiana. Dia tidak dapat mengingati separuh dari perjalanan hidupnya. Ada benda yang dia ingat dan ada cerita yang dia lupa.

“Ini kita panggil amnestic syndrome atau dengan kata lain amnesia.” Doktor Leenda memberikan penjelasan tentang penyakit yang dialami oleh Mardiana.

“Ada harapankah lagi untuk baik seperti dahulu? Tolonglah Leenda.” Datin Sofia kelihatan sungguh risau dengan perkembangan terbaru ini. Tidak sempat Leenda menerangkan dia terus bertanya dengan terburu-buru. Doktor Leenda yang sememangnya selalu melalui saat seperti ini dengan keluarga pesakit-pesakit sebelum ini, membiarkan Datin Sofia tenang baharu dia meneruskan bicara.

“Jangan bimbang Datin. Selalunya pesakit yang mengalami sindrom ini cuma mengalami masalah memori jangka pendek sahaja. Memori yang telah lama tersimpan selalunya masih kekal. Sebab itu dia masih mengenali Datuk dan Datin. Selalunya peristiwa-peristiwa yang terbaharu atau sekarang dia tidak berapa ingat. Disamping ubat yang diberi kita kena membantu dia mengingati apa yang telah dia lupa seperti menunjukkan gambar masa lalu.” Doktor Leenda cuba menerangkan situasi yang terjadi terhadap Mardiana kepada Datin Sofia dan Datuk Yusman di pejabatnya.

Mata Datin Sofia sudah mula mengenang dengan air mata mendengar penjelasan tersebut. Dia takut jika ditakdirkan Mardiana akan terus lupa ingatan. Itulah satu-satunya anak kesayangannya.

“Datin. Biarpun lupa tapi ianya tidak sampai mengganggu tahap intelegennya. Dalam ujian yang kita lakukan terhadap Mardiana, dia dapat memahami apa yang tertulis dan apa yang kita cakapkan. Cuma dia lambat bertindak dan otaknya belum selari dengan perbuatannya. Itu menyebabkan bila dia hendak bertutur dia seperti berfikir dahulu berkenaan hal yang ingin diperkatakan.”

“Oh. Jadi Mardiana masih ada harapan lagilah.”
Doktor Leenda menganggukkan kepalanya menyebabkan wajah Datin Sofia kelihatan sedikit lega.

***


AIR PANCUTAN yang dilepaskan bagai mengikut irama itu melekakan mata yang memandang. Orang ramai yang melawat ke situ mengambil kesempatan merakamkan memori bersama air yang membentuk seni yang cantik di udara. Suasana di kolam yang terletak di luar Suria KLCC ketika ini ramai dengan manusia terutamanya para pelancong asing.

Di balik kesesakan, kelihatan tiga dara pingitan yang turut sama menyaksikan detik-detik yang indah ini. Sudah lama mereka tidak bersua. Biarpun satu ketika dahulu mereka sentiasa bersama, kini mereka sudah jarang berjumpa. Dunia pekerjaan mereka yang berlainan itu membuatkan mereka selalu terpisah.

“Susah benar kita bertiga hendak jalan sekali kan.”

“Itulah. Si Uzma ni pun tadi nyaris-nyaris tidak dapat datang. Maklumlah sekarang ni dah ada Mak angkat baru.” Ketawa berderai bercampur dengan suasana yang sedia bising di kawasan itu. Masing-masing sudah tidak kisah dengan orang lain. Membuat kerja sendiri. Peduli apa jika orang memerhati gelagat kita sekali pun. Mereka dengan cara mereka. Kami dengan cara kami. Sentiasa ceria bila bersama.

“Eh. Engkau orang ni kalau tidak mengutuk aku seminit tak boleh kah? Mana ada aku jadi anak angkat pula.” Uzma yang sudah kemerahan pipinya mula mempertahankan diri.

“Entah-entah sekarang ni tengah bercinta dengan anak Mak Datin tu. Emmm… tengok muka pun ceria sahaja.” Seri menambahkan lagi kehangatan yang dimulakan oleh Maria tadi.

“Ala… Susah betullah kau orang ni. Anak dia pun aku tidak pernah jumpa, macam manalah aku nak bercinta.”

“Kalau dah mak dia engkau dah ambil hati, dah tentu anak dia senang-senang engkau dapat. Ha ha ha.” Maria yang agak nakal menyakat lagi.

“Aku sedar siapa aku kat rumah tu. Macam kuman dengan helikopter.” Uzma buat-buat muka kesian atau boleh juga dikatakan muka seposen dengan harapan kutukan yang dilontarkan terhadapnya akan berkurangan. Tidak larat dia hendak menepis peluru-peluru dari mulut dua sahabat baiknya ini.

“Hek eleh… peribahasa apalah yang engkau bawa ni. Tak kena langsung.” Seri yang sedang mengambil gambar air pancutan dengan handphonenya sempat mencelah.

“Hoi kawan-kawan ku yang disayangi. Kita ni datang ke sini untuk mengutuk aku saja ke. Aduh. Menyesal datang ke sini tadi. Ish ish ish... Nak baliklah.” Uzma yang sudah tidak keruan itu terpasa memasang strategi lain pula iaitu tindakan menyerang balas.

“Aduyai… merajuk pula kawan kita ni. Jomlah kita masuk ke dalam pula. Kat sini sudah panas. Nanti meletup siapa nak jawab. Okaylah… jom aku belanja engkau orang makan ais krim.” Maria yang sedar dia memulakan. Tahu pula hendak memujuk dengan ais krim. Sememangnya ais krim merupakan kegemaran bagi ketiga-tiga anak gadis ini.

Maria menarik tangan Uzma yang mukanya sudah mula masam ala ala merajuk itu masuk ke dalam bangunan Suria KLCC yang mana di situ terdapat bermacam-macam kedai yang boleh di ‘window shopping’kan. Seri hanya menikut mereka berdua dengan malasnya kerana dia masih belum puas merakam gambar air pancutan buat kenangannya nanti.

Keriangan yang dimiliki oleh mereka bertiga rupa-rupanya diperhatikan oleh sepasang mata sayu dari jauh. Dia cuba mengikuti gadis-gadis tersebut. Kali ini dia tidak mahu terlepas lagi. Entah mengapa dia membuat kerja gila ini. Tetapi apa yang dia perasan setiap kali dia berjumpa dengan wajah itu dia terasa seperti ada sesuatu yang melekat di dalam hatinya.