Tuesday, March 30, 2010

Biar Bulan Tersenyum 16

(Gambar Hiasan)


Alamanda, Putrajaya

“KENAPA bawa saya ke sini? Area KL pun okay kan.”


“Awak tak suka?” Hanaffee mengutarakan pertanyaan tanpa menjawab soalan yang dilontarkan Leenda. Mereka baru sahaja sampai ke parking bahagian selatan di pusat membeli belah Alamanda di Putrajaya.


“Tak takut kah nanti terserempak dengan keluarga awak? Apa pula kata dia orang.” Sambil membuka pintu dan keluar dari kereta sambil membetulkan kain baju kurung berwarna ungu yang menyerlahkan lagi keayuan pada tuan empunya badan.


“Apa yang nak dirisaukan. Bukannya kita buat perkara yang tidak senonoh di sini. Lagipun family saya kan dah lama kenal awak.” Setelah mematikan enjin Perdana V6nya Hanaffee mengunci stereng dan mereka beriringan masuk ke dalam pusat membeli belah itu.


Terus menuju ke level G dan berjalan menyinggah di beberapa buah kedai sambil melihat-lihat barangan yang dipamerkan di kedai tersebut. Bermula dengan kedai Orlando, Binwani’s, Bonia dan seterusnya mereka berjalan menuju ke Centre Autrium dimana ada bulatan besar seperti roundabout dan dari situ boleh memerhati ke level LG yang selalunya pameran dan promosi secara besar besaran diadakan di situ. Terdapat tiga cabang, satu untuk ke medan selera RASA, Bowling dan juga Cineplex sementara cabang yang lain menuju ke kedai-kedai sehinggalah penghujungnya pasaraya Carrefour. Dan yang terakhir sekali cabang ke kawasan restoran seperti Big Apple, JM Beriani, Sushi King dan bermacam lagi tempat yang boleh menjamu selera. Mereka memilih perjalanan ke Carrefour dan kemudian berpatah balik mencari tempat yang boleh menghilangkan dahaga setelah penat berjalan.


Leenda cuba menyuarakan kegusaran dihatinya. Manalah tahu jika terjumpa pula dengan Datin Damia atau Datuk Zambri di sini. Dia tidak boleh mengambil kesempatan terhadap kepercayaan mereka yang melantik dia sebagai doktor peribadi keluarga itu. Biarpun begitu dia begitu senang dengan keadaan tersebut. Dapat melupakan sebentar kehidupan hospitalnya dimana di situ dia lebih kepada melayan dan memeriksa seterusnya mengawasi para pesakit. Kehidupannya lebih tertumpu di hospital hinggakan jarang dia keluar berjalan-jalan atau membeli belah. Dia akan berbuat demikian jika perlu sahaja. Mungkin ini adalah salah satu faktor mengapa dia masih belum mempunyai pasangan atau seorang lelaki yang bernama kekasih.


“Tersenyum seorang nampak. Apa yang awak fikirkan ini. Mesti fikiran awak melayang kemudian tembus kat atap tu dan pergi entah ke mana-mana.” Sambil menunjuk ke atap dan menggayakan fikiran yang melayang dengan menggunakan kedua-dua tangannya.


“Apalah Affee ni. Leen kan tengah khusyuk berangan nak jadi tauke Yamaha muzik tu.” Sambil tangannya menuding kedai muzik Yamaha yang berada di hadapan mereka. Mereka sedang duduk dibangku yang di sediakan di situ.


“Nak jadi tauke kah atau nak pikat si anak tauke.” Hanaffee cuba menyakat Leenda.


“Iyalah tu. Emmm… kalau tak dapat jadi tauke, anak tauke pun jadilah.” Tersembur ketawa dari mereka berdua. Suasana tenang itu riang. Ceria.


Semenjak dua menjak ini, Hanaffee selalu bersama dengan Leenda. Mungkin kerana Leenda sanggup untuk menenangkan fikiran Hanaffee dan mereka jadi semakin rapat. Tidak bermakna Mardiana dilupakan terus. Masih ada masa untuk Hanaffee bersama dengan Mardiana. Cuma kesedihannya mungkin dikongsi bersama dengan Leenda. Disebabkan itu Leenda tidak jemu-jemu memberi semangat dan dorongan terhadap Hanaffee agar dia lebih tabah dan secara tidak langsung menjadikan Leenda sebagai rakan kaunselornya.


Bunyi telefon bimbit dari tas tangan Leenda mengganggu perbincangan mereka.


“Hello. Leenda bercakap.” Leenda banyak mendengar sahaja apa yang diperkatakan oleh orang didalam telefon bimbitnya itu membuatkan Hanaffee berasa ingin tahu butir bicara yang disampaikan kepada Leenda. Tetapi dia hanya dapat menangkap bunyi bising dan tidak dapat menangkap butir bicara dari speaker telefon bimbit Leenda.


“Alhamdulillah. Saya akan datang sekarang.” Leenda mematikan telefon yang panggilannya sudah tentu dari HUKM. Kemudian dengan wajah agak sedih kerana tidak dapat bersama lebih lama lagi dia melirik pandang kearah Hanaffee. “Affee, kita kena balik hospital sekarang. Sorry.” Leenda tahu ada kekecewaan dibalik wajah lelaki itu. Mungkin ini salah satu lagi sebab kenapa seorang Leenda masih membujang. Selalu berada dalam keadaan standby terhadap panggilan dari pejabat.



***


HUKM

MUNGKIN ini boleh dikatakan berita gembira apabila Mardiana membuka matanya dan mengeluarkan perkataan pertamanya memanggil ibu. Begitu gembira Datin Sofia yang kebetulan sedang menjaga Mardiana pada hari itu. Dia memeluk Mardiana yang masih lemah. Tidak ada apa lagi yang boleh dikatakan melainkan bersyukur ke hadrat ilahi. Datin Sofia yang begitu rindu dengan anaknya itu tidak mahu melepaskan Mardiana dari pelukannya hingga sedikit merimaskan Mardiana. Mardiana tidak pula melarang atau menolak. Mungkin kerana badannya yang lemah membuatkan dia tidak berdaya hendak berbuat apa-apa.


Setelah puas memeluk anaknya Datin Sofia membuat panggilan kepada Datuk Yusman untuk memberitahu perkembangan terbaru Mardiana. Hilang segala penat lelah selama dia berada di hospital ini.

Friday, March 19, 2010

Biar Bulan Tersenyum 15

(Gambar Hiasan)


DI DALAM bilik pembantu rumah, Uzma berbaring sebentar selepas menunaikan solat zohor. Selalunya waktu paling sibuk untuk bekerja adalah disebelah pagi. Kini dia sedikit keletihan selepas bekerja separuh hari pada hari ini. Kesempatan yang ada digunakan untuk merehatkan dirinya sebentar. Namun jika dibandingkan dengan bekerja di pejabat utama, kerja di sini lebih senang. Di Maju Bersih dia perlu banyak berjalan dari rumah ke rumah atau dari pejabat ke pejabat dengan mengangkut segala peralatan dan mengikut lokasi yang diberikan oleh penyelia.

Di sini dia tidak ada jadual yang ketat. Kerjanya hanya memastikan rumah Datin Damia sentiasa bersih dan teratur. Rasa dihati Uzma bagai ingin bekerja di sini buat selama-lamanya. Tenang. Tiada tekanan dari mana-mana pihak. Lagi pun tuan rumah begitu baik hati.
Tangannya disilangkan ke dahi sambil fikirannya menerawang ke sana dan ke mari. Sesekali dia terkenangkan semasa dia kecil. Kemudian dia terbayangkan rentetan bagaimana dia boleh sampai ke sini. Selalu terjumpa dengan lelaki ‘itu’ yang membuatkan dia trauma. Sehingga sekarang dia belum mengetahui siapa lelaki ‘itu’.

Kemudian fikirannya menerawang terhadap seorang pemuda yang menarik perhatian dia semasa dia pulang bercuti minggu lepas. Ketika itu dia sedang leka memilih barangan basah di pasaraya GHI berdekatan dengan apartmentnya, bakul yang berisi barangan yang dipegangnya tersangkut pada tangan seorang lelaki. Hasilnya bakul itu terjatuh ke lantai. Mujur tiada barangan yang mudah pecah didalamnya.

Semasa menunduk untuk mengutip barang yang jatuh sambil mulutnya berkali-kali meminta maaf kepalanya terlanggar pula dengan kepala lelaki itu menyebabkan dia tidak dapat menyeimbangkan diri dan jatuh terduduk ke belakang. Malu tidak terkira diketika itu. Lebih kurang lima orang makcik yang membeli barangan di situ terpaku dengan insiden tersebut. Ada diantara mereka yang terjerit bila melihat Uzma terjatuh. Lelaki itu pula masih dapat menyeimbangkan dirinya dari terjatuh. Namun dia berasa kasihan melihat gadis di hadapannya terduduk lalu dihulurkan tangannya ke arah gadis itu. Sebelah tangan lagi masih menggosok kepalanya yang terkena dahi Uzma. Dari situlah bermulanya perkenalan mereka yang singkat itu.

“Maafkan saya. Betul-betul tidak sengaja.” Sekali lagi Uzma meluahkan rasa kekesalan yang teramat sangat hingga dia lupa kesakitan sendiri.

“Okay tak apa. Awak okay kah?” Sambil membantu Uzma mengumpul barang yang dia hendak beli dan meletak kembali ke dalam bakul.

Uzma mengangguk walaupun dia rasa sakit dan yang lebih perit perasaan malu atas kecuaian diri sendiri. Lelaki itu membantu membawa bakul Uzma biarpun ditegah oleh Uzma. Dia tidak biasa dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Uzma hanya mengikuti dan apabila ditanya adakah lagi barang yang hendak dibeli, dengan pantas Uzma menggelengkan kepalanya biarpun sebenarnya dia masih ada banyak barang yang ingin dicari.

Mereka menuju ke kaunter dan Uzma mengambil kembali bakul yang berisi barangannya untuk dibayar. Selesai membayar Uzma terus berjalan keluar pasaraya untuk pulang. Lelaki itu kebetulan keluar bersaing dengannya untuk ke tempat letak kereta manakala Uzma ingin melintas jalan. Sempat lagi lelaki itu menegur Uzma.

“Awak balik ke mana? Biar saya hantarkan.”

“Oh. Tidak mengapa. Rumah saya seberang jalan sahaja.”

“Orang sini rupanya. Anyway, boleh saya tahu nama awak? Saya Yazid.” Sambil menghulurkan salam perkenalan terhadap gadis di hadapannya. Teragak-agak Uzma menerima huluran tangan lelaki yang bernama Yazid itu.

Selepas berkenal nama, Yazid meminta nombor Uzma untuk berkenalan. Uzma tidak memberi nombor telefon yang diminta kerana dia merasakan tidak perlu untuk dia memberikan nombornya. Lagipun dia tidak kenal siapakah lelaki tersebut. Yazid tidak memaksa dan hanya mengucapkan terima kasih kerana meluang masa melayannya. Uzma terus berlalu dan Yazid hanya memandang dari jauh.

Malam itu di balkoni, Uzma seperti biasa duduk sambil menikmati pemandangan dan merenung bulan yang sama tanpa jemu. Ada juga kesal dihati kerana tidak memberikan nombor telefonnya kepada Yazid. Kalau di tengok paras rupa memang dia dikategorikan dalam kategori lelaki tampan. Itulah, kalau tengok rupa sahaja tetapi perangai entah apa apa takut juga.

Besoknya Uzma seperti biasa turun ke perhentian bas untuk ke rumah Datin Damia. Semasa dia leka menunggu kedatangan bas yang ditunggu bunyi hon mengejutkan dia. Apabila tingkap kereta itu diturunkan rupa-rupanya Yazid di dalam. Dia mengisyaratkan Uzma untuk naik ke keretanya. Uzma Cuma membalas dengan menggelengkan kepalanya. Yazid masih tidak mahu menyerah kalah dan masih menanti Uzma naik ke keretanya.

Kebetulan bas yang ditunggu telah datang. Uzma menjadi serba salah. Apatah lagi bas itu menghonkan kereta yang dipandu oleh Yazid kerana berhenti dilaluannya. Degil betul lelaki ini, gumam Uzma dalam hati. Dia bangun dari tempat duduknya. Kakinya mula melangkah ke arah bas. Tetapi bila sampai di pintu bas rasa tidak sampai hati pula dia terhadap Yazid lalu dia memaling dan melangkah menuju ke kereta Yazid.

Uzma membebel kepada Yazid di dalam kereta. Namun Yazid hanya tersenyum dan membawa Uzma untuk menjamu selera sebelum menghantar Uzma ke Bangi. Akhirnya lelaki itu dapat juga mengambil hati Uzma dan nombor telefon pun bertukar tangan.

“Ya aduh. Tuan Puteri dah terbang ke mana ni. Tersenyum sorang-sorang. Kacau ni.” Tiba-tiba sahaja Mak Leha muncul dan apabila dia memerhati gelagat Uzma, apa lagi seperti biasa dia pun mengusiklah rakan sebiliknya itu.

“Mak Leha lagi. Kacau daun betullah. Orang nak feeling pun tak boleh. Ish.” Mereka ketawa bersama, namun cerita yang sensasi itu tetap disimpan di dalam hati.

Friday, March 12, 2010

Biar Bulan Tersenyum 14

(Gambar Hiasan)

SAMBIL mengelap debu-debu yang melekat pada hiasan di dalam almari kaca Uzma sempat lagi mengalunkan lagu kesukaannya iaitu Cinta Adam dan Hawa nyanyian Misya Omar. Biarpun butir bicara pada lirik itu tidak begitu jelas namun iramanya tetap dapat ditangkap. Sesekali dia menggayakan seperti seorang penyanyi professional dengan mendekatkan botol cecair pencuci ke mulutnya.


Cinta adam dan hawa. Terbit di syurga terang di jiwa. Menggerakkan nurani. Mencari kasih suci. Sehingga kita yg tertinggal saling damba. Sentiasa rasa sunyi bersendiri. Mana dia kekasih hati. Mana dia pujaanku yang sejati. Dengarlah bisikan asmaraku. (Sebahagian dari lirik lagu Cinta Adam dan Hawa nyanyian Misya Omar)


“Wah, tuan puteri yang seorang ni. Bukan main lagi dia. Bukan setakat mengemas dan memasak, menyanyi pun dia boleh juga rupanya.” Mak Leha yang sedari tadi memerhati gelagat Uzma yang ceria itu tidak sabar untuk mengusik. Begitulah mereka, biarpun baru berkenalan tetapi mesranya seperti sudah kenal bertahun-tahun.


“Alah Mak Leha ni. Tiba-tiba sahaja menyergah. Kalau ya pun bagilah salam dahulu. Ini tidak. Boleh mati terkejut dibuatnya.”


“Amboi, ini mesti berlatih nak pergi audition… apa tu… aaa… AF kan.” Mak Leha masih lagi mengusik Uzma.


“Mana ada. Kan Uzma ni pencuci sepenuh masa. Tak ada makna dah AF tu semua. Lagi pun suara katak panggil hujan macam ni kalau masuk buat malu sahaja.”


“Okaylah tu. Nanti boleh juga masuk TV. Bukan yang konsert tu, tapi bahagian audition yang kena kad merah tu.” Mak Leha melepaskan tawa besarnya. Dia salah seorang peminat Akademi Fantasia. Mak Leha tidak pernah terlepas peluang mengikuti perkembangan rancangan itu dari tahun yang pertama lagi.


“Seronoklah tu kenakan Uzma.”


“Siapa kata Mak Leha kenakan Uzma. Mak Leha nak bagi semangatlah ni.”


Uzma mencebik mukanya tanda tidak puas hati dengan usikan Mak Leha.


“Kata orang kalau tiba-tiba menyanyi sorang-sorang macam ni ada penyakit.”


“Penyakit? Penyakit apa tu Mak Leha?” Uzma dengan seriusnya mengajukan soalan kepada Mak Leha. Tidak sabar-sabar dia inginkan jawapannya.


Mak Leha tidak terus menjawab. Lambat dia bertindak balas. Menyebabkan Uzma tidak keruan. Sengaja Mak Leha buat-buat membantu Uzma mengemas kawasan itu.


“Cakaplah cepat Mak Leha. Penyakit apalah pula tu.. Uzma pun nak tahu juga.”


“Alahai orang muda. Tak sabar sabar. Nak tau juga ya.” Mak Leha pun berlagak seperti sesuatu yang serius akan diperkatakan. Uzma hanya mengangguk. Manja.


“Emmm… setahu Mak Leha, kalau orang yang menyanyi sorang-sorang dengan begitu gembira sekali.” Mak Leha mengambil masa untuk menelan liurnya sebelum meneruskan kata-kata yang seterusnya. “Dia dapat penyakit angau.” Mak Leha sekali lagi dapat mengenakan Uzma sambil dia tersenyum manakala Uzma pula kemerahan wajahnya menahan malu.


Uzma mencebik dan menjelirkan lidahnya pada Mak Leha tanda tidak puas hati.


“Betul kah tekaan Mak Leha ni. Atau dah terpikat dengan anak tuan rumah ni.”


“Mana ada. Berjumpa pun tak pernah. Merepeklah Mak Leha ni.”


Mak Leha hanya tersenyum yang mana senyumannya itu penuh dengan makna. Orang lama pengalamannya pun banyak. Selalunya telahan mereka ini ada benarnya. Manakala Uzma terpaksa melayan senyumannya terhadap Mak Leha. Mungkin ada juga benarnya kata-kata Mak Leha. Semenjak suatu kisah yang terjadi tempoh hari semasa dia pulang ke apartmentnya hujung minggu lepas mungkin merupakan kenapa dia ceria pada hari ini.


“Amboi, seronoknya. Apa cerita yang sensasi sangat ni. Bolehlah kongsikan dengan saya sekali.” Datin Damia yang baru pulang dari hospital melawat Mardiana menyapa dua pembantu rumahnya itu.


“Oh datin. Maaf tak perasan tadi.” Mak Leha mengambil beg barangan yang dibeli oleh Datin damia untuk disimpan. “Ni hah. Uzma berangan-angan nak jadi penyanyi AF tu. Nak masuk audition katanya.” Mak Leha menjeling kearah Uzma untuk melihat reaksi rakan sebiliknya itu.


“Kalau ada bakat apa salahnya.”


“Mana ada Datin. Mak Leha saja buat cerita. Saya ni mana ada suara.” Uzma cuba mempertahankan dirinya. Sememangnya Mak Leha dan Datin Damia selesa apabila dapat mengusik Uzma. Mereka tidak kering gusi apatah lagi Mak Leha memang pandai menyakat uzma. Datin Damia tida berasa sunyi lagi dengan kehadiran pembantu rumahnya yang baru ini. Mungkin dia berkira-kira hendak menyambungkan kontrak Uzma di sini.


Sempat juga Datin Damia bercerita mengenai kecelakaan yang menimpa Mardiana kepada Mak Leha dan Uzma. Dia sememangnya berasa sedih kerana menganggap Mardiana sebagai anaknya sendiri juga. Lebih menyedihkan bila dia melihat Hanaffee yang turut sama bersedih.

Wednesday, March 10, 2010

Biar Bulan Tersenyum 13

(Gambar Hiasan)


HANAFFEE berteleku di atas kerusi berhadapan dengan katil yang penghuninya seorang wanita yang bernama Mardiana dengan siku di atas tilam dan tangannya ditopangkan pada dagu. Muram dia diketika itu dengan keadaan Mardiana yang koma. Ditenungnya wajah Mardiana dalam-dalam dan dia menggenggam erat jari jemari Mardiana yang lesu. Wayar yang berselirat dilekatkan di badan dan oksigen juga disambungkan melalui mulutnya. Begitulah setiap hari pasti Hanaffee akan melawat Mardiana di HUKM. Walaupun keadaan Mardiana disahkan stabil oleh doktor tetapi Hanaffee tetap berasa gundah kerana selagi tubuh dihadapannya itu tidak boleh bergerak dan bercakap selagi itu dia akan berasa tersiksa.

Kenapalah dia membiarkan Mardiana pergi dalam keadaan marah tempoh hari. Memarahi diri sendiri kerana membiarkan peristiwa itu terjadi dan menyebabkan insiden yang tidak diingini berlaku. Peristiwa yang tidak diduga itu berlalu begitu pantas dan membuatkan dia sesal. Tetapi apakan daya sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Diketika Hanaffee bersedih itu sepasang mata leka memerhati tingkah lakunya yang seperti tidak keruan itu dari balik cermin kaca yang memisahkan bilik rawatan dan laluan. Seperti ada rasa kesal atau bersalah dalam diri lelaki itu. Pada pandangannya tentulah antara mereka mempunyai ikatan yang begitu erat. Timbul rasa cemburu dengan pasangan itu, namun dia tidak mempunyai apa-apa hak untuk menghalang kisah cinta mereka.

Dia melangkahkan kakinya perlahan-lahan masuk ke bilik itu dan berjalan menuju Hanaffee. Dia turut memerhati perkembangan si gadis yang tidak sedarkan diri itu dan fail dihadapan katil yang dikemaskini turut diteliti.

Hanaffee yang tersedar dengan kedatangan tetamu yang tidak diundang itu, memandang sayu kearahnya. Namun di hadiahkan juga senyuman terhadap doktor yang merawat Mardiana.

“Oh Leenda. Maaf, saya tidak perasan tadi.”

“It’s okay. Saya tahu perasaan awak. Gadis ini tentu amat bermakna buat awak, kan?” Leenda membuka bicara dan dia tidak mahu orang yang tidak sakit, nanti akan jatuh sakit juga kerana terlalu memikirkan perihal orang yang sakit.

Hanaffee diam cuma. Dia tidak mampu untuk menjawab soalan yang diutarakan oleh Leenda yang juga merangkap doktor peribadi keluarga mereka. Jelas terlihat kesedihan diwajah. Membuatkan orang yang melihat pasti terharu.

“Apa kata kalau saya ajak awak ke kantin dahulu. Dari tadi awak kat sini. Belum makan dan berehat. Jangan begini Affee. Nanti memudaratkan diri sendiri.” Leenda mengajak Hanaffee untuk berehat sebentar.

Hanaffee yang tidak berkata-kata cuma menjawab dengan anggukan yang lambat. Perlahan dia bangun dan mengekori Leenda menuju ke kantin.

Setelah sampai ke kantin mereka mengambil makanan dan terus duduk di penjuru kantin. Jelas kelihatan Hanaffee seperti orang yang tidak bermaya. Mungkin kerana tidak cukup tidur atau mungkin juga terlalu melayan perasaannya yang bersalah membuatkan dia lupa untuk makan dan minum.

“Ada harapan lagikah dia Leenda?”

“Insyaallah, kalau mengikut data yang kita ambil kesihatan dia semakin pulih. Sekarang kita hanya perlu berdoa dan berserah kepadaNya. Kami akan buat yang terbaik untuk menyelamatkannya.”

Hanaffee mengeluh bagai tidak mampu lagi untuk bersabar menanti hari yang ditunggu. Leenda memberi semangat buat Hanaffee sehingga akhirnya Hanaffee menceritakan segala rahsia yang terkandung dalam fikirannya mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Bermula dengan persahabatan mereka sehinggalah tercetusnya perbalahan yang mengundang bala itu.

“Awak jangan risau. Sepanjang berada di sini saya akan menjaga Mardiana sebaik yang mungkin. Yang penting, nanti awak balik berehat. Awak pun perlukan kesihatan yang baik untuk menempuh perjalanan hidup yang mencabar ini. Mungkin ada hikmah dengan ujian yang diturunkan ini.”

“Terima kasih Leen atas perhatian awak.”

“Saya dah kenal awak sekeluarga dah lama. Dah macam keluarga sendiri. Kalau awak memerlukan apa-apa pertolongan jangan teragak-agak menghubungi saya.”

“Saya pun dah lama tak berjumpa dengan awak. Semenjak awak terbang ke Australia dulu kita dah terputus hubungan. Kalau tak kerana kes ini pasti kita masih tak berjumpa.”

“Siapalah kita kalau awak nak teringatpun.”

“Kenapa pula awak cakap macam itu?”

“Alah. Awak ni. Nak bergurau pun tak boleh. Malaslah nak layan.” Leenda pura-pura merajuk dengan kata-kata Hanaffee. Membuatkan Hanaffee tersentak dengan gurauan Leenda dan yang lebih menggembirakan Leenda, Hanaffee sudah boleh tersenyum dengan gurauan itu.

“Boleh pun tersenyum.” Hanaffee masih lagi tersenyum. “Dah lama saya tak melihat senyuman yang ini.”

“Ya kah? Hah, tengoklah puas-puas.” Hanaffee menunjukkan muka yang tersengih-sengih di hadapan Leenda. Leenda dan Hanaffee ketawa dan mereka lupa seketika tentang kesakitan yang dialami oleh Mardiana.

Sunday, March 7, 2010

Biar Bulan Tersenyum 12


(Gambar Hiasan)


MT Holding, Kuala Lumpur


MARDIANA melangkah masuk ke pejabat Hanaffee. Terus duduk di atas kerusi berhadapan dengan Hanaffee. Hanaffee yang sibuk memeriksa laporan sempat melihat sekilas pandang tetamu yang selalu menjengok kala dia bekerja.


Kali ini Mardiana tampak lain macam. Tidak seperti selalu. Diam mencuka. Selalunya mulutnya pasti gamat dengan bermacam-macam cerita yang hendak diberitahu.


“Aik… lain macam sahaja ni. Ada apa-apa yang I boleh bantu?” Hanaffee cuba mengusik si gadis di hadapan mata yang kelihatan bermuram durja.


“Mak I dah bisinglah Darling.” Mardiana memulakan bicara sambil meletakkan tas tangannya di atas meja sebelah kanannya. Kemudian dia membetulkan duduknya.


“Bising? Kenapa pula?” Kali ini Hanaffee memberhentikan kerjanya dan menumpukan pada patah-patah bicara yang akan diperkatakan oleh Mardiana.


“Dia nak kita cepat-cepat naik pelamin. Katanya tahun depan dia nak mengerjakan haji. Sebelum dia pergi ke Mekah dia nak kita disatukan terlebih dahulu.” Mardiana melepaskan kata dengan berhati-hati. Sememangnya dia benar-benar cintakan Hanaffee, tetapi Hanaffee belum terbuka dalam menangani cintanya.


“A… apa? Naik pelamin? Nanti… nanti dulu Dee. Bukankah kita sudah berjanji nak berjaya dahulu. I… I tak pernah fikirkan perkara itu lagi.” Hanaffee cuba mengawal suaranya agar tidak kedengaran oleh setiausahanya di luar bilik pejabatnya.


“Darling. I tak kisah. Takkan kita nak selamanya macam ni. Macam belangkas ke sini ke sana tapi tak ada apa-apa. Mak I cakap kalau you setuju dia nak jumpa mak you dalam masa terdekat ni. Atau You tak sukakan I kah?”


“Bukan tidak suka. Bab kahwin ni tidak boleh dibuat main-main tau.”


“Memanglah. I pun tahu. Tapi… hati ini hanya padamu sayang. Dah tak ada orang lain lagi yang dapat menambat hati ini.”


“Selama ini memang I sayangkan you, Dee. Tapi cuma sebagai seorang abang yang sayangkan adiknya.”


Mendengar sahaja kata-kata Hanaffee yang dia cuma sayang sebagai seorang abang terhadapnya dia mula menangis. Dia tidak sanggup jika suatu hari nanti dia akan berpisah dengan jejaka pujaannya itu.


“Sampai hati you cakap macam ni. Seluruh jiwa ini I dah pertaruhkan untukmu sahaja.”


Hanaffee jadi kelam kabut dengan situasi yang sebegini. Dia jadi tergamam dengan tingkah laku yang ditunjukkan Mardiana. Tidak disangka selama ini hati Mardiana begitu kasihkan dirinya. Dia pula tidak pernah menaruh apa apa harapan terhadap gadis itu. Sukar untuk dia menjelaskan duduk perkara sebenar dalam situasi sebegini. Dia jadi serba salah. Antara kasih dan kasihan. Tegang.


Mardiana masih lagi tersedu sedan. Tapi esakannya itu semakin kuat. Dia cuba melepaskan segala keresahannya selama ini.


“Dee, janganlah macam ni. Malulah kita nanti.”


“You tak apalah. I ni. Lagilah malu. Semua orang tengok kita berdua kemana sahaja. Tup tup you kahwin dengan orang lain.”


“Dee, I tak kata I tak nak kahwin dengan you. Tapi bagilah masa untuk I berfikir dahulu.”


“Berfikir dahulu tu maksudnya you tak sukakan I lah. Ni mesti you dah ada orang lain. Siapa? Cakap dengan I.”


“Sabar Dee. Tak ada sesiapa pun di hati ini lagi.”


“Bohong. I tak percaya. I akan cari siapa perempuan itu.”


Mardiana terus mencapai tas tangannya dan berlalu keluar dengan perasaan yang marah. Hanaffee terkedu dengan peristiwa yang berlaku pantas itu. Dia tahu nanti Mardiana akan lembut kembali. Mungkin malam ini dia terpaksa menemani Mardiana makan malam lagi.


***


Hosital HUKM


BERGEGAS Hanaffee berjalan menuju kearah wad kecemasan. Dia yang mendapat panggilan telefon daripada Datin Sofia, tidak menyangka sebaik sahaja Mardiana keluar dari pejabatnya tadi dia mengalami kemalangan yang menyebabkan dia koma dan terpaksa diletakkan dalam wad kecemasan.


Sampai sahaja di wad kecemasan Datuk Yusman dan Datin Sofia telah sedia menunggu dihadapan pintu. Hanaffee bersalam dengan Datuk Yusman dan Datin sofia. Dilihatnya mata Datin Sofia sudah sembab kerana terlalu banyak menangis.


Hanaffee jadi sebak dengan keadaan Datin Sofia. Jika dia tahu yang anaknya baru sahaja bergaduh dengannya tentu dia akan lebih sedih. Hanaffee cuba memberi kata-kata semangat terhadap Datuk Yusman dan Datin Sofia. Hanya itu sahaja yang mampu dia lakukan.


Mereka sudah pastinya bersedih kerana hanya Mardiana seorang sahaja anak mereka. Sudah pasti mereka akan melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan anak mereka.


Hanaffee menghubungi Datin Damia bagi menceritakan kemalangan yang berlaku terhadap Mardiana.


Dari kamar ICU kelihatan seorang doktor wanita yang masih muda menuju kearah mereka. Doktor Leenda yang mengendalikan kes Mardiana. Dia mendekati Datuk Yusman dan Datin Sofia. Meminta mereka bersabar kerana Mardiana dalam keadaan stabil. Cuma perlu bersabar untuk menunggu dia sedar dari komanya.


Friday, March 5, 2010

Biar Bulan Tersenyum 11

(Gambar Hiasan)


“BUKAN main mesra lagi mak Leha tengok Uzma dengan Datin.” Mak Leha sengaja mengusik Uzma sehingga tompok-tompok kemerahan timbul di wajah putih Uzma.


“Ala Mak leha ni. Janganlah main-main. Dia kan majikan kita. Mak Leha pun dia layan sama jugakan.”


“Tapi tak adalah macam tuan puteri yang seorang ni. Emmm… bertuah badan. Nanti dapat jadi menantu Datuk.”


“Ke situ lah pula Mak Leha. Siapalah Uzma ni. Sudahlah yatim, piatu lagi.” Uzma menyedari siapa dirinya jika hendak dibandingkan dengan keluarga mereka yang kaya raya ini.


“Jodoh tak mengenal itu semua wahai anakku. Apa yang penting keserasian dalam kehidupan rumah tangga. Kalau saling bertolak ansur, insyaallah damai hingga ke akhir hayat. Satu lagi kita kenalah ikhlas dalam menjalinkan sebarang bentuk persahabatan.” Bersemangat lagi Mak Leha bersyarah sambil terangkat-angkat kedua belah tangannya persis seorang pemidato hebat.


“Eh, ni khutbah untuk Uzma kah? Ish… ish… ish… ustazah Mak Leha dah nak melalut ni. Orang nak pergi ke dapur sekejap. Dahaga.”


“Dahaga kah atau hendak memadam kebakaran kat dalam tu.” Mak Leha mengusik Uzma yang seperti biasa akan melarikan dirinya dari serangan-serangan yang tidak mampu dia melawannya. Mak Leha tersenyum panjang bila melihat Uzma yang kelam kelibut melangkah menuju ke dapur.


***


UZMA sudah sembuh sepenuhnya dari kecederaan tempoh hari. Minggu ini dia ingin pulang ke rumah sewanya. Terasa lama benar dia tidak pulang ke sana. Dia merindui dua sahabatnya Seri dan Maria. Bagaimana agaknya mereka di sana.


Setelah berkemas ala kadar dia memulakan langkah ke perhentian bas. Jarak dua ratus meter itu memenatkannya. Terpaksa berjalan menuruni cerun dan kemudian menunggu bas di bawah tempat menunggu. Biarpun terdapat bumbung yang melindungi dari terik matahari, bahang kepanasannya tetap terasa. Dia duduk di atas bangku yang disediakan di situ. Sambil matanya leka memerhatikan kenderaan lalu lintas di hadapannya. Ada juga mata yang nakal mengenyit kepadanya. Menyakitkan pemandangan betul bisik hati kecilnya meluat.


Tiba-tiba matanya tertarik kearah sebuah Perdana V6 yang lalu di hadapan mata. Dia kenal benar dengan lelaki yang berada di dalamnya. Itulah lelaki yang dia terserempak dalam rumah Datin Damia. Entah-entah lelaki itu pergi ke situ lagi, hati kecilnya mula berbicara. Atau mungkin rumahnya berada di kawasan itu juga.


‘Hmmm… lantaklah. Tidak ada kena mengena dengan aku pun’


***


SEBAIK sahaja mematikan enjin Perdana V6 nya Hanaffee terus masuk ke dalam rumah menerusi pintu utama. Kebetulan Mak Leha muncul dari dapur dan dia nampak terkejut dengan kepulangan Hanaffee secara tiba-tiba.


“Tidak berkunci pintu ni Mak Leha. Kalau pencuri yang masuk tentu habis semua barang dibawa lari.”


“Budak Uzma tu baru sahaja keluar sebab tu pintu tidak berkunci.”


“Uzma?” Hanaffee yang tidak mengenali siapa itu uzma terlopong mendengar kata-kata Mak Leha.


“O. Uzma tu pembantu rumah yang baru. Dah sebulan Datin ambil dia berkerja di sini. Affee pun tak pernah balik. Macam mana nak kenal dia. ”


“Habis tu mana dia?”


“Balik ke rumah dialah. Dia kerja sini kontrak sahaja. Hujung minggu balik ke rumah dia.”


“O. Mama mana Mak Leha?”


“Ada dalam bilik.”


Hanaffee masuk ke dalam biliknya dan bersedia untuk membersihkan diri. Sengaja dia pulang ke rumah minggu ini kerana sudah lama tidak pulang ke Bangi. Rindu juga dia pada Datuk dan Datin. Selalunya dia akan pulang mengejut sahaja. Tidak pernah merancang.


Selesai membersihkan diri dia turun ke ruang tamu untuk berehat di situ. Sampai sahaja di situ Datin Damia sudah tercegat di situ.


“Dah lama sampai Affee?” Ibunya memulakan bicara sambil tangannya menutup langsir yang diselaknya tadi kerana hendak melihat kereta yang berada di luar laman rumahnya itu. Setelah dia melihat kereta tersebut dia rasa gembira kerana anaknya yang pulang.


“Baru sahaja mama. Sempatlah Affee mandi dan sembahyang tadi.”


Hanaffee membelek-belek akhbar yang berada di atas meja. Pada masa yang sama Mak Leha membawa minuman untuk Hanaffee dan Datin Damia. Mereka berbual-bual kosong. Maklumlah sudah lama anak beranak ini tidak berjumpa. Bermacam-macam isu dibawa cerita dan berbincang hinggalah bab kahwin. Masuk bab ini Hanaffee sudah menggelabah. Entah kenapa dia sudah tidak senang dengan persoalan yang ditimbulkan oleh ibunya.


“Mama bukannya apa Affee. Engkau seorang sahaja anak ibu. Ibu pula bukannya bertambah muda. Kalau dapat cucu sekarang bolehlah mama bermain-main dengan cucu mama. Kalau dapat cucu masa dah sakit apa yang mama boleh buat lagi. Merenung sahaja dari jauh. Itu kalau ada cucu. Kalau masa tu Affee belum ada anak lagilah kempunan mama.”


“Mama ni nak mulalah tu. Nanti orang carilah.”


“Habis Mardiana tu macammana. Ke hulu ke hilir bawa anak orang. Kalau berkenan bagitahu sahaja pada mama. Boleh kita aturkan peminangan.”


“Oppp… mama ni dah advance. Kan Affee dah kata yang antara kami tidak ada apa-apa.”


“Yalah. Tapi Affee kena jaga diri tahu. Fitnah itu berada dimana-mana. Kerana fitnah juga badan merana. Tapi mama masih ingat janji Affee. Sekiranya tidak dapat calon sehingga hujung tahun ini, mama yang akan uruskan dan Affee mesti setuju dengan pilihan mama.”


Hanaffee tidak dapat berkata apa-apa dengan check mate yang dibuat oleh ibunya itu. Hanya anggukan sahaja yang menjawab pertanyaan itu. Di sebalik dapur Mak Leha tersenyum lagi mendengar perbualan dua beranak itu.

Wednesday, March 3, 2010

Biar Bulan Tersenyum 10

(Gambar Hiasan)

ALAH bisa tegal biasa. Kalau sudah biasa dengan sesuatu pekerjaan itu maka hilanglah kegusaran dalam diri. Sudah seminggu Uzma bertugas di banglow mewah itu. Memang pada mulanya dia berasa teramat kekok untuk membiasakan diri di rumah yang terlalu besar baginya ini. Selalunya dia hanya bekerja selama dua ke empat jam bagi sesuatu tempat. Di sini pula dia akan berada selama 24 jam sehari dengan jangka masa lima hari seminggu. Kemudian baru dia boleh kembali ke rumah sewanya untuk cuti hujung minggu. Bunyinya agak menakutkan, tetapi majikannya ini tidaklah begitu kejam. Ada juga masa untuk dia merehatkan diri.

Dia tidak keseorangan dalam menjalankan tugas kerana di rumah ini sudah sedia ada seorang lagi pembantu rumah yang mesra dipanggil Mak Leha. Dia berumur dalam lingkungan 40-an.
Uzma dan Mak Leha diletakkan dalam bilik yang sama. Biarpun berdua, mereka selesa kerana ruang dalam bilik itu besar dan mempunyai 2 buah katil bujang. Lagi pun Uzma akan menduduki bilik itu tidak lama. Habis sahaja kontrak dengan Datin Damia dia akan meneruskan kembali kerjanya dengan Syarikat Maju Bersih.

Datin Damia pula tidak cerewek. Disebabkan dia keseorangan di rumah tersebut dia mengambil seorang lagi pekerja untuk membantu Mak Leha dalam menangani kerja-kerja yang dilakukan. Mak Leha yang bekerja di rumah ini sejak 15 tahun yang lalu seperti sudah sebati dengan suasana dan kehendak majikannya.


Uzma juga senang mendapat tunjuk ajar dari Mak Leha yang dianggap seperti ibunya sendiri. Lebih-lebih lagi dia sememangnya dahagakan kasih sayang seorang ibu.


Selain dari Datin Damia, mereka perlu melayani Datuk Zambri yang menguruskan perniagaan sendiri. Selalunya Datuk Zambri akan keluar rumah dalam pukul 9 pagi dan pulang lewat malam. Hujung minggu dia akan ke kelab golf untuk bermain golf dengan rakan perniagaannya. Mereka mempunyai seorang anak tapi tidak tinggal di sini. Kadang-kadang sahaja anak tunggal Datin Damia dan Datuk Zambri pulang ke rumah.

Uzma tidak pernah terserempak dengan anak Datin Damia. Pelik juga keluarga ini kerana tidak menggantung gambar-gambar keluarga di dinding atau diletakkan di atas almari untuk tatapan. Mereka hanya menggantung gambar-gambar pemandangan dan tulisan-tulisan khat yang beraneka jenis. Bilik anak terunanya hanya dikemaskan oleh Mak Leha. Uzma hanya ditugaskan dibahagian tingkat bawah dan di bahagian luar rumah. Tingkat atas dan bahagian dapur akan diselenggarakan oleh Mak Leha. Namun sekurang-kurangnya dia berasa lega kerana tidak terserempak dengan lelaki yang ditakutinya itu sepanjang dia berada di sini. Mungkin hari itu cuma kebetulan sahaja.


***

HATI jadi resah bila keinginan untuk menikmati sesuatu yang dihajati tidak terlaksana. Gundah bermukim didada bila rindu menyentuh sanubari.

Menjadi tanda tanya kenapa minggu ini gadis itu tidak lagi merenung bulan seperti selalu. Apakah dia sakit? Atau mungkin dia bercuti dan pulang ke kampung halamannya. Terasa ingin pergi ke seberang sana untuk mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi. Hanaffee tidak faham kenapa perasaannya terlalu tertekan hanya kerana perkara yang terlalu remeh ini. Dia tidak akan berputus asa menunggu kemunculan gadis itu dari sini.


***


KINI sudah 3 minggu Uzma bekerja dirumah Datin Damia. Dia berasa sangat bertuah atas layanan yang diberikan. Uzma sedang mencuci cermin di bahagian luar rumah. Dia menggunakan kerusi kerana kawasan yang dicuci tidak dapat dicapai dengan tangan. Walaupun berada di atas kerusi dia terpaksa sedikit menginjatkan dirinya bagi membolehkan kawasan atas cermin dapat dicuci dengan sempurna. Uzma tidak menggunakan tangga yang memang terdapat dalam stor di belakang kerana dia percaya dia boleh melakukannya dengan baik hanya dengan menggunakan kerusi.


Disebabkan terlalu leka dengan kerjanya dia tidak menyedari yang kerusi itu sedikit senget dan terbalik lalu menyebabkan Uzma terjatuh. Tangan kanannya menahan diri ke atas simen lalu tersepit dicelah badan dan kesakitan yang dialaminya itu menyebabkan jeritan kesakitan terluah dari mulutnya.


Jeritan Uzma didengari Datin Damia yang sedang membaca akhbar di ruang tamu. Dia terus meluru keluar sambil mulutnya memanggil Mak Leha yang berada di dapur. Datin Damia dan Mak Leha mengangkat Uzma diangkat ke sofa di ruang tamu. Datin Damia menelefon Doktor Leenda, doktor peribadi keluarga mereka untuk datang merawat Uzma. Dalam masa lima belas minit Doktor Leenda sampai dan terus melihat dan merawat kecederaan yang dialami Uzma. Datin Damia begitu gelisah dengan apa yang terjadi dengan Uzma. Dia tidak senang duduk. Sekejap berdiri dan sekejap duduk. Memeram rasa gelisah hinggakan dia tidak pasti apa yang dia hendak lakukan.


“Terseliuh sedikit sahaja Datin. Dua atau tiga hari lagi baiklah.”


“Terima kasih Leen.” Datin Damia lega dengan penerangan Doktor Leenda. Biarpun Uzma bukan sesiapa disisi, dia mula menyukai keperibadian Uzma. Dia senang dengan segala kerja yang dilakukan oleh Uzma. Sememangnya pemilihan Uzma ke rumahnya juga adalah pilihan Datin Damia setelah beberapa kali melihat prestasi kerja Uzma dirumahnya begitu baik dan dia amat berpuas hati.


“Sama-sama Datin. Nanti budak pejabat akan hantar ubat untuk dia ke sini.” Doktor Leenda mula mengemaskan perkakas yang dikeluarkan dari beg bimbitnya tadi.

Setelah Doktor Leenda pulang Datin Damia menyuruh Uzma berehat sahaja di rumahnya sehingga sembuh. Dia tidak membenarkan Uzma pulang ke rumah sewanya. Dia mahu pastikan dan memantau keadaan Uzma sehingga betul-betul pulih. Mak Leha hanya tersenyum penuh makna bila melihat Datin Uzma benar-benar mengambil berat terhadap Uzma.