Wednesday, February 24, 2010

Biar Bulan Tersenyum 8

(Gambar Hiasan)

15 Feb 2015 (Ahad)

KIPAS siling yang berpusing dengan kelajuan tahap 3 ditatap kosong. Angin yang terhasil dari pusingan kipas bertambah dingin dengan pemasangan suis penyaman udara yang menyemburkan kesejukannya pada tahap 18ยบ C. Sambil berbaring di atas katil pemikiran Hanaffee melayang menembusi bilah-bilah besi pada kipas, kemudian membolosi zarah-zarah siling lalu terbang ke luar melalui atap-atap yang tersusun. Roh yang melepasi ruang fikir itu akhirnya menerawang mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang mengusutkan jiwa.

Hairan bila memikirkan kenapa selepas peristiwa dia mengamuk di Restoran Bunga Raya tempoh hari dia selalu pula terserempak dengan gadis itu. Bermula dengan terserempak di Petaling Street tempoh hari. Entah kenapa sewaktu itu dia seperti terpukau lalu mengekori sahaja gadis yang sedang melihat-lihat barangan di situ. Apa yang menarik perhatiannya pun dia tidak pasti. Tetapi hatinya mengakui yang gadis itu ada sesuatu yang membuatkan dia tertarik dengannya. Sehinggalah di satu kedai bilamana gadis itu digertak oleh penjualnya membuatkan dia serta merta menyelamatkan gadis tersebut.

Hajat dihati memanglah hendak menemani si gadis sehingga betul-betul selamat seperti bila kaki si gadis memijak anak tangga bas baru hatinya lega. Lebih terasa lega jika dia dapat mengiringi si gadis hingga ke hadapan pintu rumahnya. Mungkin sewaktu itu dia masih terasa bersalah dengan gadis itu, sebaik sahaja keluar dari kawasan Petaling Street dia terus pergi dari situ. Meninggalkan gadis itu yang masih terpinga-pinga atau mungkin masih dalam keadaan trauma lagi. Memang tidak patut dia berbuat demikian. Tetapi apa yang sudah berlaku tidak boleh diulangkan kembali.

Peristiwa yang berlaku di rumah ibunya lebih memeranjatkannya. Entah mengapa bila dia pulang ke situ gadis itu berada di rumahnya. Yang bengangnya perempuan itu boleh buat-buat tidak kenal sahaja dengannya. Tapi kenapa pula nak dimarahkan. Gadis itu bukannya ada apa-apa pertalian pun dengannya. Entahlah. Makin difikir makin pusing dibuatnya.

Peristiwa tengah hari tadi lebih membelenggu jiwa. Apa taknya jelingan tajam gadis itu telah menusuk matanya dan mengalir suatu rasa yang tidak dapat di terjemahkan dalam kata-kata lalu menuruni hingga ke hatinya. Apakah ini petanda yang dia sukakan gadis itu. Monolog diri pun bermula.

‘Oh tidak. Aku masih waras lagi. Bagaimana aku bisa suka dengan orang yang tidak aku kenali itu.’ Jeritan batinnya bergema.

‘Emmm… Bagaimana dengan Mardiana pula?’ Bisikan ke hati kecilnya membuat dia keliru.

‘Mardiana, cuma aku anggap sebagai adik sahaja. Tidak lebih daripada itu.’ Cuba membetulkan keadaan terhadap ketegangan yang melanda.

‘Habis, setiap hari berkepit dengan perempuan yang bernama Mardiana tu apa hal pula. Mungkinkah sifat lelaki tu tidak cukup dengan satu. Atau mudah jemu bila selalu bersama biarpun yang baru itu statusnya belum tentu berhasil bila dipikat.’

Hanaffee semakin pening. Apa sebenarnya berlaku dalam jiwanya tidak dapat ditafsirkan lagi. Semakin difikir, semakin tertekan. Hanaffee bangun dari baring dan berjalan ke dapur mengambil segelas air kosong. Selepas meneguk beberapa teguk dia berlalu ke balkoni. Tempat biasa dia bertandang diwaktu resah terutamanya pada malam hari. Di sini dia akan mendapat ketenangan dengan merenung bulan dan pemandangan yang bergemerlapan dengan cahaya-cahaya yang memancar dari seluruh kawasan.

Matanya akan mencari sesuatu yang selalu dilihatnya pada malam-malam sebelum. Dia akan memerhatikan seorang gadis dari apartment sebelah yang selalu merenung bulan dan juga melihat pandangan alam sekitar di situ. Disebabkan kedudukan yang agak jauh maka objek yang kelihatan adalah kecil dan berbalam-balam. Mungkin satu hari nanti dia akan membeli teropong untuk melihat gadis yang selalu bersantai di balkoni sebelah sana.


***


MALAM yang syahdu ini akan menjadi lebih indah jika tidak ada apa-apa masalah yang ingin difikirkan. Tetapi sebagai seorang manusia yang mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan mungkin juga keluarga, mana mungkin tidak akan ada masalah membelenggu diri.

Uzma seperti biasa menikmati keindahan malam dari balkoni rumah sewanya. Sambil itu fikirannya terbayang kejadian siang tadi. Mengapa pula lain macam pandangan lelaki itu terhadapnya. Ah, mungkin perasaannya sahaja. Jangan bermain dengan api nanti membakar diri, begitulah bisikan hatinya. Bukankah lelaki itu sudah berpunya. Lagipun lelaki itulah yang beria-ia memarahi dia tempoh hari. Sudahlah kena marah, kerja pun hilang.

Apa-apa pun dia bersyukur kepada tuhan kerana masih ada kerja yang boleh dilakukan. Maria telah membantu dia untuk mendapat tempat dengan syarikat Maju Bersih. Rupanya Maria dan Cik Rahmah sudah lama mengenali. Mereka selalu berurusan dalam soal pekerjaan. Biarpun sebagai pencuci, Uzma tetap berbangga dengan kerja yang dilakukannya. Selagi dia membuat pekerjaan yang halal selagi itu dia tidak kisah dengan apa yang dilakukannya. Lagi pun dia sudah tidak ada sesiapa lagi yang boleh digelar keluarga. Cuma dia seorang diri, terkontang kanting di tengah kota. Seperti biasa malam ini dia sendiri lagi. Seri bertugas shift malam dan Maria pula terbang ke Taiwan.

No comments:

Post a Comment