Wednesday, February 17, 2010

Biar Bulan Tersenyum 7

(Gambar Hiasan)


15 Feb 2015 (Ahad)

SETELAH bersiap ala kadar dengan jeans hitam dan baju t berwarna putih Uzma keluar dari apartment untuk temujanjinya dengan Munifah. Semalam Munifah menelefon mengajak dia makan tengahari bersama-sama. Kebetulan hari ini Uzma juga bercuti. Dia berjalan menuju ke stesen bas di hadapan apartment Nusa untuk ke KL Central. Dalam masa lima minit kelihatan bas Rapid KL menuju ke situ dan Uzma mengambil tempat duduk di bahagian hadapan. Sampai sahaja ke stesen KL Central dia menyusuri kesibukan orang ramai menuju kaunter Putra LRT dan mengambil tiket ke KLCC. Di situlah pertemuan yang dijanjikan.

Uzma puas memerhatikan keindahan pemandangan di sepanjang perjalanan. Pembangunan yang pesat tidak pernah berhenti malah ada sahaja idea untuk mengurangkan kawasan hijau sebelum ini. Bangunan bercambah bak cendawan selepas hujan. Mungkin ini juga antara faktor yang menyebabkan bumi ini panas sekali. Kadang-kadang dia terhibur dengan bermacam-macam perangai manusia yang ditemui. Terasa seperti dirinya sebutir pasir yang berada dipesisiran pantai, ditengah berjuta lagi pasir dan sesekali dia terasa begitu sepi. Uzma Jarang keluar dari rumah sewanya tanpa sebab. Boleh dikatakan dunianya hanya di apartment yang disewanya itu. Paling jauh pun dia hanya pergi ke pasaraya di bahagian bawah apartmentnya untuk membeli keperluan harian sahaja. Selepas itu dia akan mengurungkan dirinya kembali. Apa pun itulah kepuasan yang dinikmatinya. Dia lebih senang sendiri. Tidak mengganggu orang lain. Banyak masanya dihabiskan dengan menonton Astro di rumah.

Sesekali dia sempat menyaksikan gelagat manusia yang pelbagai. Ada yang menyenangkan. Ada yang menakutkan dan ada juga yang mencurigakan. Tetapi itu cuma analisis secara spontan yang dibuat oleh Uzma. Tidak semestinya apa yang difikirkan itu menerangkan keadaan sebenar seseorang itu. Kadang-kadang yang nampak macam jahat itulah yang baik hati. Begitu juga sebaliknya. Teringat semasa dalam bas tadi, sempat dia memerhati seorang lelaki membawa buku dan CD untuk dijual. Dia bertemu dengan orang disekelilingnya, seorang demi seorang tanpa rasa malu bagi mempromosikan barangannya. Kemudian di suatu sudut yang lain pula kelihatan seorang perempuan yang berusia mengusung dua bungkusan plastik besar yang berisi pelbagai jenis keropok. Dia juga bertemu seorang demi seorang untuk dijual barangannya. Dia terharu melihat kegigihan mereka. Demi sesuap nasi mereka sanggup menebalkan muka mereka, menadah telinga untuk mendengar segala kata-kata yang baik mahupun yang tidak. Kesabaranlah yang memainkan peranan terbesar dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebegini. Semoga mereka mendapat keberkatan dengan apa yang mereka buat, bisik hati kecil uzma.

“Opocot!” Uzma terkejut bila ada tangan nakal mencuit bahunya. Ketika dia sedang leka bermain dengan perasaan. Dia bangun dari kerusi panjang yang didudukinya sejak dari tadi lalu bersalaman dengan Munifah.

“Panjang termenung. Orang lalu depan dia pun tak sedar. Ni, tengah bermimpi putera yang mana satu.”

”Kak Muni ni. Nasib baik Uzma tak ada sakit jantung. Kalau tak.” Uzma mencebikkan mukanya.

“Tengok tu. Ada orang dah merajuk. Alahai.”

“ Emmm… nak menyakat oranglah tu. Jomlah Kak Muni. Perut dah berbunyi ni. Semalam bukan main nak belanja Uzma.”

Mereka yang berada betul-betul di hadapan Parkson berjalan menuju escalator turun ke bawah iaitu level Concourse. Dalam kesesakan mereka membolosi ruang dan menyusuri Ramlee Mall. Berjalan terus hingga ke hujung lorong, mereka beratur untuk mendapatkan tempat duduk di hadapan Pizza Hut. Lima minit berdiri mereka dibawa ke meja yang kosong. Setelah meneliti semua menu yang terdapat di dalam buku menu Uzma memesan Seafood Marinara Spaghetti dan Ice Passion Tea. Manakala Munifah memesan Pilaf Rice dengan Kebab dan Chocolate Mint Frappe. Mereka juga memilih Super Supreme Cheese Lava Pizza.

Sementara menunggu pesanan sampai ke meja, mereka sempat berbual dan bercerita mengenai kisah hidup mereka sepanjang Uzma diberhentikan kerja di Restoran itu. Kadang-kadang mereka ketawa dan kadang-kadang serius dalam bercerita.

Sedang mereka leka bercerita telinga Uzma sempat menangkap satu suara yang dikenalinya. Mereka betul-betul berada dibelakangnya dan sedang berjalan menuju ke pintu untuk keluar. Uzma sempat menjeling, lelaki itu sememangnya memerhatikannya dan mata mereka bertemu tanpa disedari kekasihnya itu.

Uzma jadi tidak keruan dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkakan itu. Kenapa harus lelaki ini lagi yang dijumpainya. Tanpa dirancang. Perasaannya tiba-tiba geram bila mana mengenangkan peristiwa di Restoran Bunga Raya tempoh hari.

“ La, mengelamun lagi rupanya. Soalan Kak Muni dari tadi tak berjawab.”

“Eh, mana ada.” Uzma cuba berselindung dengan apa yang dilihatnya tadi dari pengetahuan Munifah. “Emmm… apa soalan kak Muni tadi.” Uzma tersengih.

“Tengok tu. Kata tak mengelamun. Ish ish ish.”

Mereka sama-sama ketawa. Selesai menjamu selera mereka berjalan-jalan di KLCC dan pulang lewat petang.


No comments:

Post a Comment