Thursday, January 21, 2010

Biar Bulan Tersenyum 3

(Gambar hiasan) - 22 Jan 2015


“ALAHAI, marah lagi kah Darling I ni.”

“Mahunya tak. You tengoklah apa dah jadi dengan baju I.” Mardiana tersenyum cuma bila mengenangkan kisah yang berlaku sebentar tadi. Jika dia yang terkena tadi pun, pasti kemarahan yang sama akan ditaburkan. Namun dia faham dengan ketidaksengajaan pelayan perempuan tadi. Melihatkan wajah budak itu yang pucat membuatkan dia berasa gelihati pula.


“Darling, kan you dah dapat pampasan tadi. Boleh tahan juga tu. Emm… bolehlah belikan I barangan di Habib Jewel. 10 Voucher makan percuma di restoran tu pun dah kira beruntung.” Mardiana memujuk Hanaffee yang masih lagi panas hatinya itu. Masih lagi terbayang bagaimana Hanaffee memarahi si pelayan dan kemudiannya membuat aduan terhadap apa yang berlaku kepada pengurus Restoran tersebut. Mardiana merupakan pelanggan tetap restoran Bunga Raya. Siapa yang tidak kenal dengan bapanya Datuk Yusman. Orang yang berpengaruh di Kuala Lumpur. Atas sebab itulah pengurus restoran berkali-kali memohon maaf daripada mereka.


“Memanglah. Yang tebal muka ni juga. Tak tahu nak letak kat mana. Bagi yang nampak peristiwa tadi okaylah. Mereka faham. Bagi yang baru masuk atau yang tersenyum bila keluar tadi. Mesti dia orang ingat I ni baru lepas bergaduh.” Mardiana tergelak dengan kenyataan tersebut sambil mencapai sebelah tangan Hanaffee yang berada di atas gear dan menggosok-gosok perlahan-lahan agar kemarahan Hanaffee reda. Dia takut jika kemarahan melebihi kosentrasi memandu lain pula jadinya. Keselamatan di atas jalan raya mesti diutamakan. Tidak boleh memandu dengan mengikut nafsu. Bahaya. Mereka sekarang dalam perjalanan pulang ke rumah Mardiana.


Mardiana tahu bahawasanya Hanaffee terkilan sebab program tengahhari mereka tadi terbantut. Sepatutnya hari ini merupakan hari yang indah dan akan diingati sampai bila-bila. Tetapi bukan dengan cara ini. Hari ini merupakan hari ulang tahun Hanaffee yang ke dua puluh lima. Mardiana telah membuat tempahan sebulan yang lalu untuk mereka menikmati makan tengahhari bersama. Mungkin nasib tidak menyebelahi mereka. Terpaksa Mardiana masuk ke Pasaraya Parkson KLCC seorang diri dahulu untuk membeli baju baru untuk Hanaffee. Selepas itu baharulah mereka meneruskan pencarian makanan tengah hari mereka di KLCC. Seharian mereka berjalan dan bersiar siar di sekitar KLCC. Kemudian mereka ke Mid Valley. Tidak sedar perjalanan mereka mencecah malam.


“Darling.” Mardiana dengan manjanya memanggil nama yang selalu disebut-sebut itu. Hanaffee menoleh kearahnya setelah memberhentikan kereta betul-betul di hadapan rumah Datuk Yusman.


“Ada apa Dee.” Tangan Mardiana menyeluk tas tangannya lalu mengeluarkan sebuah kotak hadiah bersaiz 5X10X10cm dan memberikan kepada Hanaffee.


“Happy birthday my dear.” Sambil tangannya menghulurkan hadiah ke tangan Hanaffee.


“Terima kasih daun keladi. Buat susah-susah sahaja.” Hanaffee kelihatan gembira dengan pemberian yang diberi. Dia membuka pembalut hadiah dan kemudian membuka kotak berwarna biru tanda kasih sayang itu. Dia tahu jika Mardiana yang membelikan hadiah bukan seratus dua harganya. Mesti beribu-ribu.


“Apa nak disusahkan. Buat orang tersayang juga.” Mardiana tersenyum dan berasa sungguh gembira dengan penerimaan Hanaffee. Tidak sia-sia dia membeli hadiah itu di Paris bulan lepas. Datuk Yusman ada urusan di sana dan dia seperti biasa sebagai anak tunggal dan sememamngnya manja akan cuba sedaya upaya mengusul agar dia dapat menemani bapanya ke sana.

“Marilah masuk ke rumah dahulu.” Pelawa Mardiana sebelum keluar dari kereta.


“Besok kerja. Sekarang pun dah dekat sebelas setengah malam. Affee pulang dululah ya.”


“Ya lah. Orang tak sudi nak buat macam mana.” Sengaja dia memperli sinis Hanaffee.


“Ala. Janganlah macam tu.” Mardiana tersenyum dan membuka pintu kereta. Dia melangkahkan kakinya ke tanah. “Anyway. Thank you so much for the present. I like it very much.”

Mardiana tersenyum dan keluar dari kereta. Dia melambai-lambaikan tangannya ke arah Hanaffee dan menunggu sehingga kereta hilang dari pandangan baru dia melangkah masuk ke kawasan banglownya.





JAM berjenama Louis Vuitton jenis ‘Tombour two-tone’ dibeleknya tidak jemu-jemu. Begitu sayangnya perempuan yang bernama Mardiana itu kepadanya. Dia jadi keliru. Adakah dia melayan Mardiana kerana benar-benar kasih perempuan itu atau hanya kasihan perempuan itu. Persoalan itu terus menari-nari dalam ruang fikirannya. Membuat dia sesak dengan asakan persoalan-persoalan yang menerjah masuk ke dalam kotak fikir melalui litar-litar saraf yang menjadi perantara.


Hanaffee dengan Mardiana sudah kenal mengenali antara satu dengan lain sejak dari kecil lagi. Itu yang membuatkan mereka begitu rapat sekali. Mereka selalu bertemu dan pada setiap perjumpaan Hanaffee melayan kerenah Mardiana tanpa rasa jemu. Namun dia membataskan persahabatan mereka hanyalah atas dasar abang dan adik. Biarpun begitu tetap ada rasa sayangnya terhadap gadis itu.


Hadiah yang dibelek-belek sedari tadi membuatkan dia terlupa seketika terhadap peristiwa yang berlaku siang tadi. Mungkin kerana layanan Mardiana membuatkan dia lupa pada kejadian tengah hari tadi. Sesekali terasa juga kasihan terhadap budak pelayan tadi. Bukannya dia sengaja. Tapi dek kerana darah muda yang pantang dicabar, membuatkan dia lupa diri seketika. Menyesal pun ada kerana tidak bertimbang rasa. Tapi apa boleh buat. Nasi sudah jadi bubur. Bukannya boleh diundurkan lagi pusingan jam yang telah berlalu. Ianya sudah menjadi sejarah.


Dia keluar ke balkoninya. Seperti biasa dia akan melihat pemandangan alam semesta yang indah. Walaupun begitu ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Itulah juga antara agendanya jika keluar ke situ.

No comments:

Post a Comment