Tuesday, February 2, 2010

Biar Bulan Tersenyum 6

(Gambar Hiasan)


“SAYA perkenalkan pekerja baru kita, Cik Uzma. Tolong beri kerjasama yang sewajarnya pada beliau.” Rahmah, pengurus Syarikat Maju Bersih memperkenalkan Uzma kepada para pekerjanya. Uzma menghadiahkan senyuman perkenalan buat bakal rakan sekerja. Kemudian Cik Rahmah meminta dia mengenalkan dirinya di hadapan lima belas orang pekerja di jabatannya.


Uzma berharap semoga dia akan lebih Berjaya di tempat baru ini. Syarikat Maju Bersih merupakan syarikat yang membuat kontrak pembersihan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Di jabatan ini mereka lebih tertumpu kepada syarikat-syarikat kecil dan perumahan awam. Mereka akan bergerak mengikut tempahan.


Hari ini merupakan hari pertama Uzma di sini. Dia berasa begitu bersemangat sekali untuk menabur bakti buat syarikat ini. Memang dia begitu. Setiap kerja yang dilakukan mesti dengan semangat. Apa yang penting adalah dasar bersih, cekap dan amanah yang dipegang oleh kakitangan syarikat ini. Begitulah apa yang diperkatakan oleh Cik Rahmah semasa sesi penerangan mengenai skop kerja pagi tadi. Dengan itu syarikat boleh jadi cemerlang, gemilang dan terbilang dibawah bumbung satu Malaysia.

***

AKHIRNYA Hanaffee melepasi tol Bangi dan meneruskan perjalanan ke Bangi Mutiara, rumah ibunya. Dia berjanji untuk makan tengahari di situ. Sudah sebulan lebih dia tidak singgah ke rumah ibunya. Atas dasar kerja yang terlalu banyak diketika ini. Itu yang membuatkan Datin Damia rindu sangat dengan anaknya. Sejak bekerja di Kuala Lumpur Hanaffee telah berpindah dari sini. Dia ingin hidup berdikari dengan tidak mengharapkan bantuan kewangan dari ibu dan bapanya. Akhirnya dia sampai ke simpang Bangi Mutiara dimana di kanan terdapat stesen minyak Petronas dan ke kiri adalah kawasan kediaman Bangi Mutiara. Kawasan ini sedikit berbukit.

Sampai sahaja ke rumah dia meletakkan Perdananya di halaman rumah dan memberi ruang untuk laluan kepada sebuah van yang bertandang ke rumah itu. Setelah menekan punat pada remote untuk mengunci kereta dia melangkah menuju ke arah pintu utama banglow yang tersergam indah itu.

Selepas memberi salam dia terus membuka pintu. Sebaik sahaja memasuki ruang tamu dia hampir terlanggar seorang gadis yang membelakanginya dimana gadis itu berdiri betul-betul di belakang pintu dan sedang bersalaman dengan ibunya. Apabila terpandang wajah masing-masing, kedua-dua mereka terkejut yang amat sangat kerana tidak menyangka akan bertemu di sini pula.

“Kami minta diri dahulu Datin.” Gadis yang lebih berumur itu menyatakan hasrat mereka untuk menyambung tugas di tempat lain pula setelah tugas di rumah Datin Damia telah selesai. Setiap minggu mereka akan pergi ke rumah itu untuk membersih bahagian dalaman rumah. Ini akan meringankan kerja pembantu rumah yang sedia ada sekarang dan membolehkan dia menumpukan perhatian kepada memasak dan mengemas ala kadar sahaja. Datin Damia menghantar mereka sehingga ke muka pintu. Hanaffee tergamam dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkakan itu sambil matanya tekun memerhatikan gadis itu berlalu. Renungan Hanaffee terhadap gadis itu dapat dikesan oleh ibunya.

‘Ahhh… Gadis itu lagi. Apakah aku yang menjadi penyebab dia bekerja dengan Syarikat membersih rumah pula.’ Hanaffee seperti tidak percaya dengan apa yang telah dilihatnya tadi. Ada rasa kekesalan terhadap tindakan dia menyuruh gadis itu diberhentikan kerja di Restoran Bunga Raya tempoh hari. Mungkin gadis itu amat membenci dirinya. Dia dapat melihat keresahan dan seperti tidak selesa gadis itu terhadapnya.

“Jauh mengelamun nampaknya anak mama yang seorang ni. Ada apa-apa kah? Dah berkenan dengan budak tadi? Manis juga kan?” Sengaja Datin Damia mengusik anak terunanya ini. Sememangnya dia teringin sangat hendakkan menantu. Apatah lagi Hanaffeelah satu-satunya pengarang jantungnya. Anak tunggal yang sangat dimanja.

“Ala, mama ni. Mana ada. Affee tengok pun tak boleh kah?”

“Bukannya tak boleh. Tapi mama tengok renungan Affee lain macam saja. Rasanya macam mama akan mendapat menantu sahaja tak lama lagi.” Datin Damia tersenyum apabila melihat Hanaffee sudah tidak keruan bila diusik.

“Mama ni. Ada-ada saja.”

“Bukannya apa. Mama cuma nak ingatkan Affee sahaja. Si Mardiana tu Affee nak letak kat mana.”

“Dia kan Affee anggap macam adik sahaja. Affee belum terfikir nak berkahwin lagilah mama.” Mardiana dan Hanaffee sudah kenal antara satu dengan yang lain semenjak dari kecil lagi. Lima belas tahun dahulu mereka berjiran semasa di Kampung Malaysia Raya. Hanaffee menganggap persahabatan mereka seperti abang dan adik.

“Kalau macam ni lambat lagilah mama nak menimang cucu.” Datin Damia nampak muram atas kata-kata anaknya itu. Dia sebenarnya memberi kebebasan terhadap Hanaffee dalam pencarian jodoh. Tidak kisah siapa sahaja yang dipilih oleh Hanaffee dia akan terima. Yang menjadi masalahnya sekarang bila sudah diberi kebebasan dalam memilih lambat pula Hanaffee membuat keputusan. Datin Maria sedar yang dia bukannya bertambah muda.

“Mama janganlah bersedih. Affee janji dalam masa setahun mama akan dapat tahu siapa bakal menantu mama.” Entah mengapa lancar sahaja mulut Hanaffee melafazkan kata-kata itu. Mungkin dia tidak mahu ibunya sedih atau mungkin dia sudah hampir dengan jawapan yang hanya menunggu masa untuk diwar-warkan.

“Okay. Kalau macam tu mama pegang janji Affee. Kalau tidak ada dalam setahun ni biar mama yang carikan untuk Affee.”

“Setuju.” Hanaffee tersenyum dan menghulur ibu jari tangan kanannya dan dilagakan dengan ibu jari kanan Datin Damia menandakan perjanjian dimaterai.

***

MENGAPA pula dia ada di situ. Geramnya bila mengenangkan lelaki itulah yang menyebabkan dia diberhentikan kerja dari Restoran Bunga Raya tempoh hari. Ada dendam di hati kecil ini. Tetapi lelaki itu juga yang menyelamatkan diri ini dari diganggu oleh peniaga di Petaling Street tempoh hari. Sungguh pelik dunia ini. Semuanya secara tiba-tiba dan tanpa dirancang. Hari ini bertemu di rumah Datin Damia pula. Kecil sungguh dunia ini.

Yang membuatkan Uzma marah adalah tenungan lelaki itu yang tiba-tiba mendebarkan hatinya. Rasa menyampah pun ada. Apa yang dibuatnya di situ? Apa lagi yang Datin Damia pesan hari ini. Takkan lelaki itu mengambil upah memotong rumput. Ahh… melalut sungguh.

“Uzma! Apa lagi yang dimenungkan tu. Kita dah sampai ni.” Syasya mematikan enjin van yang mereka naiki. Mereka perlu mengemaskan peralatan sebelum pulang ke rumah. Uzma tersenyum sambil Syasya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat perangai rakan kerjanya yang baru ini.

No comments:

Post a Comment