Wednesday, March 3, 2010

Biar Bulan Tersenyum 10

(Gambar Hiasan)

ALAH bisa tegal biasa. Kalau sudah biasa dengan sesuatu pekerjaan itu maka hilanglah kegusaran dalam diri. Sudah seminggu Uzma bertugas di banglow mewah itu. Memang pada mulanya dia berasa teramat kekok untuk membiasakan diri di rumah yang terlalu besar baginya ini. Selalunya dia hanya bekerja selama dua ke empat jam bagi sesuatu tempat. Di sini pula dia akan berada selama 24 jam sehari dengan jangka masa lima hari seminggu. Kemudian baru dia boleh kembali ke rumah sewanya untuk cuti hujung minggu. Bunyinya agak menakutkan, tetapi majikannya ini tidaklah begitu kejam. Ada juga masa untuk dia merehatkan diri.

Dia tidak keseorangan dalam menjalankan tugas kerana di rumah ini sudah sedia ada seorang lagi pembantu rumah yang mesra dipanggil Mak Leha. Dia berumur dalam lingkungan 40-an.
Uzma dan Mak Leha diletakkan dalam bilik yang sama. Biarpun berdua, mereka selesa kerana ruang dalam bilik itu besar dan mempunyai 2 buah katil bujang. Lagi pun Uzma akan menduduki bilik itu tidak lama. Habis sahaja kontrak dengan Datin Damia dia akan meneruskan kembali kerjanya dengan Syarikat Maju Bersih.

Datin Damia pula tidak cerewek. Disebabkan dia keseorangan di rumah tersebut dia mengambil seorang lagi pekerja untuk membantu Mak Leha dalam menangani kerja-kerja yang dilakukan. Mak Leha yang bekerja di rumah ini sejak 15 tahun yang lalu seperti sudah sebati dengan suasana dan kehendak majikannya.


Uzma juga senang mendapat tunjuk ajar dari Mak Leha yang dianggap seperti ibunya sendiri. Lebih-lebih lagi dia sememangnya dahagakan kasih sayang seorang ibu.


Selain dari Datin Damia, mereka perlu melayani Datuk Zambri yang menguruskan perniagaan sendiri. Selalunya Datuk Zambri akan keluar rumah dalam pukul 9 pagi dan pulang lewat malam. Hujung minggu dia akan ke kelab golf untuk bermain golf dengan rakan perniagaannya. Mereka mempunyai seorang anak tapi tidak tinggal di sini. Kadang-kadang sahaja anak tunggal Datin Damia dan Datuk Zambri pulang ke rumah.

Uzma tidak pernah terserempak dengan anak Datin Damia. Pelik juga keluarga ini kerana tidak menggantung gambar-gambar keluarga di dinding atau diletakkan di atas almari untuk tatapan. Mereka hanya menggantung gambar-gambar pemandangan dan tulisan-tulisan khat yang beraneka jenis. Bilik anak terunanya hanya dikemaskan oleh Mak Leha. Uzma hanya ditugaskan dibahagian tingkat bawah dan di bahagian luar rumah. Tingkat atas dan bahagian dapur akan diselenggarakan oleh Mak Leha. Namun sekurang-kurangnya dia berasa lega kerana tidak terserempak dengan lelaki yang ditakutinya itu sepanjang dia berada di sini. Mungkin hari itu cuma kebetulan sahaja.


***

HATI jadi resah bila keinginan untuk menikmati sesuatu yang dihajati tidak terlaksana. Gundah bermukim didada bila rindu menyentuh sanubari.

Menjadi tanda tanya kenapa minggu ini gadis itu tidak lagi merenung bulan seperti selalu. Apakah dia sakit? Atau mungkin dia bercuti dan pulang ke kampung halamannya. Terasa ingin pergi ke seberang sana untuk mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi. Hanaffee tidak faham kenapa perasaannya terlalu tertekan hanya kerana perkara yang terlalu remeh ini. Dia tidak akan berputus asa menunggu kemunculan gadis itu dari sini.


***


KINI sudah 3 minggu Uzma bekerja dirumah Datin Damia. Dia berasa sangat bertuah atas layanan yang diberikan. Uzma sedang mencuci cermin di bahagian luar rumah. Dia menggunakan kerusi kerana kawasan yang dicuci tidak dapat dicapai dengan tangan. Walaupun berada di atas kerusi dia terpaksa sedikit menginjatkan dirinya bagi membolehkan kawasan atas cermin dapat dicuci dengan sempurna. Uzma tidak menggunakan tangga yang memang terdapat dalam stor di belakang kerana dia percaya dia boleh melakukannya dengan baik hanya dengan menggunakan kerusi.


Disebabkan terlalu leka dengan kerjanya dia tidak menyedari yang kerusi itu sedikit senget dan terbalik lalu menyebabkan Uzma terjatuh. Tangan kanannya menahan diri ke atas simen lalu tersepit dicelah badan dan kesakitan yang dialaminya itu menyebabkan jeritan kesakitan terluah dari mulutnya.


Jeritan Uzma didengari Datin Damia yang sedang membaca akhbar di ruang tamu. Dia terus meluru keluar sambil mulutnya memanggil Mak Leha yang berada di dapur. Datin Damia dan Mak Leha mengangkat Uzma diangkat ke sofa di ruang tamu. Datin Damia menelefon Doktor Leenda, doktor peribadi keluarga mereka untuk datang merawat Uzma. Dalam masa lima belas minit Doktor Leenda sampai dan terus melihat dan merawat kecederaan yang dialami Uzma. Datin Damia begitu gelisah dengan apa yang terjadi dengan Uzma. Dia tidak senang duduk. Sekejap berdiri dan sekejap duduk. Memeram rasa gelisah hinggakan dia tidak pasti apa yang dia hendak lakukan.


“Terseliuh sedikit sahaja Datin. Dua atau tiga hari lagi baiklah.”


“Terima kasih Leen.” Datin Damia lega dengan penerangan Doktor Leenda. Biarpun Uzma bukan sesiapa disisi, dia mula menyukai keperibadian Uzma. Dia senang dengan segala kerja yang dilakukan oleh Uzma. Sememangnya pemilihan Uzma ke rumahnya juga adalah pilihan Datin Damia setelah beberapa kali melihat prestasi kerja Uzma dirumahnya begitu baik dan dia amat berpuas hati.


“Sama-sama Datin. Nanti budak pejabat akan hantar ubat untuk dia ke sini.” Doktor Leenda mula mengemaskan perkakas yang dikeluarkan dari beg bimbitnya tadi.

Setelah Doktor Leenda pulang Datin Damia menyuruh Uzma berehat sahaja di rumahnya sehingga sembuh. Dia tidak membenarkan Uzma pulang ke rumah sewanya. Dia mahu pastikan dan memantau keadaan Uzma sehingga betul-betul pulih. Mak Leha hanya tersenyum penuh makna bila melihat Datin Uzma benar-benar mengambil berat terhadap Uzma.

No comments:

Post a Comment