Friday, March 5, 2010

Biar Bulan Tersenyum 11

(Gambar Hiasan)


“BUKAN main mesra lagi mak Leha tengok Uzma dengan Datin.” Mak Leha sengaja mengusik Uzma sehingga tompok-tompok kemerahan timbul di wajah putih Uzma.


“Ala Mak leha ni. Janganlah main-main. Dia kan majikan kita. Mak Leha pun dia layan sama jugakan.”


“Tapi tak adalah macam tuan puteri yang seorang ni. Emmm… bertuah badan. Nanti dapat jadi menantu Datuk.”


“Ke situ lah pula Mak Leha. Siapalah Uzma ni. Sudahlah yatim, piatu lagi.” Uzma menyedari siapa dirinya jika hendak dibandingkan dengan keluarga mereka yang kaya raya ini.


“Jodoh tak mengenal itu semua wahai anakku. Apa yang penting keserasian dalam kehidupan rumah tangga. Kalau saling bertolak ansur, insyaallah damai hingga ke akhir hayat. Satu lagi kita kenalah ikhlas dalam menjalinkan sebarang bentuk persahabatan.” Bersemangat lagi Mak Leha bersyarah sambil terangkat-angkat kedua belah tangannya persis seorang pemidato hebat.


“Eh, ni khutbah untuk Uzma kah? Ish… ish… ish… ustazah Mak Leha dah nak melalut ni. Orang nak pergi ke dapur sekejap. Dahaga.”


“Dahaga kah atau hendak memadam kebakaran kat dalam tu.” Mak Leha mengusik Uzma yang seperti biasa akan melarikan dirinya dari serangan-serangan yang tidak mampu dia melawannya. Mak Leha tersenyum panjang bila melihat Uzma yang kelam kelibut melangkah menuju ke dapur.


***


UZMA sudah sembuh sepenuhnya dari kecederaan tempoh hari. Minggu ini dia ingin pulang ke rumah sewanya. Terasa lama benar dia tidak pulang ke sana. Dia merindui dua sahabatnya Seri dan Maria. Bagaimana agaknya mereka di sana.


Setelah berkemas ala kadar dia memulakan langkah ke perhentian bas. Jarak dua ratus meter itu memenatkannya. Terpaksa berjalan menuruni cerun dan kemudian menunggu bas di bawah tempat menunggu. Biarpun terdapat bumbung yang melindungi dari terik matahari, bahang kepanasannya tetap terasa. Dia duduk di atas bangku yang disediakan di situ. Sambil matanya leka memerhatikan kenderaan lalu lintas di hadapannya. Ada juga mata yang nakal mengenyit kepadanya. Menyakitkan pemandangan betul bisik hati kecilnya meluat.


Tiba-tiba matanya tertarik kearah sebuah Perdana V6 yang lalu di hadapan mata. Dia kenal benar dengan lelaki yang berada di dalamnya. Itulah lelaki yang dia terserempak dalam rumah Datin Damia. Entah-entah lelaki itu pergi ke situ lagi, hati kecilnya mula berbicara. Atau mungkin rumahnya berada di kawasan itu juga.


‘Hmmm… lantaklah. Tidak ada kena mengena dengan aku pun’


***


SEBAIK sahaja mematikan enjin Perdana V6 nya Hanaffee terus masuk ke dalam rumah menerusi pintu utama. Kebetulan Mak Leha muncul dari dapur dan dia nampak terkejut dengan kepulangan Hanaffee secara tiba-tiba.


“Tidak berkunci pintu ni Mak Leha. Kalau pencuri yang masuk tentu habis semua barang dibawa lari.”


“Budak Uzma tu baru sahaja keluar sebab tu pintu tidak berkunci.”


“Uzma?” Hanaffee yang tidak mengenali siapa itu uzma terlopong mendengar kata-kata Mak Leha.


“O. Uzma tu pembantu rumah yang baru. Dah sebulan Datin ambil dia berkerja di sini. Affee pun tak pernah balik. Macam mana nak kenal dia. ”


“Habis tu mana dia?”


“Balik ke rumah dialah. Dia kerja sini kontrak sahaja. Hujung minggu balik ke rumah dia.”


“O. Mama mana Mak Leha?”


“Ada dalam bilik.”


Hanaffee masuk ke dalam biliknya dan bersedia untuk membersihkan diri. Sengaja dia pulang ke rumah minggu ini kerana sudah lama tidak pulang ke Bangi. Rindu juga dia pada Datuk dan Datin. Selalunya dia akan pulang mengejut sahaja. Tidak pernah merancang.


Selesai membersihkan diri dia turun ke ruang tamu untuk berehat di situ. Sampai sahaja di situ Datin Damia sudah tercegat di situ.


“Dah lama sampai Affee?” Ibunya memulakan bicara sambil tangannya menutup langsir yang diselaknya tadi kerana hendak melihat kereta yang berada di luar laman rumahnya itu. Setelah dia melihat kereta tersebut dia rasa gembira kerana anaknya yang pulang.


“Baru sahaja mama. Sempatlah Affee mandi dan sembahyang tadi.”


Hanaffee membelek-belek akhbar yang berada di atas meja. Pada masa yang sama Mak Leha membawa minuman untuk Hanaffee dan Datin Damia. Mereka berbual-bual kosong. Maklumlah sudah lama anak beranak ini tidak berjumpa. Bermacam-macam isu dibawa cerita dan berbincang hinggalah bab kahwin. Masuk bab ini Hanaffee sudah menggelabah. Entah kenapa dia sudah tidak senang dengan persoalan yang ditimbulkan oleh ibunya.


“Mama bukannya apa Affee. Engkau seorang sahaja anak ibu. Ibu pula bukannya bertambah muda. Kalau dapat cucu sekarang bolehlah mama bermain-main dengan cucu mama. Kalau dapat cucu masa dah sakit apa yang mama boleh buat lagi. Merenung sahaja dari jauh. Itu kalau ada cucu. Kalau masa tu Affee belum ada anak lagilah kempunan mama.”


“Mama ni nak mulalah tu. Nanti orang carilah.”


“Habis Mardiana tu macammana. Ke hulu ke hilir bawa anak orang. Kalau berkenan bagitahu sahaja pada mama. Boleh kita aturkan peminangan.”


“Oppp… mama ni dah advance. Kan Affee dah kata yang antara kami tidak ada apa-apa.”


“Yalah. Tapi Affee kena jaga diri tahu. Fitnah itu berada dimana-mana. Kerana fitnah juga badan merana. Tapi mama masih ingat janji Affee. Sekiranya tidak dapat calon sehingga hujung tahun ini, mama yang akan uruskan dan Affee mesti setuju dengan pilihan mama.”


Hanaffee tidak dapat berkata apa-apa dengan check mate yang dibuat oleh ibunya itu. Hanya anggukan sahaja yang menjawab pertanyaan itu. Di sebalik dapur Mak Leha tersenyum lagi mendengar perbualan dua beranak itu.

2 comments:

  1. smbung2
    sronok je
    nk hanaffee ngan uzma
    bole x?

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana sudi membaca.
    Emmm... Hanaffee ngan Uzma cantik juga.
    apa2 pun... tungguuu episod seterusnya... :-)

    ReplyDelete