Friday, March 12, 2010

Biar Bulan Tersenyum 14

(Gambar Hiasan)

SAMBIL mengelap debu-debu yang melekat pada hiasan di dalam almari kaca Uzma sempat lagi mengalunkan lagu kesukaannya iaitu Cinta Adam dan Hawa nyanyian Misya Omar. Biarpun butir bicara pada lirik itu tidak begitu jelas namun iramanya tetap dapat ditangkap. Sesekali dia menggayakan seperti seorang penyanyi professional dengan mendekatkan botol cecair pencuci ke mulutnya.


Cinta adam dan hawa. Terbit di syurga terang di jiwa. Menggerakkan nurani. Mencari kasih suci. Sehingga kita yg tertinggal saling damba. Sentiasa rasa sunyi bersendiri. Mana dia kekasih hati. Mana dia pujaanku yang sejati. Dengarlah bisikan asmaraku. (Sebahagian dari lirik lagu Cinta Adam dan Hawa nyanyian Misya Omar)


“Wah, tuan puteri yang seorang ni. Bukan main lagi dia. Bukan setakat mengemas dan memasak, menyanyi pun dia boleh juga rupanya.” Mak Leha yang sedari tadi memerhati gelagat Uzma yang ceria itu tidak sabar untuk mengusik. Begitulah mereka, biarpun baru berkenalan tetapi mesranya seperti sudah kenal bertahun-tahun.


“Alah Mak Leha ni. Tiba-tiba sahaja menyergah. Kalau ya pun bagilah salam dahulu. Ini tidak. Boleh mati terkejut dibuatnya.”


“Amboi, ini mesti berlatih nak pergi audition… apa tu… aaa… AF kan.” Mak Leha masih lagi mengusik Uzma.


“Mana ada. Kan Uzma ni pencuci sepenuh masa. Tak ada makna dah AF tu semua. Lagi pun suara katak panggil hujan macam ni kalau masuk buat malu sahaja.”


“Okaylah tu. Nanti boleh juga masuk TV. Bukan yang konsert tu, tapi bahagian audition yang kena kad merah tu.” Mak Leha melepaskan tawa besarnya. Dia salah seorang peminat Akademi Fantasia. Mak Leha tidak pernah terlepas peluang mengikuti perkembangan rancangan itu dari tahun yang pertama lagi.


“Seronoklah tu kenakan Uzma.”


“Siapa kata Mak Leha kenakan Uzma. Mak Leha nak bagi semangatlah ni.”


Uzma mencebik mukanya tanda tidak puas hati dengan usikan Mak Leha.


“Kata orang kalau tiba-tiba menyanyi sorang-sorang macam ni ada penyakit.”


“Penyakit? Penyakit apa tu Mak Leha?” Uzma dengan seriusnya mengajukan soalan kepada Mak Leha. Tidak sabar-sabar dia inginkan jawapannya.


Mak Leha tidak terus menjawab. Lambat dia bertindak balas. Menyebabkan Uzma tidak keruan. Sengaja Mak Leha buat-buat membantu Uzma mengemas kawasan itu.


“Cakaplah cepat Mak Leha. Penyakit apalah pula tu.. Uzma pun nak tahu juga.”


“Alahai orang muda. Tak sabar sabar. Nak tau juga ya.” Mak Leha pun berlagak seperti sesuatu yang serius akan diperkatakan. Uzma hanya mengangguk. Manja.


“Emmm… setahu Mak Leha, kalau orang yang menyanyi sorang-sorang dengan begitu gembira sekali.” Mak Leha mengambil masa untuk menelan liurnya sebelum meneruskan kata-kata yang seterusnya. “Dia dapat penyakit angau.” Mak Leha sekali lagi dapat mengenakan Uzma sambil dia tersenyum manakala Uzma pula kemerahan wajahnya menahan malu.


Uzma mencebik dan menjelirkan lidahnya pada Mak Leha tanda tidak puas hati.


“Betul kah tekaan Mak Leha ni. Atau dah terpikat dengan anak tuan rumah ni.”


“Mana ada. Berjumpa pun tak pernah. Merepeklah Mak Leha ni.”


Mak Leha hanya tersenyum yang mana senyumannya itu penuh dengan makna. Orang lama pengalamannya pun banyak. Selalunya telahan mereka ini ada benarnya. Manakala Uzma terpaksa melayan senyumannya terhadap Mak Leha. Mungkin ada juga benarnya kata-kata Mak Leha. Semenjak suatu kisah yang terjadi tempoh hari semasa dia pulang ke apartmentnya hujung minggu lepas mungkin merupakan kenapa dia ceria pada hari ini.


“Amboi, seronoknya. Apa cerita yang sensasi sangat ni. Bolehlah kongsikan dengan saya sekali.” Datin Damia yang baru pulang dari hospital melawat Mardiana menyapa dua pembantu rumahnya itu.


“Oh datin. Maaf tak perasan tadi.” Mak Leha mengambil beg barangan yang dibeli oleh Datin damia untuk disimpan. “Ni hah. Uzma berangan-angan nak jadi penyanyi AF tu. Nak masuk audition katanya.” Mak Leha menjeling kearah Uzma untuk melihat reaksi rakan sebiliknya itu.


“Kalau ada bakat apa salahnya.”


“Mana ada Datin. Mak Leha saja buat cerita. Saya ni mana ada suara.” Uzma cuba mempertahankan dirinya. Sememangnya Mak Leha dan Datin Damia selesa apabila dapat mengusik Uzma. Mereka tidak kering gusi apatah lagi Mak Leha memang pandai menyakat uzma. Datin Damia tida berasa sunyi lagi dengan kehadiran pembantu rumahnya yang baru ini. Mungkin dia berkira-kira hendak menyambungkan kontrak Uzma di sini.


Sempat juga Datin Damia bercerita mengenai kecelakaan yang menimpa Mardiana kepada Mak Leha dan Uzma. Dia sememangnya berasa sedih kerana menganggap Mardiana sebagai anaknya sendiri juga. Lebih menyedihkan bila dia melihat Hanaffee yang turut sama bersedih.

No comments:

Post a Comment