Sunday, March 7, 2010

Biar Bulan Tersenyum 12


(Gambar Hiasan)


MT Holding, Kuala Lumpur


MARDIANA melangkah masuk ke pejabat Hanaffee. Terus duduk di atas kerusi berhadapan dengan Hanaffee. Hanaffee yang sibuk memeriksa laporan sempat melihat sekilas pandang tetamu yang selalu menjengok kala dia bekerja.


Kali ini Mardiana tampak lain macam. Tidak seperti selalu. Diam mencuka. Selalunya mulutnya pasti gamat dengan bermacam-macam cerita yang hendak diberitahu.


“Aik… lain macam sahaja ni. Ada apa-apa yang I boleh bantu?” Hanaffee cuba mengusik si gadis di hadapan mata yang kelihatan bermuram durja.


“Mak I dah bisinglah Darling.” Mardiana memulakan bicara sambil meletakkan tas tangannya di atas meja sebelah kanannya. Kemudian dia membetulkan duduknya.


“Bising? Kenapa pula?” Kali ini Hanaffee memberhentikan kerjanya dan menumpukan pada patah-patah bicara yang akan diperkatakan oleh Mardiana.


“Dia nak kita cepat-cepat naik pelamin. Katanya tahun depan dia nak mengerjakan haji. Sebelum dia pergi ke Mekah dia nak kita disatukan terlebih dahulu.” Mardiana melepaskan kata dengan berhati-hati. Sememangnya dia benar-benar cintakan Hanaffee, tetapi Hanaffee belum terbuka dalam menangani cintanya.


“A… apa? Naik pelamin? Nanti… nanti dulu Dee. Bukankah kita sudah berjanji nak berjaya dahulu. I… I tak pernah fikirkan perkara itu lagi.” Hanaffee cuba mengawal suaranya agar tidak kedengaran oleh setiausahanya di luar bilik pejabatnya.


“Darling. I tak kisah. Takkan kita nak selamanya macam ni. Macam belangkas ke sini ke sana tapi tak ada apa-apa. Mak I cakap kalau you setuju dia nak jumpa mak you dalam masa terdekat ni. Atau You tak sukakan I kah?”


“Bukan tidak suka. Bab kahwin ni tidak boleh dibuat main-main tau.”


“Memanglah. I pun tahu. Tapi… hati ini hanya padamu sayang. Dah tak ada orang lain lagi yang dapat menambat hati ini.”


“Selama ini memang I sayangkan you, Dee. Tapi cuma sebagai seorang abang yang sayangkan adiknya.”


Mendengar sahaja kata-kata Hanaffee yang dia cuma sayang sebagai seorang abang terhadapnya dia mula menangis. Dia tidak sanggup jika suatu hari nanti dia akan berpisah dengan jejaka pujaannya itu.


“Sampai hati you cakap macam ni. Seluruh jiwa ini I dah pertaruhkan untukmu sahaja.”


Hanaffee jadi kelam kabut dengan situasi yang sebegini. Dia jadi tergamam dengan tingkah laku yang ditunjukkan Mardiana. Tidak disangka selama ini hati Mardiana begitu kasihkan dirinya. Dia pula tidak pernah menaruh apa apa harapan terhadap gadis itu. Sukar untuk dia menjelaskan duduk perkara sebenar dalam situasi sebegini. Dia jadi serba salah. Antara kasih dan kasihan. Tegang.


Mardiana masih lagi tersedu sedan. Tapi esakannya itu semakin kuat. Dia cuba melepaskan segala keresahannya selama ini.


“Dee, janganlah macam ni. Malulah kita nanti.”


“You tak apalah. I ni. Lagilah malu. Semua orang tengok kita berdua kemana sahaja. Tup tup you kahwin dengan orang lain.”


“Dee, I tak kata I tak nak kahwin dengan you. Tapi bagilah masa untuk I berfikir dahulu.”


“Berfikir dahulu tu maksudnya you tak sukakan I lah. Ni mesti you dah ada orang lain. Siapa? Cakap dengan I.”


“Sabar Dee. Tak ada sesiapa pun di hati ini lagi.”


“Bohong. I tak percaya. I akan cari siapa perempuan itu.”


Mardiana terus mencapai tas tangannya dan berlalu keluar dengan perasaan yang marah. Hanaffee terkedu dengan peristiwa yang berlaku pantas itu. Dia tahu nanti Mardiana akan lembut kembali. Mungkin malam ini dia terpaksa menemani Mardiana makan malam lagi.


***


Hosital HUKM


BERGEGAS Hanaffee berjalan menuju kearah wad kecemasan. Dia yang mendapat panggilan telefon daripada Datin Sofia, tidak menyangka sebaik sahaja Mardiana keluar dari pejabatnya tadi dia mengalami kemalangan yang menyebabkan dia koma dan terpaksa diletakkan dalam wad kecemasan.


Sampai sahaja di wad kecemasan Datuk Yusman dan Datin Sofia telah sedia menunggu dihadapan pintu. Hanaffee bersalam dengan Datuk Yusman dan Datin sofia. Dilihatnya mata Datin Sofia sudah sembab kerana terlalu banyak menangis.


Hanaffee jadi sebak dengan keadaan Datin Sofia. Jika dia tahu yang anaknya baru sahaja bergaduh dengannya tentu dia akan lebih sedih. Hanaffee cuba memberi kata-kata semangat terhadap Datuk Yusman dan Datin Sofia. Hanya itu sahaja yang mampu dia lakukan.


Mereka sudah pastinya bersedih kerana hanya Mardiana seorang sahaja anak mereka. Sudah pasti mereka akan melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan anak mereka.


Hanaffee menghubungi Datin Damia bagi menceritakan kemalangan yang berlaku terhadap Mardiana.


Dari kamar ICU kelihatan seorang doktor wanita yang masih muda menuju kearah mereka. Doktor Leenda yang mengendalikan kes Mardiana. Dia mendekati Datuk Yusman dan Datin Sofia. Meminta mereka bersabar kerana Mardiana dalam keadaan stabil. Cuma perlu bersabar untuk menunggu dia sedar dari komanya.


No comments:

Post a Comment