Wednesday, March 10, 2010

Biar Bulan Tersenyum 13

(Gambar Hiasan)


HANAFFEE berteleku di atas kerusi berhadapan dengan katil yang penghuninya seorang wanita yang bernama Mardiana dengan siku di atas tilam dan tangannya ditopangkan pada dagu. Muram dia diketika itu dengan keadaan Mardiana yang koma. Ditenungnya wajah Mardiana dalam-dalam dan dia menggenggam erat jari jemari Mardiana yang lesu. Wayar yang berselirat dilekatkan di badan dan oksigen juga disambungkan melalui mulutnya. Begitulah setiap hari pasti Hanaffee akan melawat Mardiana di HUKM. Walaupun keadaan Mardiana disahkan stabil oleh doktor tetapi Hanaffee tetap berasa gundah kerana selagi tubuh dihadapannya itu tidak boleh bergerak dan bercakap selagi itu dia akan berasa tersiksa.

Kenapalah dia membiarkan Mardiana pergi dalam keadaan marah tempoh hari. Memarahi diri sendiri kerana membiarkan peristiwa itu terjadi dan menyebabkan insiden yang tidak diingini berlaku. Peristiwa yang tidak diduga itu berlalu begitu pantas dan membuatkan dia sesal. Tetapi apakan daya sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Diketika Hanaffee bersedih itu sepasang mata leka memerhati tingkah lakunya yang seperti tidak keruan itu dari balik cermin kaca yang memisahkan bilik rawatan dan laluan. Seperti ada rasa kesal atau bersalah dalam diri lelaki itu. Pada pandangannya tentulah antara mereka mempunyai ikatan yang begitu erat. Timbul rasa cemburu dengan pasangan itu, namun dia tidak mempunyai apa-apa hak untuk menghalang kisah cinta mereka.

Dia melangkahkan kakinya perlahan-lahan masuk ke bilik itu dan berjalan menuju Hanaffee. Dia turut memerhati perkembangan si gadis yang tidak sedarkan diri itu dan fail dihadapan katil yang dikemaskini turut diteliti.

Hanaffee yang tersedar dengan kedatangan tetamu yang tidak diundang itu, memandang sayu kearahnya. Namun di hadiahkan juga senyuman terhadap doktor yang merawat Mardiana.

“Oh Leenda. Maaf, saya tidak perasan tadi.”

“It’s okay. Saya tahu perasaan awak. Gadis ini tentu amat bermakna buat awak, kan?” Leenda membuka bicara dan dia tidak mahu orang yang tidak sakit, nanti akan jatuh sakit juga kerana terlalu memikirkan perihal orang yang sakit.

Hanaffee diam cuma. Dia tidak mampu untuk menjawab soalan yang diutarakan oleh Leenda yang juga merangkap doktor peribadi keluarga mereka. Jelas terlihat kesedihan diwajah. Membuatkan orang yang melihat pasti terharu.

“Apa kata kalau saya ajak awak ke kantin dahulu. Dari tadi awak kat sini. Belum makan dan berehat. Jangan begini Affee. Nanti memudaratkan diri sendiri.” Leenda mengajak Hanaffee untuk berehat sebentar.

Hanaffee yang tidak berkata-kata cuma menjawab dengan anggukan yang lambat. Perlahan dia bangun dan mengekori Leenda menuju ke kantin.

Setelah sampai ke kantin mereka mengambil makanan dan terus duduk di penjuru kantin. Jelas kelihatan Hanaffee seperti orang yang tidak bermaya. Mungkin kerana tidak cukup tidur atau mungkin juga terlalu melayan perasaannya yang bersalah membuatkan dia lupa untuk makan dan minum.

“Ada harapan lagikah dia Leenda?”

“Insyaallah, kalau mengikut data yang kita ambil kesihatan dia semakin pulih. Sekarang kita hanya perlu berdoa dan berserah kepadaNya. Kami akan buat yang terbaik untuk menyelamatkannya.”

Hanaffee mengeluh bagai tidak mampu lagi untuk bersabar menanti hari yang ditunggu. Leenda memberi semangat buat Hanaffee sehingga akhirnya Hanaffee menceritakan segala rahsia yang terkandung dalam fikirannya mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Bermula dengan persahabatan mereka sehinggalah tercetusnya perbalahan yang mengundang bala itu.

“Awak jangan risau. Sepanjang berada di sini saya akan menjaga Mardiana sebaik yang mungkin. Yang penting, nanti awak balik berehat. Awak pun perlukan kesihatan yang baik untuk menempuh perjalanan hidup yang mencabar ini. Mungkin ada hikmah dengan ujian yang diturunkan ini.”

“Terima kasih Leen atas perhatian awak.”

“Saya dah kenal awak sekeluarga dah lama. Dah macam keluarga sendiri. Kalau awak memerlukan apa-apa pertolongan jangan teragak-agak menghubungi saya.”

“Saya pun dah lama tak berjumpa dengan awak. Semenjak awak terbang ke Australia dulu kita dah terputus hubungan. Kalau tak kerana kes ini pasti kita masih tak berjumpa.”

“Siapalah kita kalau awak nak teringatpun.”

“Kenapa pula awak cakap macam itu?”

“Alah. Awak ni. Nak bergurau pun tak boleh. Malaslah nak layan.” Leenda pura-pura merajuk dengan kata-kata Hanaffee. Membuatkan Hanaffee tersentak dengan gurauan Leenda dan yang lebih menggembirakan Leenda, Hanaffee sudah boleh tersenyum dengan gurauan itu.

“Boleh pun tersenyum.” Hanaffee masih lagi tersenyum. “Dah lama saya tak melihat senyuman yang ini.”

“Ya kah? Hah, tengoklah puas-puas.” Hanaffee menunjukkan muka yang tersengih-sengih di hadapan Leenda. Leenda dan Hanaffee ketawa dan mereka lupa seketika tentang kesakitan yang dialami oleh Mardiana.

No comments:

Post a Comment