Tuesday, March 30, 2010

Biar Bulan Tersenyum 16

(Gambar Hiasan)


Alamanda, Putrajaya

“KENAPA bawa saya ke sini? Area KL pun okay kan.”


“Awak tak suka?” Hanaffee mengutarakan pertanyaan tanpa menjawab soalan yang dilontarkan Leenda. Mereka baru sahaja sampai ke parking bahagian selatan di pusat membeli belah Alamanda di Putrajaya.


“Tak takut kah nanti terserempak dengan keluarga awak? Apa pula kata dia orang.” Sambil membuka pintu dan keluar dari kereta sambil membetulkan kain baju kurung berwarna ungu yang menyerlahkan lagi keayuan pada tuan empunya badan.


“Apa yang nak dirisaukan. Bukannya kita buat perkara yang tidak senonoh di sini. Lagipun family saya kan dah lama kenal awak.” Setelah mematikan enjin Perdana V6nya Hanaffee mengunci stereng dan mereka beriringan masuk ke dalam pusat membeli belah itu.


Terus menuju ke level G dan berjalan menyinggah di beberapa buah kedai sambil melihat-lihat barangan yang dipamerkan di kedai tersebut. Bermula dengan kedai Orlando, Binwani’s, Bonia dan seterusnya mereka berjalan menuju ke Centre Autrium dimana ada bulatan besar seperti roundabout dan dari situ boleh memerhati ke level LG yang selalunya pameran dan promosi secara besar besaran diadakan di situ. Terdapat tiga cabang, satu untuk ke medan selera RASA, Bowling dan juga Cineplex sementara cabang yang lain menuju ke kedai-kedai sehinggalah penghujungnya pasaraya Carrefour. Dan yang terakhir sekali cabang ke kawasan restoran seperti Big Apple, JM Beriani, Sushi King dan bermacam lagi tempat yang boleh menjamu selera. Mereka memilih perjalanan ke Carrefour dan kemudian berpatah balik mencari tempat yang boleh menghilangkan dahaga setelah penat berjalan.


Leenda cuba menyuarakan kegusaran dihatinya. Manalah tahu jika terjumpa pula dengan Datin Damia atau Datuk Zambri di sini. Dia tidak boleh mengambil kesempatan terhadap kepercayaan mereka yang melantik dia sebagai doktor peribadi keluarga itu. Biarpun begitu dia begitu senang dengan keadaan tersebut. Dapat melupakan sebentar kehidupan hospitalnya dimana di situ dia lebih kepada melayan dan memeriksa seterusnya mengawasi para pesakit. Kehidupannya lebih tertumpu di hospital hinggakan jarang dia keluar berjalan-jalan atau membeli belah. Dia akan berbuat demikian jika perlu sahaja. Mungkin ini adalah salah satu faktor mengapa dia masih belum mempunyai pasangan atau seorang lelaki yang bernama kekasih.


“Tersenyum seorang nampak. Apa yang awak fikirkan ini. Mesti fikiran awak melayang kemudian tembus kat atap tu dan pergi entah ke mana-mana.” Sambil menunjuk ke atap dan menggayakan fikiran yang melayang dengan menggunakan kedua-dua tangannya.


“Apalah Affee ni. Leen kan tengah khusyuk berangan nak jadi tauke Yamaha muzik tu.” Sambil tangannya menuding kedai muzik Yamaha yang berada di hadapan mereka. Mereka sedang duduk dibangku yang di sediakan di situ.


“Nak jadi tauke kah atau nak pikat si anak tauke.” Hanaffee cuba menyakat Leenda.


“Iyalah tu. Emmm… kalau tak dapat jadi tauke, anak tauke pun jadilah.” Tersembur ketawa dari mereka berdua. Suasana tenang itu riang. Ceria.


Semenjak dua menjak ini, Hanaffee selalu bersama dengan Leenda. Mungkin kerana Leenda sanggup untuk menenangkan fikiran Hanaffee dan mereka jadi semakin rapat. Tidak bermakna Mardiana dilupakan terus. Masih ada masa untuk Hanaffee bersama dengan Mardiana. Cuma kesedihannya mungkin dikongsi bersama dengan Leenda. Disebabkan itu Leenda tidak jemu-jemu memberi semangat dan dorongan terhadap Hanaffee agar dia lebih tabah dan secara tidak langsung menjadikan Leenda sebagai rakan kaunselornya.


Bunyi telefon bimbit dari tas tangan Leenda mengganggu perbincangan mereka.


“Hello. Leenda bercakap.” Leenda banyak mendengar sahaja apa yang diperkatakan oleh orang didalam telefon bimbitnya itu membuatkan Hanaffee berasa ingin tahu butir bicara yang disampaikan kepada Leenda. Tetapi dia hanya dapat menangkap bunyi bising dan tidak dapat menangkap butir bicara dari speaker telefon bimbit Leenda.


“Alhamdulillah. Saya akan datang sekarang.” Leenda mematikan telefon yang panggilannya sudah tentu dari HUKM. Kemudian dengan wajah agak sedih kerana tidak dapat bersama lebih lama lagi dia melirik pandang kearah Hanaffee. “Affee, kita kena balik hospital sekarang. Sorry.” Leenda tahu ada kekecewaan dibalik wajah lelaki itu. Mungkin ini salah satu lagi sebab kenapa seorang Leenda masih membujang. Selalu berada dalam keadaan standby terhadap panggilan dari pejabat.



***


HUKM

MUNGKIN ini boleh dikatakan berita gembira apabila Mardiana membuka matanya dan mengeluarkan perkataan pertamanya memanggil ibu. Begitu gembira Datin Sofia yang kebetulan sedang menjaga Mardiana pada hari itu. Dia memeluk Mardiana yang masih lemah. Tidak ada apa lagi yang boleh dikatakan melainkan bersyukur ke hadrat ilahi. Datin Sofia yang begitu rindu dengan anaknya itu tidak mahu melepaskan Mardiana dari pelukannya hingga sedikit merimaskan Mardiana. Mardiana tidak pula melarang atau menolak. Mungkin kerana badannya yang lemah membuatkan dia tidak berdaya hendak berbuat apa-apa.


Setelah puas memeluk anaknya Datin Sofia membuat panggilan kepada Datuk Yusman untuk memberitahu perkembangan terbaru Mardiana. Hilang segala penat lelah selama dia berada di hospital ini.

1 comment:

  1. Ada rasa tidak enak menjengah semasa membaca entri ini. Kenapa saya pula yang rasa terganggu dengan kehadiran Dr. Leenda ya?

    ReplyDelete