Sunday, January 17, 2010

Biar Bulan Tersenyum 1

(Gambar hiasan)

RIUH rendah tadi sudah hilang. Tiada lagi suara-suara yang bergema di segenap ceruk. Tiada lagi hilai ketawa, tangisan anak-anak kecil, sembang-sembang kosong dan bermacam-macam lagi perwatakan dan perbuatan yang menarik perhatian. Ada yang keseorangan, ada yang berkeluarga, ada yang berkawan-kawan dan ada yang berdua-duaan. Kadang-kadang semua ini membuatkan aku berasa cemburu. Cemburukan keceriaan mereka. Yang tidak ada pada diriku.

Sekarang aku berada dalam ruang kosong ku kembali. Rupanya duniaku tidak seceria mereka. Di sini aku keseorangan. Kekosongan. Mee goreng yang aku beli semasa kembali ke sini tadi masih elok dalam bekas polestrinnya. Entah mengapa malam ini aku tidak ada selera.

Kadang-kadang aku menyesali dengan kehidupan aku sekarang. Kenapa aku dicampak ke dalam dunia yang aku benci ini. Aku tiada siapa-siapa lagi.

Ibu!!!

Ayah!!!

Menjerit sekuat manapun, mereka tidak akan kembali lagi. Mereka telah pergi buat selama-lamanya. Biarpun sudah lima tahun berlalu peristiwa itu tetap segar dalam ingatan ini.

Tanpa sedar lakrima di mataku mengalir laju. Aku rindu kehidupan yang dahulu. Aku tidak mampu hidup sendiri begini. Tiada siapa yang tahu keperitan yang aku lalui.

Tuhan!!! Tolonglah aku. Aku sangat lemah sekarang ini. Berikanlah aku sinar bahagia suatu hari nanti.

Seperti malam-malam sebelum aku akan menuju ke Balkoni yang seluas 3 meter persegi. Sebuah meja bulat kecil dan dua buah kerusi telah mengambil separuh ruang balkoni ini. Di sinilah tempat aku menghabiskan masa malam ku. Merenung bulan. Terbuai dengan kerdipan bintang-bintang. Di sinilah ketenangan aku. Berada di tingkat 15 apartment Nusa ini membolehkan aku memerhati semut-semut kecil berlari yang berlari pantas di atas litar jalan raya nun di bawah sana.

Walaupun aku tinggal di sini bukan keseorangan. Bertiga. Namun waktu-waktu malam selalunya hanya ada aku. Seri, minggu ini bekerja shif malam di sebuah kilang elektronik membuat LCD TV. Maria selalunya keluar outstation. Minggu ini dia ke India. Bekerja dengan sebuah syarikat Telekomunikasi membuatkan dia selalu sibuk ke sana ke mari dalam menjalankan tugasnya. Dengan adanya kawan-kawanku itu maka beban sewa setiap bulan berkurangan. Gaji aku pun tidak sebesar mana. Boleh buat aku menampung sara hidupku, membeli keperluan harianku dan yang paling penting menabung untuk hari tuaku.

No comments:

Post a Comment