Thursday, July 1, 2010

Biar Bulan Tersenyum 22

(Gambar Hiasan)

SILAU dari lampu yang memancar mengaburi pandangan apabila memandang objek yang dibayangi dengan cahaya terang dibelakangnya. Apatah lagi di dalam bilik itu gelap dan tidak dibukakan lampunya. Objek itu atau mungkin kita boleh katakan lembaga sebab dia bergerak, membuka pintu bilik menyebabkan penghuninya terjaga dan masih mamai atau dalam keadaan separa sedar.


Dia memandang ke arah lembaga itu dengan wajah yang kehairanan. Cahaya di luar yang terang benderang menyebabkan lembaga itu hanya nampak kehitaman. Lembaga itu mendekati katil. Semakin dekat. Sehinggalah bila berada hampir dengan penghuni katil itu kelihatan samar-samar wajah misteri itu. Dia mengamati betul-betul muka yang berada di hadapannya itu. Sungguh hodoh sekali. Rambut panjang yang mengerbang tidak terurus. Jubah putih yang dipakai juga sudah lusuh. Menakutkan. Mata yang kemerahan itu memandang tajam ke arahnya.


“Apa yang kau mahu. Tolong jangan ganggu aku.” Suara yang kedengaran lemah dan mengharapkan simpati itu bergetar perlahan. Tubuhnya ingin bangun dan berlari dari situ tetapi tidak terangkat badannya. Ketika itu gadis yang masih lagi berada di alam separa sedar menjadi bingung. Badannya semakin lemah. Aduhai kenapalah jadi begini.


Objek tersebut masih diam membatu. Hanya memandang tajam tanpa berkelip ke arah Mardiana. Dia menjadi takut. Peluh sudah membasahi seluruh tubuhnya. Matanya juga sudah mengalirkan air mata. Menangis. Hanya itu yang dapat dilakukan ketika itu. Dia menyelubung seluruh badannya dengan selimut. Dengan harapan dia tidak diganggu. Selepas lima minit dia berada dalam lingkaran selimut itu, dia cuba membuka sedikit demi sedikit hujung selimut tersebut.


Lembaga itu sudah tiada lagi di hadapannya. Tapi dia masih dalam keadaan ketakutan. Bayangan lembaga tadi masih terbayang-bayang. Ketakutan itu membuatkan dia dalam keadaan tegang. Buntu fikirannya bila mengenangkan peristiwa tadi. Lagi memikirkan, bertambah sakit kepala dibuatnya. Denyutan dikepala semakin kuat membuatkan dia rasa tidak selesa. Kesakitan terjana. Mardiana memekup mukanya ke bantal sambil menahan kesakitan yang datang dengan tiba-tiba itu.


“Mama. Tolong Dee ma. Dee takut.” Hanya itu yang terkeluar dari mulut Mardiana. Dia tidak mampu untuk menjerit lebih kuat lagi. Dia tidak berdaya. Tidak ada sesiapa yang dapat membantunya ketika itu. Hanya mati yang bermain diruang fikirannya. Apakah ajalnya sudah hampir tiba. Adakah lembaga tadi datang untuk mengambil nyawanya. “Ma… tolong Dee.”


Mardiana tidak dapat tidur sehingga ke pagi. Menyebabkan matanya membengkak dan tampak kehitaman di bawah kelopak matanya. Selalunya ibunya akan menemani di hospital setiap malam. Malam ini sengaja dia menyuruh ibunya tidur di rumah kerana kesihatannya boleh dikatakan stabil dan hampir sembuh. Cuma dia belum dapat mengingati keseluruhan kisah hidupnya. Untuk kembali pulih memerlukan sedikit masa. Begitulah yang selalu dikatakan oleh Doktor Leenda. Mungkin menjadi satu penyiksaan kepada Mardiana bila cuba mengingati sesuatu, dia akan berasa sakit dikepalanya.


Mungkin kesabaran sahaja yang menjadi ubat untuk dia sembuh. Namun apa yang ketara perubahan drastik terhadap dirinya dapat dilihat. Sebelum kemalangan dia seorang gadis lincah, peramah dan periang. Tetapi sekarang dia berubah menjadi pendiam dan tidak suka bercakap dengan orang lain. Itu juga yang menyebabkan Hanaffee jarang kelihatan di hospital sekarang ini. Dia terpaksa menjarakkan masa lawatannya kerana Mardiana tidak suka dia berada di situ. Mardiana tidak boleh berada dalam keadaan tertekan. Hanaffee selalu memantau kesihatan Mardiana dengan menelefon ibu Mardiana dan kadang kala Doktor Leenda juga.


Mardiana masih belum dapat mengenali Hanaffee. Biarpun beberapa gambar mereka bersama tetapi Mardiana masih buntu mencari jawapan. Apa yang pasti setiap kali cuba mengingatkan kisah dia dan Hanaffee, kepalanya akan berdenyut-denyut dan kepalanya akan sakit kerana dia tidak dapat berjumpa dengan titik pertemuan antara mereka.


Minggu lepas, sewaktu dia cuba untuk berbicara dengan Mardiana dia hampa kerana tidak mendapat perhatian dari Mardiana. Mardiana melarikan diri darinya. Kelihatan seperti dia takut dengan Hanaffee. Mungkin dia fikir yang Hanaffee orang jahat.


Menjelang pagi barulah Mardiana dapat melelapkan matanya. Sewaktu Datin Sofia datang pagi ini dilihatnya Mardiana masih tidur. Dia membiarkan sahaja. Tetapi apabila diperhatikan betul-betul dia tersedar yang mata anaknya ada kesan menangis. Hatinya jadi sayu. Dia tahu mesti Mardiana cuba mengingati sesuatu dan dia tidak dapat. Kasihan Mardiana. Air matanya tidak dapat ditahan-tahan lagi.


No comments:

Post a Comment