Monday, July 12, 2010

Biar Bulan Tersenyum 23


Matahari berada tegak di atas kepala menandakan waktu sekarang lebih kurang 12 tengah hari. Melihat ke arah pokok dan manusia di bawah cahaya matahari maka akan kelihatanlah bayang yang kecil atau pendek. Di ketika ini ada orang berkata panas betul diketika ini. Tidak tahan. Tapi ada juga yang bersyukur dengan keadaan panas ini terutama ibu-ibu yang menyidai kain basuhan sedari pagi. Walau bagaimanapun kita patut sedar biar pun panas mahu pun hujan, ada hikmah disebalik sesuatu kejadian. Hanya Dia yang mengetahui.


Selepas menikmati juadah tengahari Mardiana berjalan-jalan di sekitar hospital. Memerhatikan pemandangan dipersekitaran. Terlalu bosan dengan suasana di dalam bilik. Terkurung. Kepalanya sarat dengan persoalan tentang kejadian semalam. Apakah itu cuma satu mimpi atau kejadian itu benar-benar berlaku. Diketika itu dia terasa antara sedar dengan tidak. Peristiwa yang menyebabkan dia mahu pulang ke rumah secepat mungkin. Tetapi kesihatannya perlu diawasi di hospital. Sebab atas alasan itu dia tidak dibenarkan pulang.


Setelah penat berjalan dia berehat di atas sebuah bangku yang disediakan oleh pihak hospital. Sambil itu dia sempat memerhati orang ramai yang lalu lalang di laluan tersebut. Melihatkan kepada jumlah pengunjung, dapat digambarkan ramai juga orang yang sakit dirawat ketika ini. Waktu lawatan yang singkat ini menyebabkan pergerakkan pelawat agak tergesa-gesa. Masing-masing ingin cepat sampai ke katil pesakit yang ingin dilawati. Bila dilihat pada wajah mereka, ada yang Nampak cemas. Ada yang tenang sahaja dan tidak kurang yang nampak gembira.


Hospital ini yang menempatkan segala jenis pesakit tidak kira sakit ringan hinggalah seberat-beratnya. Mungkin ada juga kebaikan melawat ke sini. Boleh menginsafkan seseorang terutama yang mempunyai banyak dosa. Apatah lagi apabila melihat seseorang pesakit yang tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Segalanya diuruskan oleh orang lain. Sedikit sebanyak pasti nur keinsafan akan meresap ke dalam jiwa.


Mardiana tahu yang dia telah kehilangan sesuatu. Telah jelas bahawasanya dia tidak dapat mengingati semua perkara. Gambar-gambar yang ditunjukkan oleh ibunya juga tidak banyak mendatangkan kesan. Malah jika dia cuba untuk berfikir juga, dia akan terasa sakit sangat di bahagian dalam kepalanya. Hanya garis putih yang di pancar cahaya terang sahaja yang muncul dalam fikirannya. Kosong.


Setelah bosan duduk di situ dia bangun dan berjalan menuju ke bilik nya kembali. Semasa sampai ke selekoh menuju ke biliknya dengan tidak semena-mena seorang lelaki yang datang dari arah hadapan melanggar Mardiana, menyebabkan dia hampir terjatuh.


“Maafkan saya. Saya betul-betul tidak sengaja.”


“Tidak mengapa.” Mardiana membetulkan dirinya.


“Awak okay?” Lelaki itu ingin memastikan gadis yang dilanggarnya tadi tidak mengalami apa-apa masalah.


“Okay. Tidak ada apa-apa masalah.” Mardiana berjalan menuju ke biliknya sementara lelaki terus menemani Mardiana bagi memastikan yang dia benar-benar sihat. Sampai sahaja di hadapan pintu bilik dia pun berhenti dan mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu.


“Saya Yazid.” Sambil menghulurkan tangannya ke arah Mardiana yang sudah sedia hendak masuk ke biliknya.


“Mardiana. Nice to see you.” Mardiana membalas huluran tangan Yazid.


Nice to see you too.”


“Awak kerja di sini?” Sempat Mardiana bertanyakan hal Yazid.


“Ya. Bahagian penyelidikan.”


“Okay. Jumpa lagi.” Mardiana melambaikan tangan kanannya sambil tersenyum dan dia terus menutup pintu wadnya.


“Siapa lelaki tadi tu Dee?” Datin Sofia yang nampak perbualan Mardiana dan Yazid menerusi cermin lutsinar, ingin juga mengetahui apa yang sebenarnya terjadi.


“Tadi dia terlanggar Dee. Kemudian dia hantarkan Dee sampai ke bilik. Takut apa-apa terjadi di pertengahan jalan.”


“Mama tengok Dee ceria semacam saja. Itu yang mama nak tahu tu.” Sejak berjumpa dengan Yazid nampak perubahan pada diri Mardiana. Lebih ceria dan bersemangat. Yang paling ditakuti Datin Sofia berkenaan Mardiana yang tidak mengingati Hanaffee lagi. Tentu akan jadi lebih sukar jika tiba-tiba muncul pula Yazid dalam hidup Mardiana.


“Ala mama ni. Dee sedih salah. Ceria pun salah.”


“Bukannya apa Dee. Kan sakit tu belum sembuh lagi. Kalau terjadi apa-apa kat anak mama yang seorang ni, siapa yang susah.” Kerisauan jelas terbayang di wajah Datin Sofia.


“Tak ada apa-apalah ma. Takkan nak berkawan pun tak boleh?”


Datin Sofia tersenyum cuma. Lalu dia memeluk anak gadisnya yang sudah mula petah kembali. Dia memang rindukan waktu-waktu seperti dahulu dimana Mardiana begitu ceria dan tidak habis-habis dengan keletahnya yang begitu peramah. Datin Sofia percaya waktu-waktu itu akan muncul lagi. Dia perlu bersabar.



No comments:

Post a Comment