Thursday, July 22, 2010

Biar Bulan Tersenyum 24


KEDAMAIAN malam yang menjadi waktu berehat selepas penat bekerja membawa Hanaffee ke balkoni. Seperti biasa menikmati keindahan ciptaan tuhan. Biarpun selalu berada di situ tetapi dia tidak jemu-jemu melakukan aktiviti tersebut. Memandang ke langit merenung kecomelan bulan yang terapung di atas sana dan kerlipan jutaan bintang-bintang yang mewujudkan horoskop yang boleh digunakan bagi menunjuk arah perjalanan di darat atau di laut. Sesekali melihat ke arah jalan raya yang dipenuhi dengan kenderaan yang menyusuri laluan di bawah sana. Semakin ramai penduduk maka semakin banyaklah kereta yang menjalar berderetan bagai semut-semut yang membawa makanan balik ke sarang. Sudah tentu kadar karbon monoksida pun bertambah dengan pelepasan asap-asap kenderaan yang semakin banyak. Cahaya lampu yang menerangi sesetengah kawasan dan bangunan kelihatan seperti kepulauan yang dilingkungi dengan kegelapan.


Apa yang pasti apartment yang di sebelah hadapannya tidak terlepas pandang. Namun sudah lama dia tidak melihat bayang gadis yang selalu termenung di balkoni seberang sana. Biarpun di dalam samar tetapi dia dapat melihat gerak laku gadis itu. Sekarang hanya sesekali sahaja yang dia dapat melihat gadis tersebut. Selalunya hanya pada cuti hujung minggu gadis itu akan berada di Balkoni itu. Inilah penyebab utama dia jarang pulang ke rumah ibunya di Bandar Baru Bangi. Melihat dari jauh imej itu membuatkan dia rasa tenang. Pelik sungguh. Hari ini bukan hari minggu dan sudah semestinya gadis itu tidak akan berada di balkoni itu.


Kadang-kadang dia hairan kenapa dia terasa ingin berkenalan dengan gadis misteri itu. Bukannya dia kenal pun. Teruk betul. Kenapalah diri ini. Mungkin ini antara penyebab mengapa ibunya selalu teringinkan menantu. Tidak mahu dia hanyut dengan perasaan yang kosong.


Apartment itu juga bukan hanya menempatkan seorang gadis misteri yang asyik merenung bulan, tetapi seorang gadis yang mungkin boleh dikatakan malang. Kerana dia, gadis itu atau nama yang diberi kepadanya tempoh hari iaitu Uzma terpaksa diberhentikan kerja. Tetapi biarpun begitu Uzma harus berterima kasih kepadanya kerana dia juga telah menyelamatkan Uzma dalam beberapa kejadian. Memang tidak disangka-sangka rupanya Uzma berada di seberang sana sahaja. Malang bagi dirinya kerana dengan perasaan macho memberi kad namanya tetapi dia terlupa meminta nombor Uzma. Adakah diketika itu ada perasaan lain yang menyebabkan dia juga menjadi kelu. Mungkinkah itu adalah kali terakhir dia akan bertemu dengan Uzma. Melainkan jika terbuka hati Uzma untuk menghubunginya. Tetapi jangan haraplah dia akan mendapat panggilan dari gadis itu.


Dia tersenyum bila mengingatkan perkenalan anehnya dengan Uzma. Bermula di Restoran Bunga Raya dia memarahi Uzma yang telah memalukannya dengan menumpahkan makanan ke atas bajunya. Bukan itu sahaja, malah tarikan tangan Uzma ke bajunya menyebabkan dia terpaksa keluar dari restoran tersebut dengan perasaan malu yang teramat. Biarpun Uzma diberhentikan kerja tetapi peristiwa itu tidak dapat memadamkan kemarahannya ketika itu. Kecoh betul. Nasib baik Mardiana menjadi penyejuk dan dapat memadam api kemarahan yang merebak.


Pertemuan di Petaling Street juga dalam keadaan yang tidak diduga. Kebetulan dia ternampak Uzma di situ. Tergerak pula hatinya mengikut pergerakkan Uzma ketika itu. Akhirnya dia yang menjadi penyelamat Uzma dari pekerja kedai yang garang itu. Kemudian berjumpa di rumahnya pula sewaktu ibunya mengupah mencuci rumah. Yang lebih dia tidak tahan apabila jelingannya yang tajam dan menakutkan semasa bertentang mata di pizza hut. Kali terakhir dia juga menjadi penyelamat kepada Uzma terhadap seorang lelaki yang mengganggu Uzma. Hanaffee berasa dia semakin dekat dengan Uzma. Cuma mungkin dendam Uzma terhadapnya tidak pernah padam. Itu yang membuatkan Uzma seperti endah tidak endah sepanjang perjalanan tempoh hari.


Habis bagaimana dengan Mardiana? Sememangnya dia sayangkan Mardiana. Tetapi sayangnya pada Mardiana lebih kepada sayang abang kepada seorang adik. Kini dia dalam dilema. Masih buntu dengan perasaan sendiri. Sejak kemalangan memang hatinya terlalu buntu. Perasaan bersalah bersarang dalam hatinya. Adakah kerana kasihan dia perlu menerima Mardiana. Tidak tetapkah pendiriannya.


Sepanjang Mardiana dalam keadaan koma dia seperti sudah mendapat jawapan kepada pencariannya selama ini. Mungkin pada masa itu Mardiana adalah pilihan terbaik. Seperti ada sebuah pengharapan dalam wajah gadis itu semasa komanya. Dengan setia Hanaffee memberikan komitmen yang sepenuhnya untuk menjaga Mardiana


Tidak disangka sebaik Mardiana terjaga dari komanya dia mendapat emnisia dan tidak mengingati dirinya langsung. Malah Mardiana tidak suka jika dia berada dekat dengannya. Biarpun begitu dia tetap melawat Mardiana.


“Awak siapa sebenarnya? Selalu datang melawat saya.” Mardiana menujukan soalan yang mengecewakan lelaki yang bernama Hanaffee ini.


“Dee, ni Affee. Awak tidak ingat langsung tentang saya kah?” Dengan penuh harapan Affee akan sentiasa mengulangi apa yang diperkatakan setiap hari. Mengulangi cerita yang sama. Jawapannya tetap sama. Mardiana menggelengkan kepalanya tidak mengingati masa-masa penting antara mereka.


Jika mengikut Doktor Leenda penyakit itu akan baik juga akhirnya. Cuma masa yang akan menentukan. Diketika ini kesabaranlah yang akan menentukan segalanya. Mampukah Hanaffee menempuh hari-hari yang mendatang dengan keadaan yang sebegini?

No comments:

Post a Comment