Friday, June 11, 2010

Biar Bulan Tersenyum 20


SETELAH penat berjalan seharian di KLCC sehingga ke malam maka sampailah ketiga-tiga dara pingitan itu ke apartment mereka. Hari ini tujuan utama mereka bukan untuk membeli belah jadi bagaimana mereka pergi, begitulah juga ketika mereka pulang. Tiada barangan dijinjing di tangan. Betul-betul keluar untuk ‘Window Shopping’. Mereka hanya ingin melepaskan ketegangan diwaktu kerja. Hari ini mereka menghabiskan masa di KLCC. Kebanyakkan kedai-kedai di situ menerima kunjungan tidak rasmi mereka bertiga.


“Penat betul hari ini.” Maria mengeluh sambil mengeliatkan badannya di atas sofa sambil matanya memerhatikan video klip dari siaran MTV yang terpapar di skrin TV LCD di rumah mereka.

Seri hanya mengiakan manakala Uzma berada di dapur membuat air untuk mereka bertiga. Mungkin disebabkan sudah terbiasa dengan kerja-kerja sebegitu dia menjadi biasa pula untuk menyediakan minuman tersebut.

“Wah. Memang berubah betullah kawan kita yang seorang ni. Dulu, kalau nak masuk dapur punyalah susah.” Maria memulakan kata seperti biasa mengusik Uzma sewaktu Uzma menuangkan teh ke dalam cawan masing-masing.


“Ya la. Dulu tak menyempat-nyempat suruh aku masakkan maggi untuk dia. Sekarang tak payah suruh. Memang kalau aku ada anak lelaki mesti aku bookkan untuk dia dah. Ha ha ha…” Seri menambahkan lagi usikan terhadap Uzma.


“Kalau aku malas engkau orang complaint. Rajin pun tak boleh juga. Ish ish ish…” Uzma sebenarnya tidak mengambil hati langsung dengan perkataan rakan-rakannya itu. Mereka sudah biasa bergurau sebegitu. Itu yang membuatkan mereka bertambah rapat antara satu dengan yang lain.


“Betulkah engkau tidak pernah berjumpa dengan anak Mak Datin tu? Macam tak percayalah. Kalau aku mesti aku cari juga gambar dia sampai jumpa. Barulah puas hati.” Seri bertanya dengan nada musykil.


“Betul. Tidak pernah sekali pun aku berjumpa dengan anak Datin. Gila ke apa nak selongkar bilik dia. Mak Leha saja yang boleh kemas bilik dia tau.” Itulah syarat yang dikenakan oleh Datin terhadapnya. Lagipun Mak Leha sudah menjadi seperti mak angkat kepada anak Datin. Datin Damia sudah tentu mempunyai alasan yang kukuh mengapa dia tidak membenarkan anak gadis yang seorang ini masuk ke bilik anaknya.


“Engkau suruhlah Mak Leha cilok dia punya gambar. Barulah best.” Maria memberi ideanya yang nakal.


“Ish engkau ni. Aku dapat kerja kat situ pun dah bersyukur. Buat apa nak kacau tepi kelambu orang. Tapi kan… Kau orang nak tahu tak, kata Mak Leha anak Datin tu hensem gila. Selalunya dia akan pulang rumah tu sewaktu hujung minggu macam nilah. Tapi kalau aku ada kat situ hujung minggu tak pernah pula bayang dia muncul. Boring betul. Kalau tidak, tentu aku boleh tangkap gambar dia bagi engkau orang tengok. He he he.” Uzma bercerita dengan penuh bersemangat.


“Aku rasa baik engkau balik sekarang. Tentu dia ada kat rumah tu.” Maria sekali lagi memberi cadangan yang nakal lagi tidak masuk akal. Sudah letih sebegini disuruhnya budak Uzma tu balik. Tengah-tengah malam lagi.


“Malaslah nak layan engkau orang. Masuk tidur dululah. Nanti jangan lupa basuh gelas tu sendiri.” Uzma menjuihkan mulutnya dan menjelir lidah lalu cepat-cepat dia menghilangkan diri ke dalam bilik. Sementara Maria dan Seri ketawa dengan telatah Uzma.


***


BERPELUH seluruh anggota badan. Letih sekali. Inilah gara-gara hendak menjadi private investigator. Lagipun peluang terbaik ini akan terlepas jika dia tidak mencekaunya. Apatah lagi setelah dua tiga kali bertemu tapi tidak sempat berkenal. Sekurang-kurangnya hari ini dia berjaya menjejak di mana tinggalnya gadis yang selalu menjadi tanda tanya itu. Lagi pun kadang-kadang ada juga rasa bersalah dengan kejadian di restoran suatu ketika dahulu. Dia pun tidak tahu kenapa hatinya senang menjadi sayu. Mungkin selepas kemalangan yang dialami oleh Mardiana membuatkan dia senang belas dengan sesiapa sahaja.


Hanaffee yang berdiri di luar balkoni apartmentnya memerhati apartment Nusa yang berhadapan dengan rumahnya. Rupa-rupanya gadis misteri itu berada di sebelah apartment sahaja. Mengapalah selama ini tidak pernah berjumpa dengan budak itu di kawasan ini. Keluh hatinya. Kalaulah gadis yang selalu berada di luar barkoni sebelah sana adalah gadis yang sama tentu lagi best. Ah. Mimpilah hendak ada kebetulan disepanjang masa. Ini bukan cerita dalam filem yang memestikan kebetulan dalam cerita. Malangnya malam ini gadis itu tidak ada di situ pula. Entah-entah dia sudah pindah. Bulan yang melekat di langit hanya tersenyum melihat luahan rasa hati seorang teruna yang keliru.


Sementara itu di Apartment Nusa, Uzma sudah melayang terbuai mimpi yang datang menjelma tanpa diundang. Mimpi yang datang juga bersama bulan yang tersenyum dan berbisik sesuatu kepadanya. Namun dia tidak memahami apa yang bulan itu berbicara. Aduh, dalam mimpi pun kena berfikir.

No comments:

Post a Comment