Monday, May 17, 2010

Biar Bulan tersenyum 18


Langit cerah di petang yang indah menambahkan keceriaan di sekitar tasik ini. Tasik Cempaka. Terletak 0.2 kilometer dari pusat bandar, Bandar Baru Bangi. Ianya bersebelahan dengan perpustakaan awam, pejabat daerah dan kompleks PKNS. Di waktu petang sebegini kelihatan ramai orang menikmati kemudahan dengan cara mereka tersendiri. Ada yang berjogging, tidak kiralah sama ada berlari atau berjalan. Berseorangan atau berkumpulan. Bagi yang mempunyai anak kecil ibu bapa akan melepaskan anak mereka ke kawasan permainan kanak-kanak manakala penjaga mereka berada di sekitar kawasan itu sambil mengawasi anak-anak yang sedang leka bermain. Si penjual ais krim menunggu di tepi kawasan itu. Sudah semestinya anak-anak akan merenget kepada ibubapa mereka demi mendapatkan sepotong ais krim.

Hari ini Datin Damia teringin untuk bersiar-siar di Tasik Cempaka. Hendak menghirup angin segar katanya. Maka dengan secara tidak langsung Uzmalah menjadi penemannya. Selalunya begitulah, jika ke pusat membeli belah atau pasaraya Uzma diminta menemaninya. Uzmalah yang akan menjadi rakan berbual ketika itu. Kadang kala Datin Damia terasa sunyi, apatah lagi anak bujang tunggalnya itu pun jarang pulang ke rumah. Di suruh kahwin punyalah liat. Mencari yang sesuai jawapan yang diberi.

Selepas meletakkan kereta di tempat letak kereta mereka berjalan di sekeliling tasik melalui laluan berlari. Terdapat juga kanak-kanak yang bermain layang-layang dimana ianya boleh didapati dijual di tepi padang bola yang terletak di belakang restoran Mc Donald. Sempat Uzma menikmati keindahan alam sepanjang perjalanan. Anak-anak remaja leka bermain bola di padang bola yang telah disediakan.

Datin Damia banyak menceritakan tentang keluarganya kepada Uzma. Begitu juga dia menceritakan segala kisah bagaimana ibu dan ayahnya terlibat dalam kemalangan dan mengakibatkan dia tidak dapat bertemu dengan mereka buat selama-lamanya. Mereka kelihatan serasi bila bersama. Nampak seperti memahami antara satu dengan yang lain. Biarpun begitu Uzma tidak lupa yang dia hanyalah seorang orang gaji dan dia bersyukur dengan layanan yang diberi terhadapnya.

Sesekali dia teringat bagaimana diketika dia masih di tingkatan 2. Dia sudah kehilangan Ibu dan bapa. Mereka yang sedang menaiki motosikal dilanggar lari oleh sebuah kereta yang tidak dapat dicamkan plat dan jenisnya. Semenjak itulah Uzma bergelar anak yatim piatu. Tiada apa yang ditinggalkan oleh ibu dan bapanya.

“Selepas kemalangan maut itu saya di hantar ke rumah anak yatim. Saya tidak ada sesiapa lagi dalam dunia ini. Sehinggalah saya tamat tingkatan 5, saya mula bekerja sendiri.”

“Asal usul awak?” Datin Damia mula mendalami kisah kehidupan Uzma yang pada perkiraannya ada kisah yang menarik disebalik kisah penderitaan yang diceritakan.

“Entahlah Datin. Sejak dari kecil saya memang tidak pernah dikenalkan dengan keluarga mereka. Apatah lagi ibu dan bapa saya meninggalkan kampung kerana mereka tidak disukai oleh datuk dan nenek. Mereka mempunyai pilihan mereka sendiri. Sejak ibu dan ayah keluar dari kampong secara tidak langsung hubungan mereka terputus.” Uzma tanpa segan silu menceritakan kisah hidupnya kepada Datin Damia.

“Pernah awak berjumpa dengan mereka?” Datin Damia bertanya sambil mereka melangkah bersama-sama menuju ke arah jambatan yang menjadi penghubung antara dua daratan.

“Dahulu masa arwah berdua ada, pernah juga bertemu. Tapi mereka membenci keluarga kami. Itu yang membuat ibu dan ayah merajuk dan membawa diri.” Sambil mata Uzma memerhati ikan-ikan kecil yang berenang di dalam sungai yang mengalir itu.

“Habis tu, awak tidak pernah menghubungi mereka?”

“Siapalah saya ini Datin. Sebelah mata pun tidak dipandang mereka. Biarlah saya dengan cara saya. Saya pun tidak mahu memberi mereka masalah.”

“Kasihan awak.” Datin Damia terharu dengan semangat yang dilalui oleh Uzma. Tabah dengan segala rintangan. Biarpun diri sendiri di simbah dengan kabut resah tetapi masih punyai masa untuk menyenangkan orang lain. “Uzma… anggaplah saya sebagai mak awak. Saya pun tidak ada anak perempuan. Bolehlah menjadi kawan saya ketika sunyi.”

“Datin ni… janganlah sampai macam tu. Saya dapat bekerja macam ni pun bersyukur sangat-sangat. Masih ada orang yang baik di dalam dunia ini terutamanya Datin.”

“Saya cakap betul. Jika Uzma sudi saya akan hantar Uzma untuk menyambung pelajaran agar kelak cita-cita Uzma akan menjadi kenyataan.” Uzma pernah memberitahu Datin Damia, yang dahulu dia bercita-cita mahu menjadi seorang akauntan. Biarpun keputusan SPMnya membolehkan dia menyambungkan pelajaran dalam bidang tersebut tetapi kewangan tidak mencukupi untuk dia menunaikan hajatnya.

“Kan saya ada perjanjian dengan tempat kerja saya lagi.” Uzma risau jika dia akan dikenakan tindakan jika dia berhenti dari kerjanya sedangkan dia masih ada kontrak dengan syarikat tempat dia berkerja.

“Usah bimbang tentang perkara itu. Nanti peguam saya akan uruskan segalanya.”

Uzma terdiam. Adakah ini satu titik perubahan bagi dirinya. Lagi pun dia belum tahu penerimaan Datuk dan juga anak tunggal Datin. Jika baik penerimaan okaylah. Tapi jika sebaliknya, matilah dia.


No comments:

Post a Comment