Wednesday, June 9, 2010

Biar Bulan Tersenyum 19

(Gambar Hiasan)

RUPA-RUPANYA kemalangan tempoh hari telah memberi kesan pada ingatan Mardiana. Dia tidak dapat mengingati separuh dari perjalanan hidupnya. Ada benda yang dia ingat dan ada cerita yang dia lupa.

“Ini kita panggil amnestic syndrome atau dengan kata lain amnesia.” Doktor Leenda memberikan penjelasan tentang penyakit yang dialami oleh Mardiana.

“Ada harapankah lagi untuk baik seperti dahulu? Tolonglah Leenda.” Datin Sofia kelihatan sungguh risau dengan perkembangan terbaru ini. Tidak sempat Leenda menerangkan dia terus bertanya dengan terburu-buru. Doktor Leenda yang sememangnya selalu melalui saat seperti ini dengan keluarga pesakit-pesakit sebelum ini, membiarkan Datin Sofia tenang baharu dia meneruskan bicara.

“Jangan bimbang Datin. Selalunya pesakit yang mengalami sindrom ini cuma mengalami masalah memori jangka pendek sahaja. Memori yang telah lama tersimpan selalunya masih kekal. Sebab itu dia masih mengenali Datuk dan Datin. Selalunya peristiwa-peristiwa yang terbaharu atau sekarang dia tidak berapa ingat. Disamping ubat yang diberi kita kena membantu dia mengingati apa yang telah dia lupa seperti menunjukkan gambar masa lalu.” Doktor Leenda cuba menerangkan situasi yang terjadi terhadap Mardiana kepada Datin Sofia dan Datuk Yusman di pejabatnya.

Mata Datin Sofia sudah mula mengenang dengan air mata mendengar penjelasan tersebut. Dia takut jika ditakdirkan Mardiana akan terus lupa ingatan. Itulah satu-satunya anak kesayangannya.

“Datin. Biarpun lupa tapi ianya tidak sampai mengganggu tahap intelegennya. Dalam ujian yang kita lakukan terhadap Mardiana, dia dapat memahami apa yang tertulis dan apa yang kita cakapkan. Cuma dia lambat bertindak dan otaknya belum selari dengan perbuatannya. Itu menyebabkan bila dia hendak bertutur dia seperti berfikir dahulu berkenaan hal yang ingin diperkatakan.”

“Oh. Jadi Mardiana masih ada harapan lagilah.”
Doktor Leenda menganggukkan kepalanya menyebabkan wajah Datin Sofia kelihatan sedikit lega.

***


AIR PANCUTAN yang dilepaskan bagai mengikut irama itu melekakan mata yang memandang. Orang ramai yang melawat ke situ mengambil kesempatan merakamkan memori bersama air yang membentuk seni yang cantik di udara. Suasana di kolam yang terletak di luar Suria KLCC ketika ini ramai dengan manusia terutamanya para pelancong asing.

Di balik kesesakan, kelihatan tiga dara pingitan yang turut sama menyaksikan detik-detik yang indah ini. Sudah lama mereka tidak bersua. Biarpun satu ketika dahulu mereka sentiasa bersama, kini mereka sudah jarang berjumpa. Dunia pekerjaan mereka yang berlainan itu membuatkan mereka selalu terpisah.

“Susah benar kita bertiga hendak jalan sekali kan.”

“Itulah. Si Uzma ni pun tadi nyaris-nyaris tidak dapat datang. Maklumlah sekarang ni dah ada Mak angkat baru.” Ketawa berderai bercampur dengan suasana yang sedia bising di kawasan itu. Masing-masing sudah tidak kisah dengan orang lain. Membuat kerja sendiri. Peduli apa jika orang memerhati gelagat kita sekali pun. Mereka dengan cara mereka. Kami dengan cara kami. Sentiasa ceria bila bersama.

“Eh. Engkau orang ni kalau tidak mengutuk aku seminit tak boleh kah? Mana ada aku jadi anak angkat pula.” Uzma yang sudah kemerahan pipinya mula mempertahankan diri.

“Entah-entah sekarang ni tengah bercinta dengan anak Mak Datin tu. Emmm… tengok muka pun ceria sahaja.” Seri menambahkan lagi kehangatan yang dimulakan oleh Maria tadi.

“Ala… Susah betullah kau orang ni. Anak dia pun aku tidak pernah jumpa, macam manalah aku nak bercinta.”

“Kalau dah mak dia engkau dah ambil hati, dah tentu anak dia senang-senang engkau dapat. Ha ha ha.” Maria yang agak nakal menyakat lagi.

“Aku sedar siapa aku kat rumah tu. Macam kuman dengan helikopter.” Uzma buat-buat muka kesian atau boleh juga dikatakan muka seposen dengan harapan kutukan yang dilontarkan terhadapnya akan berkurangan. Tidak larat dia hendak menepis peluru-peluru dari mulut dua sahabat baiknya ini.

“Hek eleh… peribahasa apalah yang engkau bawa ni. Tak kena langsung.” Seri yang sedang mengambil gambar air pancutan dengan handphonenya sempat mencelah.

“Hoi kawan-kawan ku yang disayangi. Kita ni datang ke sini untuk mengutuk aku saja ke. Aduh. Menyesal datang ke sini tadi. Ish ish ish... Nak baliklah.” Uzma yang sudah tidak keruan itu terpasa memasang strategi lain pula iaitu tindakan menyerang balas.

“Aduyai… merajuk pula kawan kita ni. Jomlah kita masuk ke dalam pula. Kat sini sudah panas. Nanti meletup siapa nak jawab. Okaylah… jom aku belanja engkau orang makan ais krim.” Maria yang sedar dia memulakan. Tahu pula hendak memujuk dengan ais krim. Sememangnya ais krim merupakan kegemaran bagi ketiga-tiga anak gadis ini.

Maria menarik tangan Uzma yang mukanya sudah mula masam ala ala merajuk itu masuk ke dalam bangunan Suria KLCC yang mana di situ terdapat bermacam-macam kedai yang boleh di ‘window shopping’kan. Seri hanya menikut mereka berdua dengan malasnya kerana dia masih belum puas merakam gambar air pancutan buat kenangannya nanti.

Keriangan yang dimiliki oleh mereka bertiga rupa-rupanya diperhatikan oleh sepasang mata sayu dari jauh. Dia cuba mengikuti gadis-gadis tersebut. Kali ini dia tidak mahu terlepas lagi. Entah mengapa dia membuat kerja gila ini. Tetapi apa yang dia perasan setiap kali dia berjumpa dengan wajah itu dia terasa seperti ada sesuatu yang melekat di dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment