Tuesday, November 16, 2010

Biar bulan tersenyum 26


ASAP yang keluar dari mulut lelaki itu akibat dari teknik tiupan yang kreatif membentuk bulatan awan. Kemudian dia merenung asap tersebut terbang di angin lalu dan akhirnya sedikit demi sedikit hilang dari pandangan. Terlihat kepuasan di wajah itu. Tetapi bagi pemerhati yang membenci rokok akan berfikir bahawa inilah salah satu penyebab terjadinya pencemaran terhadap alam sekitar, lalu menyebabkan lapisan ozon menjadi nipis dan bumi akan menjadi semakin panas.


Itu belum lagi bercerita mengenai kesan-kesan yang bakal dikecapi oleh penghisap tegar seperti yang tertera gambar-gambar yang menakutkan lagi menggerunkan pada setiap kotak rokok buatan Malaysia. Sepertinya gambar tersebut menjadi sumber inspirasi kepada mereka untuk terus menghirup asap tersebut dan disebabkan setiap hari mengadap imej-imej yang menggerunkan itu, lalu ianya menjadi sebati dengan diri perokok tegar.


Sementara mulut melayan batang ajaib yang pada pandangannya begitu nikmat itu, matanya tajam memerhati dua tubuh yang sedang memunggah barang dari kereta Perdana V6. Sementara seorang lagi wanita muda yang kelihatan sedikit lemah, hanya memerhatikan sahaja mereka memasukkan barang-barang ke dalam banglow tersebut. Selepas dua kali masuk dan keluar menghantar barang-barang, lelaki itu menutup kembali bonet belakang Perdana V6 itu. Dia berbicara sebentar dengan kedua-dua wanita tersebut. Kemudian dia masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin lalu derumannya meninggalkan kawasan banglow itu. Kedua-dua wanita itu memerhatikan sehingga bayangan kereta tersebut hilang dari pandangan. Mereka melangkah masuk memasuki banglo yang tersergam indah itu. Akhirnya menghilang ditelan banglow tersebut.


Lelaki yang memerhati dari luar banglow itu mengekori Perdana V6 tersebut sejak dari tadi lagi. Dia memberhentikan keretanya di tepi jalan di luar rumah lebih kurang 50 meter dari pintu rumah banglow tersebut. Kedudukannya sedikit terlindung oleh pokok-pokok renek yang terdapat di tepi jalan. Tanpa disedari oleh tuan rumah dia mencuri pandang apa yang dilakukan oleh penghuni rumah tersebut.


Ketidakpuasan jelas terbayang diwajah itu. Apatah lagi kemesraan yang ditunjukkan oleh lelaki yang bersama mereka itu sungguh mesra dengan wanita muda yang bersama mereka. Seperti suami isteri yang baru berkahwin. Tetapi sebenarnya bertunang pun belum.


Seketika kemudian lelaki itu membuang puntung rokok ke atas tanah merah ditepi jalan tar itu, lalu memijak dengan kakinya yang dibaluti kasut berjenama Nike. Puntung yang telah terpenyet layu di atas tanah di kuis ke tepi. Kemudian dia membuka pintu keretanya. Sempat dia menghempas tangannya ke stereng setelah duduk di tempat duduk pemandu. Bengang dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi.


‘Jaga engkau lelaki jahanam. Sialan. Memang lelaki ini mencari geruh dengan aku.’ Omel si lelaki sambil menggumpal-gumpal penumbuknya sebelah kanan dan menggeselkan dengan tapak tangan kirinya. Sesekali dihentaknya perlahan ke arah tapak tangan kirinya menampakkan kegeraman dan kemarahannya. Dia tidak puas hati dengan peristiwa yang berlaku di hadapan matanya sebentar tadi. Dia mesti mendapatkan gadis itu. Walau bagaimana cara sekali pun.



Setelah lebih sebulan berada di Wad, Mardiana akhirnya dibenarkan pulang ke rumah. Namun daya ingatan Mardiana tetap sama. Masih ada peristiwa-peristiwa penting yang pernah dilaluinya tidak diingati langsung. Dia perlukan masa untuk pulih. Menurut doktor pakar, harapan untuk pulih tetap tinggi. Kesabaran yang tinggi dan sokongan yang kuat penting diketika ini.


Datin Sofia membawa barang-barang Mardiana ke dalam biliknya. Mardiana pula berjalan-jalan di sekitar rumah. Seperti dia baru memasuki rumah ini lagak gayanya. Dia keluar ke taman di halaman rumah. Melawat ruang yang sudah agak lama dia tinggalkan. Kemudian dia duduk di atas kerusi yang terdapat di laman itu. Selalunya di situlah Datin Sofia bersama Datuk Yusman minum petang bersama sambil berbual-bual.


Mardiana ralit memerhati keindahan pemandangan rumahnya sendiri. Tidak sedar ibunya datang dari belakang sambil membawa secawan jus oren.


“Buat susah-susah sahaja mama. Dee boleh buat sendiri jika dahaga.”


“Alah. Dee tu baru keluar hospital. Mama tengok Dee letih lagi. Lepas ni Dee pergi mandi dan berehat kat bilik. Kesihatan kena jaga.”


“Ni kan berehat juga. Melihat kehijauan pokok bunga mama ni. Boleh melihat ikan-ikan yang berenang di dalam kolam kita.”


“Yalah. Tak kuasa mama nak bertekak dengan anak mama yang pandai sangat ni.” Suasana jadi sunyi seketika. Datin Sofia memberi masa untuk Mardiana berehat di situ.


“Mama, Dee nak Tanya satu benda. Kenapa mama beria-ia hendak Dee berbaik dengan budak Hanaffee tu.”


“Hanaffee tu kan rakan baik Dee. Mama suka kalau Dee dengan Hanaffee tu bertunang. Mama pun dah kenal hati budi si Hanaffee tu. Memang dah berkenan sangat.” Secara tidak langsung pipi Mardiana bertukar menjadi merah menandakan dia mungkin terkesan dan malu dengan apa yang diperkatakan oleh ibunya.


“Mama ni. Dee tidak ada perasaan apa-apa pun dengan dia.” Mardiana meneguk jus oren yang dihidangkan di hadapannya. “O. Sebab itu mama minta dia yang menghantar kita balik dari hospital tadi. Mama nak Dee rapat dengan dia kan.” Mardiana terus meneguk baki jus oren yang dibuat oleh ibunya. Ibunya tidak menjawab soalan itu. Cuma tersenyum dan memberi makna ya kepada soalan yang dikemukakan oleh Mardiana tadi.


“Mama, Dee sedihlah kerana ada benda yang Dee masih tidak ingat. Dee dah cacatkah mama?”


“Janganlah cakap macam tu sayang. Dee lupa cuma seketika sahaja. Nanti ingatan Dee akan pulih seperti sediakala.”


“Berapa lama harus Dee menanti. Kadang-kadang jika Dee paksa juga untuk mengingati sesuatu perkara, kepala ni sakit sangat.”


“Sabar ya sayang. Ini semua ujian dariNya. Dia yang maha mengetahui. Kita cuma berusaha selagi termampu. Mama akan usahakan apa sahaja yang terbaik buat Dee.” Mardiana menganggukkan kepalanya bersetuju dengan apa yang diperkatakan ibunya.


Mereka berdua berbual-bual di situ sehingga Mardiana penat dan meminta diri masuk ke biliknya.


Jika diperhatikan terdapat perubahan terhadap wajah Mardiana sebelum kemalangan dan selepas kemalangan. Wajahnya kini tidak seceria dahulu. Dia juga akan mengalami sakit dikepalanya jika dia cuba mengingati peristiwa-peristiwa lalu tetapi tidak berdaya untuk mengingatinya. Inilah yang memeningkan Datin Sofia dan Datuk Yusman. Setiap hari mereka mendoakan agar kesihatan Mardiana akan pulih seperti sediakala.