Friday, September 3, 2010

Biar Bulan Tersenyum 25

KEHIDUPAN kata orang penuh dengan pancaroba. Memanglah, tidak ramai yang menyangkal. Tetapi, kekuatan dalaman perlu bagi mengelakkan diri dari terjerumus ke arah yang tidak diingini. Betulkah kehidupan ini umpama roda? Sekejap kita di atas, kadang kala kita di bawah pula. Kalau dilihat pada keluarga Ah Chong yang berniaga di kampung Uzma dahulu dah berapa keturunan sama sahaja kayanya. Pak Mahat pula dari datuknya sama juga kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Nasib baik di kampung ini banyak sumber makanan. Hendak ikan, angkat sahaja bubu yang dipasang di sungai Jernih itu. Hendak sayur, petik sahaja di keliling rumah.


Mungkin juga ungkapan tadi kena dengan Pak Najib yang mencuba nasib dengan perniagaan yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda. Memang untung datang mencurah-curah. Tapi, sememangnya malang tidak berbau. Habis tanahnya tergadai kerana tertipu dengan skim cepat kaya. Itulah secebis kisah yang masih lagi diingati. Namun apa yang terjadi sudah tersurat. Kita sebagai ummat haruslah berusaha dan berdoa untuk mendapat apa yang kita kehendaki.


Uzma merenung siling dengan tangannya diletakkan ke atas dahi. Merindui kampung halamannya yang mungkin tidak akan dijejaki lagi kerana dia sudah tidak ada sesiapa lagi di situ. Jika dia kembali ke sana pun hanya kerana ingin melawat pusara ayah dan bonda. Memang dia merindui kedua-dua mereka. Hanya doa yang mampu dititipkan tika ini.


Kertas bersaiz A4 itu ditatapnya lama. Keceriaan jelas terpancar disebalik wajah manis itu. Akhirnya tercapai juga cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bersyukur dengan apa yang dikatakan tuah datang bergolek. Setiap tragedi itu ada hikmahnya yang tersendiri. Siapa sangka, banyak kejadian sedih yang berlaku terhadapnya kini ada juga senangnya. Memang betullah hidup ini seperti roda. Dahulu susah. Kini senang sedikit. Cuma apa yang tidak diketahui jika pada roda itu dia berada di bahagian mana. Tengah atau di atas puncak. Tidak mungkin dalam keadaan sekarang ini dia berada di pusingan yang di bawah sekali kerana dia belum boleh dikategorikan sebagai muflis lagi.


Berkali-kali ditenung surat tawaran ke program Bachelor Sains Komputer di Universiti Pertanian Malaysia. Memang berbaloi semasa bekerja, dia mengambil kesempatan memasuki kelas malam bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan STPM. Keputusan yang cemerlang membantu dia mendapat tempat di UPM. Cita-citanya untuk menjadi professional dalam bidang senibina perkakasan, sistem perisian dan proses reka bentuk sistem mungkin akan tercapai jika dia berusaha bersungguh-sungguh. Lagipun bidang teknologi maklumat ini merupakan bidang yang berkembang pesat dalam dunia global dan semakin canggih. Bayangkan kanak-kanak yang bersekolah rendah pun sekarang ini sudah pandai berjinak-jinak dengan computer. Jika tidak mereka akan ketinggalan dengan rakan-rakan sebaya.


Dia membayangkan satu ketika nanti sudah pasti jubah graduan dikenakan kemas menutupi baju kurung sutera hijau muda berbunga menyerlahkan lagi kecantikkan Uzma. Topi graduasi yang dikenakan dikepalanya menjadikan wajahnya tampak comel sekali. Rambut yang melepasi bahu itu sesekali beralun bila dia berjalan. Semestinya para jejaka akan terpesona lalu terpikat. Pada ketika itu sudah semestinya keluarga Datin Damia akan bersama dengannya. Bangganya. Seperti anak Datuk pula.


Tetapi bagaimana pula dengan anak Datin Damia yang tidak pernah dia bersua muka. Marahkah dia kerana tiba-tiba sahaja Datin Damia bersusah payah menyara pembelajarannya itu. Jika dia tidak merestui tindakan ibunya sudah pasti perang besar akan meletus antara dia dan anak Datin Damia. Kenapalah dia terfikir anak Datin Damia pula. Ish ish ish.


“Kan dah kata. Inilah dia bakal menantu Datin.” Mak Leha yang masuk ke bilik itu pantas menegur Uzma setelah melihat Uzma yang tersenyum panjang sambil memegang borang pendaftaran kemasukkan ke Universiti. Cepat-cepat Uzma membetulkan badannya dari tidur ke duduk. Namun mukanya yang putih itu jelas kelihatan tompokan merah pada wajahnya kerana malu dengan usikan Mak Leha.


“Mak Leha ni. Janganlah cakap macam tu. Datin tu mana ada anggap orang ni macam menantu dia. Datin tu memang baik hati tau.” Sambil menjuihkan mulutnya, sementara Mak Leha tersenyum hingga ke telinga.


“Ala. Mak Leha kan orang lama. Sekilas ikan di goreng di dalam kuali sudah tahu yang mana empuk isinya, mana yang terlampau garing dagingnya. Tengoklah tu, senyumnya pun belum habis lagi.” Sambil memicit pipi Uzma kerana kegeraman dengan wajah yang comel itu.


“Aduh, peribahasa mana pula yang Mak Leha bawa ni. Sastera sungguh.” Uzma menarik tangan Mak Leha yang masih melekat pada pipinya. Dia bangun dan memasukkan surat tawaran ke dalam sampulnya kembali.


“Kan Mak Leha ni makan capati lebih awal dari Uzma tentu Mak Leha lebih arif tentang membaca pergerakkan seseorang.”


“Yalah tu. Entah apa-apalah Mak Leha ni. Sudahlah. Pergilah goreng ikan yang Mak Leha siangkan tadi tu. Nanti Datin kebuluran baru tau.”


“Eh Uzma. Nak tak kalau Mak Leha pinjamkan gambar anak Datin bagi Uzma tengok. Nanti semasa Mak Leha mengemas nanti Mak Leha ambil. Nak Tak?”


“Itu bukan pinjam. Tapi mencuri namanya. Tak payahlah Mak Leha. Buat susah-susah saja. Kalau tertangkap kita juga yang susah.”


Uzma cepat-cepat keluar menuju ke tandas. Salah satu cara melarikan diri dari bedilan kata-kata Mak Leha. Manakala Mak Leha tersenyum melihat gelagat anak dara yang seorang ini.