Thursday, January 28, 2010

Biar Bulan Tersenyum 4

(Gambar Hiasan)






LANGKAH demi langkah menyusuri jalan yang penuh dengan manusia yang bermacam ragam. Tiada siapa yang dikenali. Di tengah-tengah manusia yang berbagai rupa ini membuatkan Uzma kelemasan. Bukan sahaja tidak selesa dengan keadaan sekeliling, tapi keadaan dirinya yang hampir karam dengan gelombang dilema yang melambung-lambung di lautan keliru.



Sesekali menyinggah ke kedai-kedai yang berderet di situ. Melihat kalau-kalau ada notis yang memerlukan pekerja. Jika seven eleven sudah pasti dengan pantas dia akan melangkah masuk kerana di situ memang terdapat ruangan untuk iklan.



Kerana kesilapan semalam Uzma telah diberhentikan kerja. Inilah masalahnya jika kejadian yang tidak diingini itu berlaku terhadap orang yang ada kaitan dengan kepentingan mereka. Kalau tidak kerana adanya anak Datuk di situ mungkin dia masih bekerja di situ lagi. Walau bagaimana pun Restoran Bunga Raya kini hanya tinggal kenangan. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Uzma tetap reda dengan apa yang berlaku. Bukannya boleh ditarik balik lagi.



Pengurusnya, Radin terpaksa memecatnya untuk mengelakkan kejadian itu dipanjangkan. Masih segar dalam ingatannya bagaimana Kak Muni merangkulnya sambil menangis-nangis bersimpati atas apa yang berlaku terhadapnya. Biarpun Kak Muni begitu cerewet dalam menjalankan tugasnya tetapi Uzma tidak pernah berkecil hati. Kini dia akan merindui bebelan Kak Muni. Uzma merasakan yang dia ini seorang pendengar yang bagus. Kenapa? Dia tidak pernah melawan setiap kata-kata Kak Muni. Semuanya diangguk. Kadang-kadang dia ketawa di dalam hatinya kerana banyak kata-kata Kak Muni yang tidak masuk akal. Tetapi ada juga satu dua nasihat yang menusuk ke dalam jiwanya. Seperti sampah-sampah di dalam longgokan yang besar pasti ada juga barang berharga yang boleh kita jumpai di situ. Seperti bernasib baik atau dengan penerangan teknikalnya yang selalu digunapakai oleh kaki judi iaitu konsep kebarangkalian.



Pagi tadi dia bangun seperti hari-hari sebelum dan bersedia untuk ke tempat kerja. Tetapi bila ingatan kembali pulih dan sedar bahawa diri sudah dipecat terduduk Uzma di atas kerusi meja soleknya. Dia seperti tidak dapat menerima kenyataan itu. Akhirnya dia membawa diri ke kedai mamak dan melayan perasaannya seorang diri sehingga tengah hari.



Sudah tiga empat kedai yang disinggahinya tidak ada satupun yang menawarkan sebarang jawatan. Mereka lebih gemar mengambil pekerja yang terdiri dari lepasan SPM ataupun pekerja asing yang boleh dibayar dengan harga yang lebih murah. Nampaknya hari ini pun nasib masih tidak ada. Besok mesti cari kerja lagi. Nanti duit dalam simpanan habis macammana mahu membayar sewa rumah. Paling penting perut mahu dijaga.



Akhirnya dia menuju ke Petaling Street. Atas alasan mahu ’window Shopping’ dahulu sebelum pulang ke rumah. Semasa meneliti pelbagai jenis baju penjaga kedai dengan wajah paling manis cuba mengambil hati Uzma agar membeli baju tersebut. Boleh tahan juga design baju ini, bisik hati kecilnya. Tapi harganya hampir seratus ringgit. Sembilan puluh sembilan ringgit sembilan puluh sen sahaja. Kalau dalam status Uzma yang menganggur sekarang ini memang tidak mampu membayar sebanyak ini.



“Murah saja ni. Kalau itu supermarket baju ni tiga ratus ringgit woo.”



“Saya mahu tengok saja.”



“Ala. Cik angkatlah saya boleh kasi itu harga kurang lagi. Tengok ni. Cantik. Kuat jahitan dia woo.” Penjual itu menunjuk-nunjuk jahitan pada baju yang kelihatan kukuh.



“Memang cantik. Tapi saya tak mampu beli baju ni.”



“Haiya Cik. Saya kurang jadi tujuh puluhlah.”



“Nanti dulu. Saya mahu tengok yang lain.”



“Berapa you mau Cik. Kita boleh bincang.” Biarpun perkataan bincang tapi suara penjual itu dikeraskan. Uzma risau dengan situasi seperti ini. Bukannya dia tidak mahu beli. Tapi dia ada masalah kewangan sekarang ini. Si penjual ini pun satu. Macam memaksa dia membeli sahaja.



“Saya tak mahu. Kalau lima puluh bolehlah saya fikirkan lagi.” Uzma menegaskan sambil matanya menjeling ke arah baju yang lain. Kemudian dia mahu keluar dari kawasan kedai itu. Si penjual menahan dia dan masih mahu dia membeli barangan dia.



“Okay. Lima puluh saya jual.” Alamak. Uzma tersilap cakap. Bukannya dia bermaksud mahu membeli. Tidak disangka bahawasanya harga baju itu boleh dikurangkan lagi. Dia sememangnya tidak berniat untuk membeli lagi. Dia hanya ingin buat survey sahaja untuk hari ini.



“Errr… saya tak mahu lagi tokey. Nanti bulan depan saya datang beli.”



“Haiya. Mana boleh. Tadi you minta lima puluh. Sekarang tak mahu pulak. Mana boleh. Kena beli woo.” Si penjual tidak mahu melepaskan Uzma berlalu dari situ selagi dia tidak membeli barangannya. Wajahnya Nampak bengis. Tiada lagi senyum seperti mula-mula tadi. Aduh. Sakit jiwa. Taubat. Tak mahu datang lagi ke sini.



“Eh sayang, kenapa kat sini lagi. Puas abang mencari.” Tiba-tiba tanpa diduga seorang lelaki menarik tangan Uzma keluar dari kedai tersebut. Si penjual hanya terlopong melihat gadis itu rupanya ada teman.



‘Alamak. Makhluk mana pula tiba-tiba menarik tangan aku keluar dari sini.’ Bila diamati wajah lelaki itu baru dia perasan yang ianya adalah lelaki yang dia tumpahkan bubur ke atasnya tempoh hari. Bagai dipukau dia mengikut sahaja lelaki itu keluar dari kawasan itu.



“Lain kali, jangan masuk ke sini seorang diri. Bahaya.” Lelaki itu sempat lagi memberi nasihat sebelum dia menghilangkan diri dicelah-celah orang ramai. Kerana terlalu terkejut dengan peristiwa yang berlaku dia tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. Lagi pun sepanjang bersama lelaki itu dia merasakan kerongkongnya tersumbat sehingga tiada sepatah suara pun yang dapat keluar ke alam nyata.



‘Ah kebetulan pula. Lelaki itu yang membantu aku. Bukannya dia kenal aku pun. Apa hal dia tiba-tiba kat sini.’ Sekali diingat macam kisah super hero pula. Yang akan muncul bila ada manusia sedang dalam kesusahan. Apa-apa pun Uzma bersyukur kerana dia selamat.

Thursday, January 21, 2010

Biar Bulan Tersenyum 3

(Gambar hiasan) - 22 Jan 2015


“ALAHAI, marah lagi kah Darling I ni.”

“Mahunya tak. You tengoklah apa dah jadi dengan baju I.” Mardiana tersenyum cuma bila mengenangkan kisah yang berlaku sebentar tadi. Jika dia yang terkena tadi pun, pasti kemarahan yang sama akan ditaburkan. Namun dia faham dengan ketidaksengajaan pelayan perempuan tadi. Melihatkan wajah budak itu yang pucat membuatkan dia berasa gelihati pula.


“Darling, kan you dah dapat pampasan tadi. Boleh tahan juga tu. Emm… bolehlah belikan I barangan di Habib Jewel. 10 Voucher makan percuma di restoran tu pun dah kira beruntung.” Mardiana memujuk Hanaffee yang masih lagi panas hatinya itu. Masih lagi terbayang bagaimana Hanaffee memarahi si pelayan dan kemudiannya membuat aduan terhadap apa yang berlaku kepada pengurus Restoran tersebut. Mardiana merupakan pelanggan tetap restoran Bunga Raya. Siapa yang tidak kenal dengan bapanya Datuk Yusman. Orang yang berpengaruh di Kuala Lumpur. Atas sebab itulah pengurus restoran berkali-kali memohon maaf daripada mereka.


“Memanglah. Yang tebal muka ni juga. Tak tahu nak letak kat mana. Bagi yang nampak peristiwa tadi okaylah. Mereka faham. Bagi yang baru masuk atau yang tersenyum bila keluar tadi. Mesti dia orang ingat I ni baru lepas bergaduh.” Mardiana tergelak dengan kenyataan tersebut sambil mencapai sebelah tangan Hanaffee yang berada di atas gear dan menggosok-gosok perlahan-lahan agar kemarahan Hanaffee reda. Dia takut jika kemarahan melebihi kosentrasi memandu lain pula jadinya. Keselamatan di atas jalan raya mesti diutamakan. Tidak boleh memandu dengan mengikut nafsu. Bahaya. Mereka sekarang dalam perjalanan pulang ke rumah Mardiana.


Mardiana tahu bahawasanya Hanaffee terkilan sebab program tengahhari mereka tadi terbantut. Sepatutnya hari ini merupakan hari yang indah dan akan diingati sampai bila-bila. Tetapi bukan dengan cara ini. Hari ini merupakan hari ulang tahun Hanaffee yang ke dua puluh lima. Mardiana telah membuat tempahan sebulan yang lalu untuk mereka menikmati makan tengahhari bersama. Mungkin nasib tidak menyebelahi mereka. Terpaksa Mardiana masuk ke Pasaraya Parkson KLCC seorang diri dahulu untuk membeli baju baru untuk Hanaffee. Selepas itu baharulah mereka meneruskan pencarian makanan tengah hari mereka di KLCC. Seharian mereka berjalan dan bersiar siar di sekitar KLCC. Kemudian mereka ke Mid Valley. Tidak sedar perjalanan mereka mencecah malam.


“Darling.” Mardiana dengan manjanya memanggil nama yang selalu disebut-sebut itu. Hanaffee menoleh kearahnya setelah memberhentikan kereta betul-betul di hadapan rumah Datuk Yusman.


“Ada apa Dee.” Tangan Mardiana menyeluk tas tangannya lalu mengeluarkan sebuah kotak hadiah bersaiz 5X10X10cm dan memberikan kepada Hanaffee.


“Happy birthday my dear.” Sambil tangannya menghulurkan hadiah ke tangan Hanaffee.


“Terima kasih daun keladi. Buat susah-susah sahaja.” Hanaffee kelihatan gembira dengan pemberian yang diberi. Dia membuka pembalut hadiah dan kemudian membuka kotak berwarna biru tanda kasih sayang itu. Dia tahu jika Mardiana yang membelikan hadiah bukan seratus dua harganya. Mesti beribu-ribu.


“Apa nak disusahkan. Buat orang tersayang juga.” Mardiana tersenyum dan berasa sungguh gembira dengan penerimaan Hanaffee. Tidak sia-sia dia membeli hadiah itu di Paris bulan lepas. Datuk Yusman ada urusan di sana dan dia seperti biasa sebagai anak tunggal dan sememamngnya manja akan cuba sedaya upaya mengusul agar dia dapat menemani bapanya ke sana.

“Marilah masuk ke rumah dahulu.” Pelawa Mardiana sebelum keluar dari kereta.


“Besok kerja. Sekarang pun dah dekat sebelas setengah malam. Affee pulang dululah ya.”


“Ya lah. Orang tak sudi nak buat macam mana.” Sengaja dia memperli sinis Hanaffee.


“Ala. Janganlah macam tu.” Mardiana tersenyum dan membuka pintu kereta. Dia melangkahkan kakinya ke tanah. “Anyway. Thank you so much for the present. I like it very much.”

Mardiana tersenyum dan keluar dari kereta. Dia melambai-lambaikan tangannya ke arah Hanaffee dan menunggu sehingga kereta hilang dari pandangan baru dia melangkah masuk ke kawasan banglownya.





JAM berjenama Louis Vuitton jenis ‘Tombour two-tone’ dibeleknya tidak jemu-jemu. Begitu sayangnya perempuan yang bernama Mardiana itu kepadanya. Dia jadi keliru. Adakah dia melayan Mardiana kerana benar-benar kasih perempuan itu atau hanya kasihan perempuan itu. Persoalan itu terus menari-nari dalam ruang fikirannya. Membuat dia sesak dengan asakan persoalan-persoalan yang menerjah masuk ke dalam kotak fikir melalui litar-litar saraf yang menjadi perantara.


Hanaffee dengan Mardiana sudah kenal mengenali antara satu dengan lain sejak dari kecil lagi. Itu yang membuatkan mereka begitu rapat sekali. Mereka selalu bertemu dan pada setiap perjumpaan Hanaffee melayan kerenah Mardiana tanpa rasa jemu. Namun dia membataskan persahabatan mereka hanyalah atas dasar abang dan adik. Biarpun begitu tetap ada rasa sayangnya terhadap gadis itu.


Hadiah yang dibelek-belek sedari tadi membuatkan dia terlupa seketika terhadap peristiwa yang berlaku siang tadi. Mungkin kerana layanan Mardiana membuatkan dia lupa pada kejadian tengah hari tadi. Sesekali terasa juga kasihan terhadap budak pelayan tadi. Bukannya dia sengaja. Tapi dek kerana darah muda yang pantang dicabar, membuatkan dia lupa diri seketika. Menyesal pun ada kerana tidak bertimbang rasa. Tapi apa boleh buat. Nasi sudah jadi bubur. Bukannya boleh diundurkan lagi pusingan jam yang telah berlalu. Ianya sudah menjadi sejarah.


Dia keluar ke balkoninya. Seperti biasa dia akan melihat pemandangan alam semesta yang indah. Walaupun begitu ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Itulah juga antara agendanya jika keluar ke situ.

Monday, January 18, 2010

Biar Bulan Tersenyum 2

(Gambar Hiasan)

TERCUNGAP-CUNGAP Uzma berlari ke arah mesin perakam waktu. Lambat lagi dia hari ini. Terpancar kesal di wajah gadis itu. Bagai mengerti bahawasanya sebentar lagi dia akan mendengar ceramah percuma dari Supervisor dia yang tersangat peramah itu.

'Itulah. Malam tadi tidur lambat sangat. Merenung bulan konon. Nasiblah hari ini. Kepala pun tidak betul lagi ni. Masih ada rasa pening akibat tidak cukup tidur.'
Kalau hendak dikira antara rumah dia iaitu di apartment Nusa itu jauhnya kira-kira lima belas minit berjalan kaki sahaja. Hari ini dia berlari lagi menjadikan masa perjalanan ke tempat kerjanya di Restoran Bunga Raya ini cuma sembilan minit dua puluh lima saat.

"Uzma, kan saya sudah cakap berkali-kali. Tidak boleh datang lewat. Engkau ingat ini bapa engkau punya restoran!" Sengaja ditekankan ayat bapa engkau punya restoran agar Uzma akan insaf selepas ini.


"Maafkan saya Cik Muni. Saya cuma terbabas sedikit sahaja tadi." Sambil tertunduk-tunduk dan membuat muka belas mengharap Munifah memaafkan kesalahannya. Supervisornya yang berbadan gempal itu terus menerus memberi ceramah motivasi versi pagi hari terhadap gadis kurus yang berambut paras bahu itu. Agaknya hari ini mood Cik Munifah tidak baik menyebabkan dia semakin bersemangat membebel pada pandangan Uzma. Nampaknya tiada maaf bagimulah kali ini. Uzma hanya mengangguk-angguk sepanjang sessi tersebut. Kalah orang Jepun yang tunduk hormat terhadap seseorang yang lain.

"Hah, kau pergi layan pelanggan yang baru masuk itu. Jangan sampai dia membuat aduan yang tidak elok tahu." Akhirnya terasa lega sekali bila terlepas dari bebelan yang panjang itu. Tidak sia-sia aku selalu praktis agar suara-suara yang aku tidak suka masuk telinga kiri dan terus keluar ke telinga kanan. Jika aku simpan lama-lama dalam hati tentu aku akan jadi tidak keruan dan akan jadi sakit hati.

Setelah mengucap terima kasih yang tidak begitu ikhlas Uzma berlalu dan mengambil order di meja yang baru diduduki oleh sepasang pasangan yang tampak begitu romantis sekali. Dia mengambil dua buku menu dan dengan hormat meletakkan di hadapan setiap tetamu di Restoran itu. Rengekan manja yang terlebih-lebih oleh perempuan di hadapannya itu membuatkan Uzma teramat meluat sekali. Namun sebagai seorang pekerja yang tahu diri bekerja dengan orang dia masih mampu mempamerkan senyuman diwajahnya.

"Darling, you nak makan apa? Lamb Chop nak?"

"Ikut suka youlah."

"Bagi Lamb chop dua. Fresh orange satu. Honey dew satu."

"Ada nak tambah apa-apa lagi Cik." Uzma cuba berbasa-basi dengan harapan pelanggan akan menambah order lagi. Begitulah yang diajar oleh Cik Muni terhadap tatacara mengambil pesanan. Selalunya pelanggan akan menambah pesanan lagi jika kita menyoal sebegitu.

"Emmm... tambah banana split satu." Akhirnya perangkap yang dipasang berjaya juga. Uzma tersenyum dalam hatinya.

"Ada nak tambah apa-apa lagi Cik." Sengaja mengumpan sekali lagi.

"Darling. You nak apa lagi?" Lelaki itu menggeleng kepalanya tanda sudah cukup dengan apa yang di pinta.

"Ada nak tambah apa-apa lagi Cik?" sekali lagi Uzma mengumpan.

"Okaylah bagi bubur jagung satu. Itu saja." Uzma mencatatkan dalam kertas ordernya dan mengulang sekali lagi apa yang diorder oleh pasangan tersebut. Dengan tersenyum Uzma meminta izin untuk mengundur diri.

Restoran Bunga Raya yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur itu sering menjadi tumpuan pelanggan. Terdapat meja bulat yang boleh memuatkan sehingga sepuluh orang dan juga meja empat segi yang boleh memuatkan empat orang pelanggan pada satu-satu masa. Meja yang dilapik dengan pelapik putih dan kerusi disarung dengan pembalut berwarna merah menceriakan lagi Restoran tersebut. Apatah lagi dindingnya di cat dengan warna kuning keemasan menambahkan keceriaan di situ. Menjadikan restoran itu eksklusif.
'Pranggg...' Bunyi mangkuk terjatuh ke atas pinggan di atas meja mengejutkan para pelanggan yang sedang enak menjamu selera.

"Maaf Encik. Saya tidak sengaja."

"Buta kah? Tengok ni. Sudahlah kotor. Terkoyak baju saya ni."
Uzma tidak mampu berkata apa-apa lagi. Tidak disangka ketika menghantar makanan tadi dia tergelincir dan terus jatuh ke atas seorang pelanggan yang sedang menanti makanannya. Bubur yang di bawanya habis tumpah ke atas baju. Yang lebih menyiksakan, semasa Uzma terjatuh dia sempat menarik baju lelaki tersebut untuk dia menyeimbangkan badannya. Malangnya dengan merentap baju tersebut membuatkan ianya terkoyak. Uzma terkesima dengan kejadian yang tidak terduga itu.

Setelah dimaki hamun oleh lelaki itu dia membuat laporan kepada pengurus restoran. Akhirnya dia diberi pampasan dan tidak perlu membayar apa-apa terhadap makanan yang dimakannya hari itu.

"Uzma. Masuk ke pejabat saya." Pengurus memanggil Uzma setelah pelanggan tersebut pulang.

Sunday, January 17, 2010

Biar Bulan Tersenyum 1

(Gambar hiasan)

RIUH rendah tadi sudah hilang. Tiada lagi suara-suara yang bergema di segenap ceruk. Tiada lagi hilai ketawa, tangisan anak-anak kecil, sembang-sembang kosong dan bermacam-macam lagi perwatakan dan perbuatan yang menarik perhatian. Ada yang keseorangan, ada yang berkeluarga, ada yang berkawan-kawan dan ada yang berdua-duaan. Kadang-kadang semua ini membuatkan aku berasa cemburu. Cemburukan keceriaan mereka. Yang tidak ada pada diriku.

Sekarang aku berada dalam ruang kosong ku kembali. Rupanya duniaku tidak seceria mereka. Di sini aku keseorangan. Kekosongan. Mee goreng yang aku beli semasa kembali ke sini tadi masih elok dalam bekas polestrinnya. Entah mengapa malam ini aku tidak ada selera.

Kadang-kadang aku menyesali dengan kehidupan aku sekarang. Kenapa aku dicampak ke dalam dunia yang aku benci ini. Aku tiada siapa-siapa lagi.

Ibu!!!

Ayah!!!

Menjerit sekuat manapun, mereka tidak akan kembali lagi. Mereka telah pergi buat selama-lamanya. Biarpun sudah lima tahun berlalu peristiwa itu tetap segar dalam ingatan ini.

Tanpa sedar lakrima di mataku mengalir laju. Aku rindu kehidupan yang dahulu. Aku tidak mampu hidup sendiri begini. Tiada siapa yang tahu keperitan yang aku lalui.

Tuhan!!! Tolonglah aku. Aku sangat lemah sekarang ini. Berikanlah aku sinar bahagia suatu hari nanti.

Seperti malam-malam sebelum aku akan menuju ke Balkoni yang seluas 3 meter persegi. Sebuah meja bulat kecil dan dua buah kerusi telah mengambil separuh ruang balkoni ini. Di sinilah tempat aku menghabiskan masa malam ku. Merenung bulan. Terbuai dengan kerdipan bintang-bintang. Di sinilah ketenangan aku. Berada di tingkat 15 apartment Nusa ini membolehkan aku memerhati semut-semut kecil berlari yang berlari pantas di atas litar jalan raya nun di bawah sana.

Walaupun aku tinggal di sini bukan keseorangan. Bertiga. Namun waktu-waktu malam selalunya hanya ada aku. Seri, minggu ini bekerja shif malam di sebuah kilang elektronik membuat LCD TV. Maria selalunya keluar outstation. Minggu ini dia ke India. Bekerja dengan sebuah syarikat Telekomunikasi membuatkan dia selalu sibuk ke sana ke mari dalam menjalankan tugasnya. Dengan adanya kawan-kawanku itu maka beban sewa setiap bulan berkurangan. Gaji aku pun tidak sebesar mana. Boleh buat aku menampung sara hidupku, membeli keperluan harianku dan yang paling penting menabung untuk hari tuaku.

Salam pembuka bicara

Salam perkenalan buat penduduk dunia. Ruangan untuk Blog ini akan kugunakan sepenuhnya untuk mengkelam kalibutkan lagi dunia yang huru hara ini. Ku pejamkan mata lalu ku titipkan sebuah cerita yang tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang mati. Ku pasti kan ada insan yang akan setia mengikuti kisah yang akan menjadi sebuah e-novel ku ini. Pada insan-insan yang ingin memberi pandangan dipersilakan. Semoga semua itu akan menjadi satu panduan yang berguna untuk aku menjadi dewasa dalam bidang ini.
Selamat Membaca.